Isnin, 2 Julai 2012

Persaingan BN dan PR Menguntungkan Rakyat


Kenyataan Media YB V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Tronoh pada 2/7/2012 di Batu Gajah

Persaingan BN dan PR Menguntungkan Rakyat

Selama ini BN mempunyai kuasa monopoli dalam negara ini. BN telah menjadi kukuh sehingga parti-parti komponennya sukar ditewaskan dalam pilihanraya. Keadaan ini telah berubah selepas PRU12. Selepas BN tumbang di 5 buah negeri dan hilang majoriti 2/3 di Parlimen, kedudukan BN sudah tergugat. Tambahan pula prestasi pencapaian negeri-negeri di bawah PR juga terbukti lebih cemerlang. Keadaan yang baru ini menyebabkan BN sudah tidak boleh bergoyang kaki untuk menang  dalam PRU13. 

BN terpaksa membuat pelbagai program yang membawa manfaat kepada rakyat. Ini adalah kerana BN berada dalam keadaan yang cukup terdesak. Jika tidak, BN akan hilang beberapa buah negeri lagi. Putrajaya juga akan jatuh ke tangan PR jika BN gagal mengambil hati rakyat. Pemimpin-pemimpin BN tahu masalah yang mereka hadapi sekarang. Mereka sedar bahawa BN boleh tumbang di Putrajaya jika mereka gagal mengorak langkah yang tepat menghadapi pilihanraya akan datang. 

BN merasakan satu-satunya cara untuk menang dalam pilihanraya akan datang adalah dengan cara membeli undi. BN mahu memberi wang dalam pelbagai bentuk untuk mempengaruhi hati rakyat. Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia juga merupakan satu bentuk ‘rasuah’ untuk membeli undi rakyat terutamanya golongan miskin. “I help you, You help me” sudah menjadi dasar kerajaan secara tersirat. Banyak lagi program ‘memberi wang’ telah diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak  baru-baru ini. Kerajaan BN yang buta dan pekak selama 54 tahun, tiba-tiba sudah nampak kesengsaraan rakyat  dan mula mendengar rungutan golongan miskin. 

Semua ini adalah merupakan kejayaan rakyat kerana memberi sokongan yang padu kepada PR. Semakin kuat PR, semakin banyak yang dapat dikerah daripada BN. Oleh yang demikian, rakyat harus bijak untuk ‘perah susu’ daripada kerajaan BN yang hanya pentingkan kroni-kroninya selama ini. Apabila BN merasakan ajalnya sudah hampir tiba, macam-macam polisi dan program diperkenalkan untuk menyelamatkan diri. Walau apa sekali pun, rakyat tetap beruntung akibat tekanan politik yang dihadapi oleh BN. 

PR juga sedang berusaha sedaya upaya mengatur banyak program-program mesra rakyat untuk mengambil hati pengundi-pengundi. Kebanyakkan program-program yang dilaksanakan oleh PR juga menguntungkan rakyat. Tambahan pula, negeri-negeri di bawah PR juga cuba membuktikan kehebatannya dengan memperkenalkan polisi-polisi yang handal. PR juga sedar bahawa peluang untuk menang dalam PRU13 bergantung kepada pencapaian dan kearifan pemimpin-pemimpin PR untuk mentadbir negara dan menjaga kebajikan rakyat. 

Sebagai kesimpulan, persaingan di antara BN dan PR ini telah banyak menguntungkan rakyat. Tetapi, keadaan akan berubah selepas PRU13. Andai kata, BN menang dalam pilihanraya, ini akan melemahkan PR.  Jika PR menjadi lemah, rakyat akan rugi kerana BN akan kembali kepada landasan asalnya untuk membantu kroni-kroni politik mereka. Rakyat akan diabaikan sekali lagi. 

Sekiranya PR menang dalam PRU13, ini akan menguntungkan rakyat kerana dasar-dasar baru akan dilaksanakan untuk menjaga kebajikan rakyat. Pada masa yang sama PR pasti akan berusaha untuk mempamerkan kecemerlangannya supaya kekal menjadi kerajaan dalam PRU14.  Walau bagaimanapun BN tidak akan mengaku kalah dengan begitu mudah. Mereka juga akan bersaing bermati-matian untuk kembali berkuasa dalam PRU14 nanti. BN juga akan cuba memperkenalkan polisi-polisi baru untuk mengambil hati rakyat supaya menyokong mereka. Persaingan ini akan mewujudkan sistem dua parti di negara kita seperti di negara-negara maju yang lain. Oleh yang demikian, kemenangan BN dalam PRU13 akan merugikan rakyat dalam jangka panjang. 

Kemenangan PR dalam PRU13 akan menguntungkan rakyat untuk selama-lamanya kerana ini akan berjaya mewujudkan sistem dua parti. Kalau ibu kaya anak jadi puteri, kalau anak kaya ibu jadi hamba. Inilah satu peringatan kepada semua pengundi-pengundi yang akan menentukan masa depan negara ini tidak lama lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan