Selasa, 20 Julai 2010

Keluarga Mangsa Kuala Dipang Terima Sumbangan RM 25000


Kenyataaan Media YB V.Sivakumar ADUN Tronoh pada 20 Julai 2010 di Gopeng.


Keluarga Mangsa Kuala Dipang Terima RM25 000


Pada 26 Oktober 2009 telah berlaku satu insiden yang menyedihkan di Kuala Dipang, Kampar. Tiga murid sekolah rendah telah mati lemas akibat keruntuhan sebuah jambatan gantung di Kuala Dipang. Mangsa kejadian itu ialah Divyasri (12), Dina Devi (11) dan Devatharshini (11). Mereka menghadiri program Kem 1Malaysia yang dianjurkan oleh Kementerian Pelajaran.


Pakatan Rakyat Perak telah menubuhkan satu Jawatankuasa untuk menyiasat dan melaporkan insiden jambatan runtuh ini. Jawatankuasa ini diketuai oleh YB V.Sivakumar (Tronoh) dan ahli-ahlinya ialah YB Chang Lih Kang (Teja), YB Thomas Su (Pasir Pinji) dan YB Khalid Idham Lim (Titi Serong). Jawatankuasa tersebut telah melaksanakan siasatan dengan sempurna dan telah melaporkan hasil siasatannya kepada orang ramai. Pada masa yang sama YB Sivanesan (Sungkai) sebagai seorang peguam telah menfailkan kes di Mahkamah Tinggi Ipoh mewakili keluarga mangsa.


Jawatankuasa Siasatan Jambatan Kuala Dipang Pakatan Rakyat telah mendedahkan punca-punca keruntuhan jambatan itu dengan jawapan teknikal. Jawatankuasa dibantu oleh jurutera pakar, juru ukur tanah bertauliah dan pakar-pakar yang lain.


Kementerian Pelajaran juga telah melantik satu jawatankuasa untuk menyiasat kejadian itu bagi pihak kerajaan. Jawatankuasa itu juga telah menyiapkan hasil siasatan tetapi ianya tidak didedahkan untuk makluman orang ramai. Kementerian Pelajaran seharusnya lebih telus dalam soal ini kerana kejadian ini telah meragut tiga nyawa kanan-kanak yang tidak berdosa. Pendedahan ini akan menghalang kejadian seperti ini supaya tidak berulang sekali lagi.


Pada 6 Julai 2010, rombongan Jawatankuasa Kuala Dipang Pakatan Rakyat bersama-sama dengan keluarga mangsa telah pergi ke Parlimen untuk bertemu dengan Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Wee Ka Siong. Satu temubual telah diadakan selama 1 jam di biliknya di Parlimen. Dalam perbincangan itu 2 perkara ditimbulkan iaitu:


1) Meminta supaya Kementerian Pelajaran mendedahkan hasil siatan jambatan runtuh tersebut kepada orang ramai secepat yang mungkin. Tindakan diambil terhadap pihak-pihak yang terlibat tanpa tolak-ansur.


2) Mendapati sekolah-sekolah di seluruh Malaysia telah mengutip sumbangan derma untuk keluarga mangsa. Tetapi, keluarga mangsa tidak menerima apa-apa dana daripada pihak sekolah mahupun kementerian hasil kutipan sumbangan tersebut. Meminta Timbalan Menteri menyiasat hal ini dan menyerahkan sumbagan yang dikutip kepada keluarga mangsa secepat yang mungkin.


Selepas itu, dalam tempoh 2 minggu keluarga mangsa menerima satu surat jemputan daripada SK Tamil Manbang Diawan untuk menghadiri satu majlis di sekolah pada 16 Julai 2010. Dalam majlis itu, Timbalan Pengarah PPD kampar En Azlan telah menyerahkan cek berjumlah RM 25312.55 kepada setiap keluarga. Ini merupakan sumbangan yang dikutip daripada sekolah-sekolah di seluruh Perak yang berjumlah RM75937.65.


Ini merupakan sumbangan yang dikutip di sekolah-sekolah di Negeri Perak. Jika sekiranya sumbangan sedemikian ada juga dikutip di tempat-tempat lain, sumbangan itu harus disalurkan kepada keluarga mangsa secepat yang mungkin.


Walau bagaimanapun, kerajaan masih tidak terlepas daripada tanggungjawab. Laporan siasatan Kementerian Pelajaran harus didedahkan kepada orang ramai. Itulah matlamat dan permintaan ibu bapa mangsa yang masih tidak keluar daripada trauma kehilangan anak kesayangan mereka. Mereka mahu mengetahui kebenaran dalam kejadian yang buruk ini. Kerajaan harus mengaku bersalah kerana melancarkan kem 1Malaysia ini tanpa perancangan yang rapi dan mengabaikan keselamatan kanak-kanak sekolah.


Salah seorang bapa mangsa meminta pihak media melaporkan fakta-fakta yang benar mengenai kes ini supaya ia tidak disongsangkan atau memudaratkan mereka. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Ad Hoc Pakatan Rakyat yang membantu dalam hal ini.


V.Sivakumar

ADUN Tronoh

Tiada ulasan:

Catat Ulasan