Rabu, 25 Julai 2012

'Warga Emas Yang Terpinggir'


Kenyataan Media YB V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Kawasan Tronoh pada 25/7/2012 di Pusing, Perak

Warga Emas Yang Terpinggir

Seorang warga emas yang bernama Chong Yin Yew (78) dipinggirkan oleh kerajaan Barisan Nasional. Pedih mata melihat papan tanda BN di merata negeri Perak dengan slogan “Tiada Yang Terpinggir, Tiada Yang Tertinggal”. Ini adalah satu lagi slogan retorik  Barisan Nasional untuk menipu rakyat. Kalau kita jelajah seluruh negeri Perak kita akan bertemu dengan  beribu-ribu rakyat yang hidup melarat tanpa sebarang bantuan dan sokongan daripada kerajaan negeri.

Chong Yin Yew merupakan seorang warga emas yang tinggal seorang  di sebuah rumah di kawasan Railway Reserve, Pusing. Beliau tidak pernah berkahwin.  Daripada 5 adik-beradik 3 orang telah meninggal dunia. Beliau sekarang tinggal sebatang kara di sebuah rumah tanpa sebarang alat dan perkakas. Beliau tidak mendapat bantuan daripada  mana-mana pihak. Beliau tidak mempunyai sebarang sumber pendapatan. Dalam keadaan itu, beliau terpaksa meminta makanan daripada sahabat-sahabat dan jiran-jiran di sekelilingnya. Ada kalanya, beliau mendapat bantuan makanan daripada restoran-restoran yang berdekatan.

Chong Yin Yew menunggang sebuah basikal tua ke Pejabat DUN Tronoh untuk memohon bantuan kebajikan. Kemudian, saya bersama-sama Pengerusi DAP Pusing Sdr Chan Chin Fah, Pengerusi DAP Kampung Baru Bali Sdr Fam Choy, Pengerusi DAP Batu Gajah Utara Sdr Vijayakumar  dan Pembantu Khas saya Sdri Kong Lai Ling telah membuat lawatan ke rumah beliau untuk melihat keadaan yang sebenar. Memang tidak dapat dinafikan  keadaan hidupnya sangat teruk dan terpinggir.

Beliau pernah memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Batu Gajah sebelum ini. Menurutnya 2 orang pegawai daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat telah membuat lawatan ke rumahnya untuk membuat siasatan awal. Tetapi, sudah 4 tahun tidak mendapat apa-apa jawapan daripada jabatan itu. Beliau rasa sungguh sedih dan kecewa dengan kerajaan yang tidak prihatin terhadap nasibnya itu.

Saya telah menulis surat kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk memberi laporan lengkap kenapakah kes ini diabaikan oleh pegawai-pegawainya. Saya juga akan membawa isu ini ke  Dewan Negeri Perak untuk membela nasib warga emas ini kerana kerajaan BN telah menipu rakyat dengan  slogan “Tiada Yang Terpinggir, Tiada Yang Tertinggal”.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan