Jumaat, 2 Mac 2012

NFC & Kidex, Kronisme & Nepotisme


Kenyataan Media YB V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Tronoh pada 2 Mac 2012 di Pejabat SPRM Ipoh.

NFC & Kidex, Kronisme & Nepotisme


Najib harus menjawab kenapa konsesi Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex) diluluskan oleh Kabinet kepada penasihat Undang-undang UMNO, Datuk Hafarizam? Projek bernilai 2.2 billion ini diberikan kepada Syarikat Emrail Sdn Bhd & Zabima Engineering Sdn Bhd. Datuk Hafarizam merupakan Pengarah di kedua-dua Syarikat itu. Yang lebih memeranjatkan lagi ialah isteri Tun Zaki, mantan Ketua Hakim Negara iaitu Nik Sazlina Mohd Zain juga merupakan pengarah dalam Syarikat Emrail Sdn Bhd.

Seorang peguam UMNO dan isteri mantan Ketua Hakim Negara adalah pengarah di sebuah syarikat yang sama. Bukankah ini satu ‘konflik kepentingan’ yang boleh mencemarkan lagi institusi kehakiman di negara ini. Tambahan pula, kedua-dua tokoh ini, Datuk Hafarizam dan Tun Zaki terlibat secara langsung dalam semua kes-kes krisis negeri Perak setelah berlaku rampasan kuasa pada tahun 2009.

Pakatan Rakyat kalah dalam semua kes yang dibicarakan di Mahkamah. Hari ini, kita nampak bahawa Peguam UMNO yang membela Barisan Nasional dan Ketua Hakim Negara ketika  itu telah diberi ganjaran berbentuk projek yang bernilai RM2.2 billion oleh Najib. Seperti mana kita sedia maklum, Najiblah yang mencaturkan rampasan kuasa di negeri Perak. Kerajaan beliau memberi habuan kepada semua pihak yang terlibat dan membantu Barisan Nasional ketika itu. 

Penganugerahan projek yang besar  seperti ini tentu  sekali akan membawa keuntungan yang lumayan kepada syarikat-syarikat yang terlibat. Oleh yang demikian Syarikat yang dimiliki oleh mereka boleh dikatakan telah menerima habuan untuk kerja-kerja yang telah mereka lakukan untuk menumbangkan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak. Hubungan Datuk Hafarizam dengan Tun Zaki terdedah apabila kita mengetahui siapakah pengarah-pengarah Syarakit Emrail Sdn Bhd yang diberikan Konsesi Kidex.

Dalam isu ini jelas bahawa Barisan Nasional telah memperalatkan institusi kehakiman negara untuk kepentingan politik mereka. Selain daripada itu, terbukti  Barisan Nasional tidak boleh dipisahkan lagi daripada amalan kronisme, nepotisme dan korupsi. 

Untuk renungan bersama, apakah bezanya diantara projek NFC dan Kidex ini? Dalam kes NFC suami Sharizat mendapat kontrak, manakala dalam kes Kidex pula isteri Tun Zaki mendapat kontrak. Akhirnya khazanah negara disapu oleh orang-orang yang mempunyai kepentingan dalam UMNO.  Mereka sanggup membelakangkan rakyat dan undang-undang negara semata-mata untuk membantu dan menyelamatkan sekutu mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan