Ahad, 24 Jun 2012

KSN Bukan Jawatan Politik, Mungkin Dia Lupa Konsep ‘Neutraliti’


Kenyataan Media YB V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Kawasan Tronoh pada 24/6/2012 di Ipoh

KSN Bukan Jawatan Politik, Mungkin Dia Lupa Konsep ‘Neutraliti’

Kenyataan Ketua Setiausaha Negara  yang baru sungguh memalukan.  Datuk Seri Dr Ali Hamsa yang baru dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara tidak layak memegang jawatan itu. Kenyataan beliau menyokong Barisan Nasional secara terbuka  membuktikan beliau bukan seorang yang neutral. Sebagai seorang penjawat awam  tertinggi di negara beliau harus mengetahui tentang prinsip ‘neutraliti’ yang didokong oleh kakitangan awam. Tetapi, beliau telah membuat  satu kenyataan yang bercanggah dengan  etika penjawat awam. 

Ketua Setiausaha Negara yang baru mungkin tidak tahu peranan dan  tanggungjawab beliau kepada rakyat. Oleh itu, saya menyeru beliau supaya  membaca kenyataan berikut yang mungkin tidak diketahui olehnya sebelum menjawat jawatan yang tinggi itu. 

“Persons working in the State services (State servants) are required to act in the course of their duties in a politically neutral manner.  This includes the requirement to act impartially and to implement the Government's policies. The requirement that State servants must be apolitical when carrying out their duties, functions and powers. It is a principle that underpins the continuing employment status of State servants and enables State servants to provide consistent services (including policy development) for the government of the day. This means, essentially, that State servants must keep their jobs out of their politics and their politics out of their jobs.”

Ketua Setiausaha Negara telah menggesa kakitangan awam supaya setia kepada kerajaan dan tidak mudah diperbodohkan oleh "janji kosong" pembangkang. Kenyataan ini adalah satu kenyataan politik. Beliau tidak boleh menbuat ungkapan seperti itu yang membuktikan beliau adalah  penyokong kuat kerajaan Barisan Nasional. Beliau telah melanggar etika penjawat awam dengan berkempen pilihanraya secara terbuka untuk Barisan Nasional. Beliau berkata, "Sebagai kakitangan awam, kita perlu taat kepada Raja dan kerajaan. Ianya penting supaya kita sedar peranan sebagai kakitangan awam dan melaksanakan tugas kita dengan sempurna." 

Setiap rakyat Malaysia harus taat kepada Raja, Perlembagaan Persekutuan dan Negeri, Jalur Gemilang, Lagu Negaraku dan Rukun Negara. Tetapi, sesuatu kerajaan itu adalah dipilih melalui proses pilihanraya. Tidak ada sebab kita ‘mesti’ taat setia kepada kerajaan yang memerintah. Apabila sesuatu kerajaan yang memerintah telah keluar dari landasan kebajikan, amalan korupsi berleluasa, rakyat merana kerana masalah sosio-ekonomi, penyelewengan dibuktikan  dan sebagainya, maka adalah wajar untuk menukar kerajaan yang memerintah. Rakyat boleh memilih satu kerajaan baru melalui proses pilihanraya. Penjawat-penjawat awam yang juga merupakan ‘rakyat yang berhak mengundi’ boleh membuat pilihan mereka tanpa sebarang  desakan dan paksaan  daripada mana-mana pihak. 

Ketua Setiausaha Negara tidak boleh mengugut kakitangan kerajaan untuk menyokong Barisan Nasional. Beliau telah terang-terang menonjolkan diri sebagai penyokong Barisan Nasional. Beliau harus meletak jawatan dengan segera kerana rakyat akan hilang kepercayaan terhadap pentadbiran beliau yang nyata sekali menuju satu hala. Kenyataan beliau juga adalah bertentangan dengan amalan demokrasi. Penjawat awam mempunyai hak sebagai warganegara untuk menentukan kerajaan yang memerintah melalui pilihanraya. Ketua Setiausaha Negara tidak boleh mempengaruhi undi penjawat-penjawat awam yang lain. “Itu bukan kerja dia, gaji dia dibayar oleh rakyat Malaysia, tidak kira dari penyokong Barisan Nasional atau penyokong Pakatan Rakyat”.  Oleh yang demikian kakitangan awam harus setia kepada rakyat yang memilih sesuatu kerajaan. 

Beliau juga ada menyebut ‘ Janji Kosong pembangkang ’ dalam kenyataan media yang dibuat olehnya. Ini adalah satu kenyataan yang tidak boleh diungkapkan oleh seorang yang memegang jawatan Ketua Setiausaha Negara. “Mana dia tahu pembangkang buat janji kosong? Pembangkang belum memerintah negara ini untuk membuktikan kewibawaannya”. Beliau telah tersalah langkah membuat kenyataan media  yang  ‘kurang arif’ itu. 

Beliau harus sedar bahawa kerajaan boleh berubah tetapi kakitangan awam akan terus menjawat jawatan mereka. Penjawat awam adalah jentera pelaksana polisi awam yang digariskan  oleh mana-mana pihak yang menjadi kerajaan  melalui mandat yang  diberi oleh rakyat. Apabila Ketua Setiausaha Kerajaan telah  membuat satu pendirian pro Barisan Nasional, beliau tidak  layak memegang jawatan itu lagi. Apa akan berlaku apabila Putrajaya ditawan oleh Pakatan Rakyat, sedangkan Ketua Setiausaha Negara adalah orang kuat dan setia kepada Barisan Nasional? Ini akan menimbulkan banyak masalah kepada kerajaan baru yang dipilih oleh rakyat melalui proses pilihanraya. 

Barisan Nasional risau penjawat awam yang merangkumi lebih kurang 1.4 juta orang akan membuat satu perubahan yang besar dalam pilihanraya umum yang akan datang. Barisan Nasional sudah mula merasakan pola perubahan itu apabila ‘fix deposit’ mereka semakin hari semakin berkurangan. Oleh yang demikian, Barisan Nasional cuba mengugut penjawat-penjawat awam melalui Ketua Setiausaha Negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan