Sabtu, 10 Mac 2012

Yang Kaya Semakin Kaya, Yang Miskin Semakin Miskin

Kenyataan Media YB V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Kawasan Tronoh pada 10/3/2012 di Ipoh
Yang Kaya Semakin Kaya, Yang Miskin Semakin Miskin



Kekayaan negara kita dibolot oleh golongan kaya. Manakala golongan miskin pula semakin hari semakin miskin. Jurang pendapatan diantara dua golongan ini menjadi semakin luas. Ini adalah kerana polisi-polisi kerajaan Barisan Nasional yang terlalu memihak kepada golongan bangsawan yang merupakan kroni-kroni mereka. Golongan miskin pula ditindas dan dikerah untuk pembangunan negara.  Ini juga dibuat untuk membantu golangan kaya raya yang menjadi usahawan-usahawan yang memberi pekerjaan kepada golongan miskin ini. Dasar diskriminasi adalah jelas  kerana kerajaan tidak sanggup melaksanakan  gaji minima RM1100 sebulan.  Jika dasar ini dilaksanakan golongan pekerja akan menikmati sedikit sebanyak manfaat dan meringankan beban hidup mereka. Dalam keadaan tekanan inflasi, gaji minima RM1100 dapat membantu golongan miskin ini. Tetapi, kerajaan tidak mempunyai hasrat untuk membantu golongan miskin ini semata-mata untuk membantu golongan bangsawan yang mempunyai pengaruh yang besar dalam ekonomi negara ini. 

Golongan terkaya di negara ini mengawal sebahagian besar ekonomi negara. Data menunjukkan bahawa 38.4% pendapatan ekonomi negara dikuasai oleh 10% golongan terkaya di negara ini. Manakala 10% golongan termiskin pula hanya menguasai 1.7% pendapatan ekonomi di negara kita. Oleh yang demikian, tidaklah menjadi salah kalau dikatakan dasar kerajaan Barisan Nasional adalah terlalu memihak kepada golongan bangsawan dan mengabaikan golongan miskin. Adakah pemberian RM500 kepada golongan miskin dan sederhana akan mengubah kedudukan statistik ini? Pemberian Bantuan Rakyat Satu Malaysia ini adalah semata-mata untuk mengkaburkan mata rakyat daripada melihat statistik kedudukan ekonomi rakyat yang sebenar. Barisan Nasional cuba meberi ‘ketulan-ketulan tulang’ kepada golongan miskin. Manakala golongan kaya pula  membolot ‘daging-daging yang berisi.’ Ini dibuktikan dengan data 38.4% pendapatan ekonomi yang dikongsi bersama  oleh 10% golongan paling kaya di negara ini. 

Barisan Nasional tidak berminat untuk mengagihkan kekayaan negara. Tun Mahathir berkata jika kerajaan melaksanakan dasar gaji minima RM1100, negara kita akan menjadi bankrap. Tetapi, beliau tidak nampak anak-anaknya yang mendapat projek berjuta-juta ringgit. Negara tidak menjadi bankrap apabila kekayaan  negara dibolot  oleh anak-anak Tun Mahathir, pemimpin-pemimpin Barisan Nasional dan kroni-kroninya. Negara tidak menjadi bankrap apabila Rosmah membeli cincin berjumlah RM24 juta. Negara tidak menjadi bankrap apabila keluarga Sharizat gasak RM250 juta di bawah projek lembunya. Negara tidak menjadi bankrap apabila Najib dan menteri-menteri Kabinet boros membelanjakan berjuta-juta ringgit melalui program-program tidak berfaedah untuk mempromosikan diri mereka. Negara juga tidak menjadi bankrap walaupun RM1027 billion wang rakyat berada di luar negara sebagai wang panas. Negara tidak menjadi bankrap apabila pemimpin-pemimpin Barisan Nasional seperi Khir Toyo terlibat dalam skandal rasuah berjuta-juta ringgit. Pendirian Tun Mahathir jelas membuktikan bahawa kerajaan Barisan Nasional sanggup melakukan apa sahaja untuk golongan bangsawan yang kaya raya tetapi tidak berniat  membantu golongan miskin yang amat memerlukan. 

Pakatan Rakyat berjanji  untuk mengurangan jurang pendapatan diantara golongan miskin dan golongan kaya. Satu daripada polisi yang akan dilaksanakan di bawah program ini ialah gaji minima RM1100. Gaji minima ini adalah penting untuk meningkatkan taraf sosio-ekonomi golongan miskin terutamanya dalam keadaan ekonomi negara dilanda inflasi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan