Selasa, 26 Ogos 2014

Jumlah Pengambilan Jatuh,



Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 24 Ogos 2014 di Lahat, Ipoh.

 Jumlah Permohonan Jatuh, Jumlah Pengambilan Jatuh, Kamalanathan Masih Bangga Dengan Kerajaaan Dalam Isu Tawaran Masuk Pelajar-pelajar India Ke Universiti-Universiti Awam Tempatan.

Pada tahun ini permohonan pelajar-pelajar India untuk program Ijazah Sarjana Muda di universiti-universti awam telah menurun. Kenapa ini berlaku? Saya tidak tahu kenapa ramai pelajar-pelajar India tidak membuat permohonan untuk memasuki universiti-universti awam tempatan. Antara kemungkinan ialah :-

1) Ibubapa dan pelajar-pelajar sudah tidak yakin dengan universiti-universiti awam tempatan.

2) Ramai pelajar-pelajar India telah mendaftarkan diri untuk mengikuti kursus-kursus iktisas di kolej-kolej atau universti-universti swasta. Ini adalah kerana universiti-universti awam tidak menawarkan kursus pilihan mereka tetapi memberi tawaran kursus-kursus lain yang tidak diminati

3) Keputusan STPM pelajar-pelajar India merosot berbanding dengan tahun sebelumnya. Jika ini telah berlaku, apakah puncanya?

4) Tidak ramai yang memasuki STPM kerana gagal memperolehi keputusan yang baik di peringkat SPM dan terpaksa meninggalkan bangku sekolah.

Kementerian Pendidikan harus memberi satu penjelasan yang konkrit kenapa terdapat penurunan dalam permohonan untuk memasuki universti-universiti awam tempatan.

Satu kajian yang terperinci perlu dibuat untuk mengetahui pola terbaru ini. Perkara yang memeranjatkan ialah jumlah keseluruhan permohonan untuk universti-universiti awam telah meningkat sebanyak 7.8% iaitu 68,707 permohonan pada tahun 2013 meningkat kepada 74,071 pada tahun 2014.
Kenapa terdapat hubungan songsang diantara permohonan keseluruhan berbanding dengan permohonan oleh pelajar-pelajar India secara khususnya. Perkara ini perlu dianalisa dan diberi satu jawapan yang munasabah oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

Daripada 74,071 permohonan seramai 67388 orang pelajar iaitu 90.97% layak diberi tawaran untuk mengikuti kursus-kursus ijazah di universti-universiti awam. Bagi pelajar-pelajar India pula seramai 3363 orang telah membuat permohonan tetapi hanya 1533 orang pelajar diberi tawaran untuk melanjutkan pelajaran di universiti-universiti awam dalam negara. Ini bermakna hanya 45.58% daripada dianggap layak untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading. Perkara ini perlu diberi perhatian khusus kerana nisbah peratusan ini adalah amat rendah sekali jika dibandingkan dengan peratusan pengambilan keseluruhan pelajar-pelajar bagi tahun 2014. Seramai 1830 orang pelajar daripada 3363 orang pelajar India tidak diberi tawaran melanjutkan pelajaran ke universiti-universti awam. Perkara ini perlu disiasat untuk mengetahui kenapa lebih daripada 50% daripada permohonan pelajar-pelajar India ditolak.

Pada tahun 2013 daripada jumlah keseluruhan tawaran masuk universiti-universiti awam hanya 4.3% ditawarkan kepada pelajar-pelajar dari kalangan kaum India. Pada tahun ini pula, jumlah ini telah menurun lagi kepada 4.1%. Saya memohon penjelasan terperinci daripada YB Datuk Kamalanathan, Timbalan Menteri Pendidikan yang memberi komen bahawa beliau berharap peratusan ini akan bertambah pada tahun-tahun akan datang. Saya juga memohon kepada beliau supaya tidak berbangga dengan sedikit peningkatan dalam pengambilan pelajar-pelajar India dalam jurusan perubatan pada tahun ini. Ini adalah kerana daripada 1163 pelajar-pelajar India yang layak telah memohon, hanya 59 orang diberi tawaran dalam jurusan tersebut.

Datuk Kamalanathan tidak harus menutup kebenaran dengan mengalih pandangan masyarakat India dengan menunjukkan sedikit kenaikan dalam pengambilan pelajar-pelajar India dalam jurusan perubatan. Tetapi, terdapat kejatuhan yang signifikan dalam keseluruhan pengambilan pelajar-pelajar India ke univesiti-universiti awam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan