Kenyataan Media YB V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Kawasan Tronoh pada 16/3/2012 di Jalan Lahad Ipoh.
Jalan Lahat Tutup Satu Tahun, Jambatan Terbengkalai Lima Bulan
Jambatan Sungai Guntong di Jalan Lahat telah ditutup untuk kerja-kerja naik taraf pada bulan Jun 2011. Kerja-kerja naik taraf jambatan ini perlu kerana kawasan ini sentiasa menghadapi masalah banjir kilat apabila berlaku hujan lebat. Penduduk kawasan ini termasuk pengilang-pengilang sentiasa terdedah kepada bahaya banjir. Banyak kerugian yang dialami oleh penduduk kawasan ini akibat banjir yang sering dialami. Oleh itu, selepas perkara ini dibangkitkan beberapa kali akhirnya kerajaan telah bersetuju untuk memperbesarkan sungai dan menaik taraf jambatan di situ.
Walaupun projek naik taraf jambatan itu telah dimulakan pada bulan Jun 2011, tetapi banyak lagi kerja belum diselesaikan. Papan tanda menunjukkan bahawa projek ini akan diselesaikan pada bulan Jun 2012. Tambahan pula projek ini terbengkalai selama 5 bulan. Tidak ada apa-apa kerja yang sedang dijalankan oleh pihak kontraktor di jambatan ini. Jika projek telah dihentikan separuh jalan maka ini akan menimbulkan pelbagai masalah kepada penduduk kawasan ini.
Penutupan Jalan Lahat yang menuju ke Mengelembu ini memyebabkan gangguan lalulintas kepada semua orang yang menggunakan jalan tersebut. Penduduk-penduduk yang mahu pergi ke Pekan Menglembu, Pasar Borong, Lahat, Bukit Merah dan Batu Gajah terpaksa mengambil satu pusingan yang besar. Ini amat menyulitkan, memakan masa dan kos petrol meningkat kepada penduduk dan pengguna jalan ini.
Kerajaan membiarkan projek ini terbengkalai selama lebih 5 bulan tanpa memberi sebarang alasan kepada orang ramai. Kesulitan yang dihadapi oleh rakyat tidak dipedulikan. Apabila perkara ini ditanyakan kepada Datuk Bandar Ipoh, beliau memberitahu bahawa terdapat banyak kabel-kabel TNB dan Telekom di bawah tanah yang perlu diselenggarakan dahulu. Kenapa perkara ini tidak diselidik dan dikaji sebelum projek dimulakan? Kenapa selepas mengorek jambatan baru mengetahui ada terdapat banyak kabel di situ? Alasan ini adalah sangat kebudak-budakan dan membuktikan ketidak cekapan pihak kerajaan menguruskan perkara-perkara teknikal seperti ini. Kenapa nasihat daripada Jurutera Daerah tidak diperolehi sebelum memulakan kerja-kerja naik taraf? Apabila tersangkut, projek dibiarkan tergendala begitu sahaja untuk sekian lama. Pihak yang menjadi mangsa ialah penduduk, peniaga dan pengilang di kawasan ini.
Jika projek ini dimulakan sekarang pun mungkin akan mengambil masa sehingga hujung tahun untuk menyiapkan kerja-kerja naik taraf itu. Tetapi, setakat ini tidak nampak apa-apa usaha daripada pihak kerajaan mahupun kontraktor untuk memulakan kerja dalam tempoh terdekat. Oleh yang demikian, orang ramai di kawasan itu telah mengambil keputusan untuk membantah kelewatan pembinaan jambatan itu. Mereka mendesak supaya Datuk Bandar Ipoh memberi penjelasan kenapa projek ini berhenti dan tidak dimulakan dengan segera.Bersama-sama penduduk kawasan yang membantah ialah V.Sivakumar (ADUN Tronoh), Lim Pek Har (ADUN Menglembu), Yee Sue Kai (ADUN Pokok Assam) dan The Hock Ke (Setiausaha Organisasi DAP Perak).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan