Kenyataan Media YB V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP
Perak, ADUN Kawasan Tronoh pada 23/6/2012 di Ipoh
PR Sedia Ambil Alih Perak
Pakatan Rakyat Perak cukup yakin
bahawa Barisan Nasional akan tumbang sekali lagi di Perak. Dalam PRU13, Pakatan
Rakyat mempunyai peluang untuk menang dengan majoriti kerusi yang lebih besar.
Barisan Nasional telah membuat kesilapan besar
merampas kuasa rakyat di negeri
Perak pada tahun 2009. Undang-undang Tubuh Negeri Perak, Perlembagaan
Persekutuan dan Perintah-perintah Tetap Dewan Negeri Perak telah
dibelakangkan oleh Barisan Nasional dalam kerakusannya untuk berkuasa kembali.
Pelbagai muslihat dan politik
kotor telah dilakukan oleh Barisan Nasional. Mereka telah memperalatkan Polis
Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pilihanraya, Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia,
Mahkamah dan beberapa agensi kerajaan yang lain untuk merampas mandat yang
diberikan oleh rakyat kepada Pakatan Rakyat.
Barisan Nasional juga telah merampas kuasa dengan menggunakan kekerasan
polis dan samseng. Selain daripada itu, politik wang juga telah digunakan untuk
tumbangkan kerajaan sah yang dipilih oleh rakyat. Barisan Nasional tidak
menghormati sistem demokrasi yang
berteraskan ‘kerajaan yang dipilih oleh rakyat’. Kerajaan Perak yang ada hari ini adalah kerajaan yang
ditentukan oleh mahkamah.
Rakyat Perak sedar akan semua
tindak-tanduk Barisan Nasional dalam menggulingkan kerajaan Pakatan Rakyat
Perak. Rakyat Perak tidak diberi peluang untuk menilai polisi-polisi dan
pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat. Kerajaan pilihan rakyat hanya berkuasa
selama 11 bulan. Tempoh itu adalah terlalu singkat untuk menentukan sejauh manakah kecekapan dan keberkesanan
kerajaan Pakatan Rakyat berbanding dengan Barisan Nasional. Sebelum Pakatan Rakyat dapat membuktikan
kewibawaannya, kerajaan itu dirampas dengan cara yang tidak demokratik.
Rakyat Perak juga berpuas hati
dengan beberapa polisi kerajaan Pakatan Rakyat Perak seperti geran kekal untuk
kampung-kampung tersusun dan kampung-kampung baru di seluruh negeri. Banyak
lagi polisi-polisi kebajikan yang telah dirancang tidak dapat dilaksanakan
dengan sepenuhnya. Rakyat Perak merasakan bahawa Barisan Nasional tidak adil
dan terlalu gila kuasa sehingga sanggup melakukan apa sahaja untuk kembali
berkuasa.
Sudah pasti rakyat Perak akan
memberi satu pengajaran kepada Barisan Nasional Perak dalam PRU13 nanti. Tambahan pula, Barisan Nasional juga sudah
hilang genggaman di Perak. Krisis dalaman UMNO, MCA dan MIC juga sudah memuncak
kebelakangan ini. Pemimpin-pemimpin
mereka tahu bahawa Barisan Nasional akan tumbang sekali lagi di Perak. Saya
pasti Dato Seri Zambry juga sedar bahawa
keadaaan Barisan Nasional hari ini seperti
‘duduk dalam duri, bersandar di batang renggas’.
Walau bagaimanapun, Pakatan
Rakyat Perak sudah bersedia untuk mengambil alih kerajaan Perak bila-bila masa apabila
pilihanraya umum diadakan. Pimpinan Pakatan Rakyat Perak cukup yakin bahawa
rakyat akan memberi peluang sekali lagi untuk melaksanakan polisi-polisi yang
berjiwa rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan