Sumber : sinar harian (edisi perak)
19 Julai 2012
IPOH - Pengerusi DAP Negeri, Datuk Ngeh Koo Ham menggesa Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon segera menghentikan isu pajakan selama 99 tahun bagi semua lot di Kampung Tersusun serta Kampung Baru Cina di sekitar negeri.
Katanya, sejak mengambil alih pemerintahan di negeri ini pada 6 Februari 2009, mereka didakwa telah mengumumkan kelulusan pajakan selama 99 tahun bagi kedua-dua kampung berkenaan termasuk rebet sebanyak 80 peratus bagi jumlah premium yang perlu dibayar.
Bagaimanapun katanya, tempoh pajakan itu satu penipuan apabila rakyat sebenarnya diberi pilihan untuk memilih pajakan selama 60 tahun atau 99 tahun sementara rebet yang diberi untuk pajakan selama 99 tahun hanyalah 50 peratus bukannya 80 peratus sebagaimana yang dijanjikan.
“Perkara ini berlaku kepada saya sendiri apabila surat daripada pihak pejabat tanah bertarikh 15 September 2010 yang menyatakan bahawa lot rumah kediaman saya di Kampung Baru Cina Ayer Tawar hanya diluluskan selama tempoh 60 tahun sahaja.
“Setelah saya membuat bantahan melalui media, sekali lagi saya menerima surat daripada pejabat tanah yang bertarikh 18 Januari 2011 yang memberi pilihan kepada saya sama ada untuk memilih tempoh pajakan selama 60 atau 99 tahun dengan rebet premium untuk pajakan 99 tahun sebanyak 50 peratus sahaja berbanding 80 peratus seperti yang dijanjikan.
“Oleh kerana tiada pilihan, saya memilih tempoh pajakan selama 99 tahun dan terpaksa membayar rebet sebanyak 50 peratus, bagaimanapun menerusi surat bertarikh 13 Mac 2012 yang dikeluarkan kepada saya, tempoh hak milik yang diberi hanyalah untuk tempoh 60 tahun sahaja dan bukannya 99 tahun.
“Saya percaya ramai lagi rakyat tertipu, mereka telah membayar premium untuk hak milik selama-lamanya semasa pemerintahan Pakatan Rakyat (PR), tetapi mereka (BN) masih enggan memberikan hak milik selama-lamanya kepada mereka ini,” katanya lagi dalam sidang media di Wisma DAP di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Pemuda DAP (Dapsy) Negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Canning, Wong Kah Woh dan Lim Pek Har (Menglembu). Koo Ham turut menggesa BN Negeri untuk segera melaksanakan perkara yang sama terhadap sekolah-sekolah agama termasuk sekolah Cina dan Tamil di sekitar negeri.
Katanya, biarpun telah mengumumkan pemberian tanah seluas 500 hektar kepada sekolah-sekolah agama dan 250 ekar bagi sekolah-sekolah Cina dan Tamil sebelum ini, masih tiada kemajuan yang dilaksanakan di tanah-tanah berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan