Selasa, 26 Ogos 2014

SOKONGAN MAJORITI 30 AHLI DEWAN NEGERI SELANGOR

‎Kenyataan media Dato Seri Dr Wan Azizah Ismail (14.8.14):-



Saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT yang mengizinkan pentadbiran Kerajaan Selangor dikembalikan kepada Pakatan Rakyat seperti yang dimandatkan oleh rakyat dalam Pilihanraya Umum 13.


Dengan ini, saya mengumumkan bahawa 30 orang Ahli Dewan Negeri (ADN) Pakatan Rakyat (termasuk saya) seperti tersenarai di dalam lampiran telah menyatakan rasa hilang percaya kami kepada YAB Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Dato’ Menteri Besar. Mereka juga telah menyatakan sokongan kepada saya untuk mengambilalih tugas sebagai Dato’ Menteri Selangor yang baru.


Pendirian mereka ini dinyatakan secara bertulis di dalam Akuan Bersumpah yang ditandatangani oleh kesemua 30 ADN selain mereka hadir sendiri pada hari ini untuk menyatakan sokongan itu.


Dengan perkembangan ini, kami yang hadir mengesahkan bahawa kami mempunyai majoriti di dalam Dewan Negeri sekurang-kurangnya sebanyak empat (4) orang ahli berbanding seorang ahli bebas, 12 ahli dari UMNO dan 13 ahli dari PAS yang masih belum menyatakan sokongan terbuka.


Oleh yang demikian, saya telah mengutus satu surat kepada ke bawah DYMM Tuanku Sultan Selangor pada jam 1130 pagi ini untuk memohon mengadap dan mempersembahkan sokongan majoriti untuk perkenan ke bawah DYMM Tuanku seperti yang diperuntukkan di dalam Undang-undang Tubuh Negeri. Saya juga memohon untuk mendapatkan pandangan DYMM Tuanku Sultan Selangor sekiranya ada keperluan bagi YB Speaker memanggil sidang Dewan Negeri Selangor untuk memuktamadkan proses pertukaran YAB Menteri Besar.


Saya menasihati YAB Tan Sri Khalid Ibrahim supaya menghormati undang-undang dan prinsip demokrasi dengan segera meletakkan jawatan kerana beliau telah hilang sokongan majoriti. Beliau seharusnya memudahkan proses peralihan kuasa secara tertib dan tidak membuat sebarang keputusan dasar atau pentadbiran setelah sah kini dengan terbatalnya keabsahan (legitimacy) beliau sebagai Menteri Besar.


Keutamaan saya ialah mengembalikan pentadbiran Kerajaan Selangor kepada Pakatan Rakyat agar segala perancangan dan dasar Pakatan Rakyat dapat dilaksanakan dengan cepat dan berkesan seperti mandat yang diberikan rakyat.


Oleh yang demikian, saya menyeru supaya rakan-rakan ahli Dewan Negeri dari Pakatan Rakyat yang lain yang belum membuat penyataan sokongan terbuka mempertimbangkan keperluan mendesak ini untuk mengembalikan urusan pentadbiran Kerajaan Selangor seperti biasa.


Saya juga memuji kesabaran rakyat Selangor dalam menghadapi perkembangan politik mutakhir ini dan menasihati orang ramai agar terus bertenang sementara menunggu ia diselesaikan secara baik melalui jalan perundangan mengikut Undang-undang Tubuh Negeri.




YB DATO’ SERI DR WAN AZIZAH ISMAIL
Ahli Dewan Negeri Kajang

Tiada ulasan:

Catat Ulasan