Ahad, 4 Mac 2012

Pengundi India Masih Bersama Pakatan Rakyat


Kenyataan Media YB V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Kawasan Tronoh pada 3 Mac 2012 di Taman Keladi, Sungai Petani, Kedah.

Pengundi India Masih Bersama Pakatan Rakyat



Pakatan Rakyat Sungai Petani telah menganjurkan satu ceramah perdana di Taman Keladi pada 3 Mac 2012. Ceramah itu dihadiri lebih kurang 8000 orang yang datang dari kawasan Sungai Petani dan sekitarnya. Antara penceramah-penceramah utama ialah  YB Datuk Saifudin,  YB Datuk Johari, YB V.Sivakumar dan YB Datuk Seri Anwar Ibrahim.  Walaupun berhujan di kawasan tapak ceramah itu, tetapi orang ramai tidak berganjak lalu mendengar ceramah yang bermula jam 9 malam sehingga  tamat lebih kurang 12.15 malam. 

Perdana Menteri Datuk Seri Najib juga telah mengadakan beberapa program di kawasan sekitar Sungai Petani pada hari yang sama. Barisan Nasional telah membawa orang ramai ke tempat program mereka dengan menaiki berpuluh-puluh bas dari luar. Tambahan pula program mereka diberi makanan dan macam-macam imbuhan lain. Tetapi ramai juga di kalangan orang-orang Sungai Petani telah memilih untuk  menghadiri ceramah Pakatan Rakyat di Taman Keladi. Pakatan Rakyat tidak menyediakan  makanan  dan minuman untuk orang-orang yang datang mendengar ceramah. Tambahan pula,  orang-orang yang datang  itu sanggup berbasah hujan  sehingga tamat program. Ini terbukti bahawa orang ramai tidak boleh diperdayakan dengan imbuhan-imbuhan  seperti wang ringgit dan makanan. Rakyat Malaysia sudah mahu melihat perubahan. 

Dalam ucapan YB V.Sivakumar, beliau menyatakan bahawa kini  Barisan Nasional memberi  fokus utama kepada pengundi-pengundi India. Barisan Nasional telah hilang hampir keseluruhan undi orang-orang Cina. Selain daripada itu hampir separuh daripada orang-orang Melayu juga menyokong Pakatan Rakyat. Jumlah ini semakin meningkat setelah Datuk Seri Anwar Ibrahim diputuskan tidak bersalah di mahkamah baru-baru ini. Tambahan pula, isu NFC yang melibatkan keluarga Sharizat juga telah membuka mata ramai orang-orang Melayu yang duduk di atas pagar. 

Orang-orang India pernah menjadi pengundi setia kepada Barisan Nasional sehingga PRU 12. Tetapi dalam PRU 12, sebahagian besar daripada orang-orang India telah memberi sokongan kepada pembangkang iaitu DAP, PAS dan PKR. Pada 25 November 2007, HINDRAF telah berjaya membawa berpuluh-puluh ribu orang India untuk berdemontrasi di Kuala Lumpur. Inilah pertama kali orang-orang India dari seluruh negara turun bersama untuk menuntut hak mereka yang telah dinafikan oleh kerajaan Barisan Nasional. Ekoran daripada demontrasi itu,  5 orang pemimpin HINDRAF telah ditahan dibawah undang-undang kejam ISA. Keangkuhan kerajaan Barisan Nasional telah menambahkan perasaan marah dan kebencian orang-orang India terhadap kerajaan kuku besi. Selain daripada itu, Barisan Nasional juga tidak menunaikan 18 tuntutan yang dibuat oleh HINDRAF ketika itu. Akibatnya sebahagian besar daripada orang-orang India telah menolak Barisan Nasional dalam PRU 12. 

Barisan Nasional sedar bahawa kehilangan sokongan daripada orang-orang India juga merupakan satu faktor yang besar yang telah mengakibatkan Barisan Nasional hilang majoriti 2/3 di Parlimen dan tumbangnya  5 buah kerajaan negeri di Semenanjung Malaysia.

Oleh yang demikian, kerajaan Najib memberi tumpuan yang keterlaluan kepada masyarakt India semata-mata untuk memenangi PRU13. Barisan Nasional cuba membeli undi orang-orang India dengan memberi wang dan hamper. Sambutan Deepavali tahun 2011 adalah cukup meriah di seluruh negara. Setiap parti politik komponen Barisan Nasional memberi hamper kepada orang-orang India di merata tempat.  Ada dikalangan keluarga India yang menerima 3 atau 4 biji hamper sebelum dan selepas Hari Deepavali. 

Sambutan Pesta Ponggal juga dibuat dengan begitu meriah di seluruh negara selama2 bulan oleh Perdana Menteri dan menteri-menteri yang lain. Mana pernah Pesta Ponggal disambut selama 2 bulan sebelum ini. Pada hari Thaipusam, ‘cut out’  Najib yang begitu besar diletakkan di dalam kawasan kuil Batu Caves.  Semua ini dilakukan untuk mengambil hati orang India. Barisan Nasional mengharapkan supaya orang-orang India mudah ditipu dan akan kembali kepada pangkuan Barisan Nasional setelah melihat perubahan-perubahan ini. 

Tetapi, semua ini tidak dapat memenangi hati orang-orang India.  Pemberian  dan gimik politik seperti ini adalah propaganda Barisan Nasional yang tidak boleh dipercayai lagi. Orang-orang India tidak boleh ditipu dengan pemberian-pemberian seperti ini. V.Sivakumar cukup yakin bahawa tidak kurang daripada 60% orang-orang India masih menyokong Pakatan Rakyat. Segala usaha akan diambil oleh Pakatan Rakyat untuk meningkatkam  sokongan pengundi-pengundi India mencapai 70% menjelang PRU 13.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan