Ahad, 1 Julai 2012

Dialog Rakyat Dengan Polis Di Taman Desa Rishah


Kenyataan Media YB V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Tronoh pada 1/7/2012 di Taman Desa Rishah.


Dialog Rakyat Dengan Polis Di Taman Desa Rishah


DAP telah menganjurkan satu program dialog di antara polis dan penduduk Taman Desa Rishah pada pagi Ahad iaitu 1/7/2012. Perjumpaan telah diadakan di tapak padang Taman Desa Rishah. Lebih kurang 200 orang penduduk taman ini telah menghadiri sesi dialog ini. Turut hadir bersama ialah YB V.Sivakumar (ADUN Tronoh), YB A.Sivasubramaniam (ADUN Buntong), YB Lim Pek Har (ADUN Menglembu) dan Sdr The Hock Ke (Setiausaha Organisasi DAP Perak). Dari pihak polis pula ASP Chua iaitu Ketua Balai Polis Menglembu dan 3 orang anggota polis yang lain menghadiri sesi dialog itu.

Sesi ini berlangsung selama lebih kurang 2 jam. Beberapa masalah telah dibangkitkan dalam perbincangan itu. Antaranya adalah:

1) Masalah keselamatan Taman Desa Rishah di mana kadar jenayah di kawasan itu semakin meningkat. Tidak ada rondaan kereta polis di kawasan itu dengan alasan tidak cukup tenaga atau kekuatan polis. Walau bagaimanapun, ASP Chua telah bersetuju untuk meningkatkan kawalan rondaan polis di kawasan ini mulai sekarang.

2)  Isu pagar untuk menutup 3 jalan yang dibuat oleh penduduk tempatan telah dibuka oleh pihak Majlis Bandaraya Ipoh kerana tekanan politik pihak-pihak tertentu. Penduduk telah meminta polis memberi surat sokongan supaya Datuk Bandar Ipoh menutup ketiga-tiga jalan yang mewujudkan kes-kes kecurian di taman itu. ASP Chua telah bersetuju untuk memberi surat sokongan tersebut.

3) Mewujudkan satu pondok polis kekal di kawasan Taman Desa Rishah. Hampir semua penduduk yang hadir telah bersetuju dengan cadangan yang diberikan. Penduduk kawasan ini mahu wakil-wakil rakyat untuk mengusahakan pondok polis dengan kadar yang segera.

4) Isu masalah jual beli dadah di kawasan ini juga telah dibangkitkan oleh salah seorang penduduk kawasan itu. Pihak polis mengakui bahawa mereka megetahui tentang masalah yang dibangkitkan tetapi memberi alasan-alasan tertentu kenapa ia tidak dapat dibanteras. Walau bagaimanapun, penduduk Taman Desa Rishah mahu polis Menglembu dengan kerjasama polis anti-narkotik untuk mengambil langkah-langkah yang sewajarnya dengan segera.

5)  Isu samseng mengugut peniaga-peniaga kawasan Menglembu juga dibangkitkan oleh seorang penduduk kawasan itu. ASP Chua mendakwa  bahawa tidak ada sebarang laporan polis mengenai  aktiviti peras ugut yang berlaku di kawasan ini. Walau bagaimanapun beliau telah berjanji kepada orang awam jika mereka tidak berani membuat laporan polis, mereka boleh berjumpa dengan beliau untuk membuat pengaduan.

Perjumpaan penduduk Taman Desa Rishah dengan pihak polis Menglembu bersama wakil-wakil rakyat mendapat satu harapan baru bahawa kadar jenayah kawasan ini akan berkurangan selepas ini. Tetapi, semua ini bergantung kepada sejauh manakah komitmen pihak polis dan penduduk tempatan dalam menyelesaikan masalah jenayah ini. 

Dalam perjumpaan ini juga, semua pihak telah bersetuju untuk mengadakan dialog seperti ini setiap enam bulan sekali.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan