Isnin, 9 Julai 2012

Pecah Masuk Kuil Kartigayan, Buntong oleh Anasir-anasir Jahat


Kenyataan Media YB V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Kawasan Tronoh, pada 7/7/2012 di Buntong.

Pecah Masuk Kuil Kartigayan, Buntong oleh Anasir-anasir Jahat

Insiden pecah masuk ke Kuil Karthigayan, Buntong merupakan sesuatu yang menyedihkan. Baru-baru ini tempat ibadat terutamanya kuil-kuil Hindu menjadi tempat sasaran. Hampir setiap minggu ada juga berita pecah masuk kuil yang berlaku di seluruh negara. Anasir-anasir jahat pecah masuk kuil dengan tujuan untuk mencuri wang derma dalam tabung dan peralatan agama yang mempunyai nilai yang tinggi. Setiap kali insiden seperti ini berlaku, kuil-kuil tersebut kehilangan beribu-ribu ringgit.
Pada  pagi 6/7/2012 (Jumaat), satu insiden kecurian telah berlaku di Kuil Kartigayan, Buntong. Anasir-anasir jahat telah pecah masuk kuil tersebut dan mencuri sedikit wang dan beberapa alat suci keagamaan. Niat sebenar kecurian masih samar lagi. Tetapi, yang jelas ialah ada pihak-pihak tertentu masuk ke kuil itu untuk mencuri bahan-bahan suci untuk tujuan-tujuan tertentu.

YB V.Sivakumar (ADUN Tronoh),YB A.Sivasubramaniam (ADUN Buntong) telah melawat tempat kejadian pada 7/7/2012. Sungguh dukacita melihat keadaan kuil yang dipecah masuk oleh anasir-anasir jahat ini. Mereka telah memecahkan beberapa patung dewa-dewi dengan niat jahat. Perkara seperti ini tidak patut berlaku di rumah-rumah ibadat. Tindakan ini merupakan satu penghinaan dan menyinggung perasaan penganut-penganut kuil tersebut.

Insiden ini merupakan satu lagi kelemahan pihak polis yang tidak dapat mengurangkan kadar jenayah di kawasan Ipoh. Semakin hari semakin banyak kes kecurian dan jenayah-jenayah lain dilaporkan setiap hari. Apakah tindakan yang telah diambil oleh pihak polis berhubung dengan kes pecah masuk yang telah berlaku di kuil Kartigayan, Buntong. Di bawah kerajaan Barisan Nasional, tempat-tempat ibadat juga tidak selamat. Apatah lagi, rumah-rumah kediaman dan kawasan-kawasan taman di sekitar Ipoh.

Kuil Kartigayan yang terletak di  satu kawasan tanah tinggi di Buntong pernah memohon tanah. Kuil ini wujud lebih daripada 50 tahun, tetapi pada tahun 2006, tanah itu telah dberikan kepada  pihak lain. Dalam proses pemberian tanah ini kepada pihak lain, ada penglibatan pemimpin-pemimpin MIC yang memegang jawatan penting ketika itu. Ini menyebabkan tapak tanah kuil itu menjadi milik pihak lain. MIC telah mengkhianati kuil Hindu tersebut. 

Saya mencabar kepada pihak MIC untuk mendedahkan kepada siapakah tanah itu diberi oleh kerajaan negeri. Selain daripada itu, mereka  juga harus memberitahu kenapakah mereka tidak memberikan tanah itu kepada pihak kuil yang memohon tanah tersebut. 





Tiada ulasan:

Catat Ulasan