Isnin, 19 Mac 2012

Jambatan Tergendala, Penduduk Falim Menjadi Mangsa


Kenyataan Media YB V.Sivakumar , Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Kawasan Tronoh pada 19/3/2012 di Ipoh
Jambatan Tergendala, Penduduk Falim Menjadi  Mangsa


Ipoh sering terdedah kepada masalah banjir baru-baru ini. Pelbagai alasan diberikan oleh kerajaan apabila berlaku banjir. Satu daripada punca banjir ialah sistem saliran kita tidak diselenggarakan dengan betul. Sering kali kita dengar aduan daripada orang ramai bahawa sungai tidak dikorek atau dibersihkan untuk satu tempoh masa yang agak lama. Selain daripada itu, banjir juga berlaku kerana pembangunan yang tidak terkawal. Sistem perparitan dan longkang yang tidak dirancang dengan betul. Kelemahan-kelemahan pada  struktur parit dan longkang juga boleh mengakibatkan banjir di beberapa tempat. 

Kerajaan harus mengambil tindakan segera untuk mengatasi masalah banjir yang dihadapi oleh orang ramai. Perkara ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja sehingga kejadian itu berlaku sekali lagi. Setiap kali banjir berlaku pihak JPS dan Majlis Bandaraya Ipoh turun padang bersama-sama pemimpin politik untuk melihat keadaan. Selepas itu, perkara itu dibiarkan begitu sahaja sehingga banjir itu berulang semula. Rakyat sudah bosan dengan sikap tidak mempedulikan masalah yang mereka hadapi. Apa guna melawat pada waktu banjir tetapi tidak ada sebarang tindakan susulan daripada pihak kerajaan. 

Banjir kilat sering melanda Jalan Lahat, Ipoh.  Penduduk-penduduk dan peniaga-peniaga kawasan itu sentiasa menghadapi malapetaka ini. Barang-barang mereka rosak dan terpaksa mengalami kerugian besar setiap kali berlaku banjir di kawasan itu. Perkara ini telah dibawa kepada perhatian pihak berkuasa tempatan. Kerajaan telah bercadang untuk melebarkan Sungai Guntong yang mengakibatkan banjir di kawasan ini. Kerja-kerja menaik taraf telah dimulakan pada bulan Jun 2011. Jambatan di Sungai Guntong itu terpaksa ditutup untuk kegunaan awam. Oleh yang demikian, Jalan Lahat menuju ke Menglembu dari Ipoh telah ditutup sejak projek itu dimulakan. Tetapi, projek membina jambatan itu terbengkalai sejak 5 bulan yang lepas. Datuk Bandar Ipoh memberi pelbagai alasan yang tidak munasabah. 

Dalam tempoh kerja-kerja tergendala itu, banjir telah berlaku beberapa kali di kawasan tersebut. Di Kawasan Man Kat Tau, Falim penghuni-penghuni rumah dan peniaga-peniaga  terpaksa hidup dalam kesusahan akibat banjir kilat yang sering berlaku. Air naik lebih dari paras lutut di kedai-kedai dan rumah-rumah di kawasan ini. Banjir seperti ini kerap berlaku mengakibatkan aktiviti-aktiviti harian mereka terganggu. Seorang peniaga makanan mengadu  paras air naik sampai ke peha di kedainya itu. Manakala G.Vadivelu (54) seorang pesakit kencing manis yang tinggal di kawasan itu bersama keluarganya menunjukkan paras air naik di dalam rumahnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan