Kenyataan Media YB V.Sivakumar , Timbalan Pengerusi DAP
Perak, ADUN Tronoh pada 1/7/2012 di Buntong.
Perayaan Tahunan Kuil Om Sakthi Karumariamman , Teluk Kurin
Perayaan tahunan kuil Om Sakthi
Karumariamman Teluk Kurin Buntong
disambut dengan meriah pada 1/7/2012. Penduduk tempatan Buntong telah
membanjiri perkarangan kuil tersebut sejak pagi. Pelbagai upacara keagamaan
dikendalikan mengikut adat dan agama Hindu. Penganut-penganut juga telah diberi
makanan percuma oleh pihak jawatankuasa kuil tersebut. YB V.Sivakumar (ADUN Tronoh) dan YB A.Sivasubramaniam juga telah menghadiri upacara perayaan tahunan
kuil tersebut. Kedua-dua pemimpin itu
telah diberi penghormatan oleh pihak jawatankuasa kuil. Tambahan pula, pemimpin-pemimpin
Pakatan Rakyat ini dapat bertemu dan bermesra dengan penduduk tempatan yang datang
ke kuil.
Rumah ibadat adalah tempat untuk
kita sembayang dan berdoa. Tempat suci ini juga boleh digunakan untuk pelbagai
aktiviti sosial yang boleh membawa manfaat kepada semua orang terutamanya
penduduk tempatan. Rumah ibadat boleh digunakan untuk tujuan mengadakan
perjumpaan membincangkan masalah setempat. Selain daripada itu aktiviti
pengajaran dan pembelajaran juga boleh dilaksanakan. Pendidikan agama dan
kursus-kursus yang berhubung kait dengan bahasa dan agama juga boleh
dikendalikan di kuil-kuil.
Selain daripada itu, kuil-kuil
juga boleh menjadi pusat untuk menyebarkan
dan mengukuhkan kebudayaan india di negara ini. Bahasa, budaya, kesenian
dan agama adalah penting untuk mengekalkan identiti kaum India di negara ini.
Setiap kuil harus memainkan peranan untuk mengadakan program-program
kemasyarakatan yang boleh mengukuhkan identiti kaum India di Malaysia. Jika
satu kuil memilih satu aspek identiti kaum India, sudah pasti bahasa, agama,
budaya dan seni India akan menjadi lebih subur di negara ini.
Kerajaan harus membantu kuil-kuil
ini dengan memberi peruntukan yang secukupnya supaya dapat mereka melaksanakan
aktiviti-aktiviti kemasyarakatan. Tidak ada gunanya memberi peruntukan kepada
kuil-kuil jika wang itu tidak disalurkan kepada kemajuan dan pembagunan
masyarakat setempat dalam aspek meningkatkan nilai-nilai keagamaan, kebudayaan,
kesenian dan bahasa ibunda.
Pemimpin-pemimpin kaum India juga
harus memberi perhatian khusus untuk mengekalkan malah memajukan lagi identiti
kaum India di negara ini. Mereka harus memastikan tidak ada anasir-anasir yang
cuba menghapuskan identiti kaum India dalam mana-mana aspek sekali pun. Untuk
itu, pihak jawatankuasa kuil-kuil juga harus berkerjasama dengan
pemimpin-pemimpin masyarakat India yang lain supaya jaminan kebebasan agama yang diberikan oleh
Perlembagaan Persekutuan terjamin selama-lamanya. Jika perhatian dan keutamaan
tidak diberi oleh masyarakat India, sedikit demi sedikit identiti kaum ini akan
terhapus.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan