Sabtu, 10 Mac 2012

Banjir Kilat Di Batu Gajah



Kenyataan Media YB V.Sivakumar  Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Kawasan Tronoh pada 9/3/2012 di Batu Gajah.
Banjir Kilat di Batu Gajah



Masalah banjir  kilat kerap kali berlaku di kawasan Batu Gajah.  Satu daripada sebab perkara ini berlaku ialah kerana struktur longkang dan parit yang tidak dirancang dengan betul.  Sistem pengaliran air yang tidak sempurna ini mengakibatkan banyak masalah kepada penduduk di beberapa kawasan sekitar Batu Gajah. Walaupun pihak berkuasa tempatan mengetahui masalah ini tetapi perkara ini tidak diambil peduli oleh mereka. Aduan telah dibuat berpuluh-puluh kali tetapi tidak ada tindakan yang sewajarnya oleh pihak berkuasa tempatan.

Pada petang ini Sungai Resam telah melimpah sekali lagi. Air telah membanjiri  Jalan Pusing lebih dari satu kaki. Ini telah menganggu lalulintas kerana jalan itu terpaksa ditutup selama lebih kurang satu setengah jam. Air bah dari Sungai Resam juga telah memasuki beberapa rumah di Tien Shien Park, Batu Gajah. Walau pun beberapa tindakan diambil oleh pihak JPS tetapi masalah ini tidak diselesaikan lagi dengan sepenuhnya. Saya bersama-sama dengan penduduk Tien Shein Park pernah bertemu dengan Pengarah JPS Perak berhubung dengan masalah banjir ini. Tetapi, segala langkah yang diambil oleh JPS tidak menyelesaikan  masalah di kawasan itu dengan sepenuhnya. Pengarah JPS juga pernah menjanjikan bahawa projek  ‘sistem sungai eco-friendly’ yang dilaksanakan di Taman Tien Shien itu akan menyelesaikan masalah banjir itu. Tetapi, masalah banjir masih wujud di situ sehingga ke hari ini.

Saya juga pernah menanyakan soalan bertulis dalam persidangan Dewan Negeri Perak mengenai masalah banjir Sungai Resam yang melibatkan Taman Tien Shien. Kerajaan memberi jawapan bahawa kolam takungan (retention pond) yang baru dibuat di sebelah projek Batu Gajah Sentral itu akan menyelesaikan masalah bajir di Taman Tien Shien. Jawapan yang diberi adalah tidak munasabah kerana terdapat banyak faktor-faktor lain yang mengakibatkan banjir di kawasan itu.

Beberapa kali pihak JPS dan Majlis Daerah telah turun untuk melihat masalah yang dihadapi oleh penduduk-penduduk di situ. Tetapi, tidak ada tindakan dan penyelesaian yang munasabah.  Pegawai Daerah dan Jurutera Daerah harus turun padang bersama-sama untuk menyelesaikan masalah ini. Saya tidak pernah melihat Pegawai Daerah turun padang untuk mengambil tahu masalah banjir yang dihadapi oleh penduduk Taman Tien Shien ini.

Satu lagi kawasan yang banjir pada hari ini ialah Taman Medan Pusing. Punca banjir di kawasan itu ialah struktur longkang yang dibina adalah songsang. Akibatnya air ditendang semula ke longkang-kongkang di  beberapa lorong di Taman itu. Walaupun hanya satu rumah sahaja dimasuki air tetapi masalah kawasan ini juga harus diberi perhatian. Ini adalah tanggungjawab kerajaan tempatan yang memungut cukai pintu daripada penduduk taman itu. 

Setiap kali berlaku banjir kilat, penduduk-penduduk di Taman Tien Shien dan Taman Medan Pusing menghadapi masalah besar. Mereka terpaksa mencuci rumah dan membersihkan kawasan rumah yang dinaiki air. Tambahan pula harta benda mereka  juga  turut termusnah dalam banjir. Penduduk di kedua-dua kawasan ini menghadapi tekanan emosi kerana rumah mereka sentiasa terdedah kepada bahaya banjir . Oleh yang demikian, pihak kerajaan tempatan dan JPS harus memainkan peranan mereka secara serius untuk menyelesaikan banjir ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan