Selasa, 26 Ogos 2014

Kementerian Pendidikan Jangan Manupulasikan Isu Lambakan Doktor Untuk Mengurangkan Pengambilan Mahasiswa Jurusan Perubatan Di IPTA



Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 25/8/2014 di Batu Gajah


Malaysia dikatakan mengalami lambakan doktor baru-baru ini. Kenyataan ini mungkin mempunyai asas. Tetapi, fenomena ini harus ditelitikan dengan baik supaya ianya tidak merugikan mana-mana pihak terutamanya rakyat jelata. Kenyataan ini tidak seharusnya dibuat untuk menjamin dan memastikan golongan iktisas ini sentiasa menikmati pendapatan lumayan.

Secara lumrahnya kita semua tahu bahawa apabila jumlah doktor adalah rendah bilangannya dan permintaan pula tinggi, maka ini secara logiknya akan memberi pendapatan yang lumayan kepada golongan tersebut. Jika jumlah doktor bertambah dengan banyak iaitu 'supply' ataupun penawaran meningkat maka ini pastinya akan mengugat pendapatan yang diperolehi. Oleh yang demikian, faktor pendapatan itu tidaklah patut dijadikan sebagai asas ataupun satu kayu pengukur untuk menyatakan samada negara kita sedang mengalami lambakan doktor ataupun tidak.

Pada pandangan saya, nisbah ataupun ratio bilangan doktor dengan jumlah rakyat adalah satu pendekatan terbaik untuk memastikan samada terdapat lambakan doktor di dalam negara kita. Pada masa ini, didapati nisbah doktor dengan penduduk adalah 1 : 1000. Nisbah ini menunjukkkan bahawa kita masih kekurangan doktor jika dibandingkan dengan negara-negara maju. Bagi negara-negara maju yang amat mementingkan sektor kesihatan, ratio ini adalah lebih kurang 1 : 400. Negara kita juga menyasarkan untuk mencapai ratio 1 : 400 dalam tahun 2020 iatu dalam tempoh 6 tahun lagi. Bagaimanakah kerajaan akan mencapai sasaran itu jika kita sudah mula mengawal pengambilan pelajar-pelajar perubatan pada masa ini?

Adakah Malaysia benar-benar mengalami lambakan doktor? Pada hemat saya piawaian sektor kesihatan negara kita masih belum mencapai tahap yang memuaskan. Kalau benar kita mempunyai jumlah doktor yang berlebihan, kenapa pula orang-orang yang pergi ke hospital kerajaan merungut bahawa sukar untuk mendapatkan tarikh temujanji dan tarikh pembedahan? Ramai yang terpaksa menungggu berbulan-bulan untuk menjalani pembedahan kerana tidak dapat memperolehi tarikh daripada doktor-doktor yang terlibat. Ramai juga yang telah mati dalam tempoh masa menunggu tarikh pembedahan yang diberikan oleh doktor-doktor di hospital awam.

Jika benar kita mengalami lambakan doktor, kenapakah kos rawatan & perubatan begitu tinggi di hospital-hospital swasta? Keadaan ini tidak sepatutnya wujud kerana persaingan antara doktor-doktor yang ramai dalam negara ini sepatutnya akan merendahkan lagi kos rawatan & perubatan dan bukan sebaliknya. Ramai juga diantara doktor-doktor kerajaan yang sanggup meletak jawatan dan beralih ke hospital-hospital swasta kerana permintaan yang tinggi untuk doktor. Oleh yang demikian, adalah tidak logik jika kita mengatakan bahawa kita mengalami lambakan doktor dalam konteks ini.

Saya juga berpendapat bahawa kita tidak mengalami lambakan doktor, tetapi kita ketandusan tempat di hospital-hospital untuk melatih doktor-doktor baru yang tamat pengajian ijazah. Kita perlukan lebih banyak hospital kerajaan di seluruh negara. Kita harus meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan untuk pesakit-pesakit miskin dan sederhana. Kita harus meningkatkan semua jenis infra struktur dalam hospital-hospital awam.

Di kebanyakkan hospital-hospital daerah, memang tidak mempunyai kakitangan yang cukup terutamanya pegawai-pegawai perubatan. Saya boleh merujuk kepada Hospital Batu Gajah sebagai contoh. Pesakit-pesakit yang melawat hospital ini sentiasa mengadu bahawa kelewatan dalam mendapat rawatan. Apabila perkara ini dibangkitkan, alasan yang kita terima ialah kekurangan kakitangan. Perkara ini tidak dapat dinafikan kerana memang tidak cukup pegawai-pegawai perubatan terutamanya pada waktu malam di bahagian kecemasan dan wad-wad.

Dakwaan bahawa kita mempunyai lebihan doktor itu tidak munasabah untuk dijadikan alasan bagi mengurangkan pengambilan pelajar-pelajar ke fakulti perubatan di universiti-universiti awam pada tahun ini. Tindakan mengurangkan pengambilan pelajar-pelajar perubatan di universiti-universti awam adalah satu tindakan yang kurang rasional. Kerajaan cuba melepaskan tanggungjawab dan beban itu untuk mengurangkan perbelanjaannya.

Tetapi, ini akan menyusahkan pelajar-pelajar cemerlang yang datang daripada keluarga miskin ataupun sederhana. Golongan ini tidak mampu menghantar anak-anak mereka untuk meneruskan pelajaran dalam bidang perubatan di universiti-universiti swasta.

Pada masa yang sama pelajar-pelajar yang kurang bijak tetapi mempunyai kemampuan kewangan pula dapat mengikuti kursus perubatan di universti-universti swasta yang mula bercendawan di negara kita. Pada hakikatnya, graduan perubatan meningkat bukan kerana Institusi-institusi Pengajian Tinggi Awam tetapi sebahagian besarnya daripada Institusi-institusi Pengajian Tinggi Swasta.

Tindakan kerajaan mengurangkan tempat bagi kursus perubatan di universiti-universiti awam membuktikan ketidak prihatinan serta menindas pelajar-pelajar cemerlang yang kurang berkemampuan. Selain daripada itu, dasar seperti ini juga menggalakkan universiti-universti swasta mengambil kesempatan untuk menaikkan lagi kos pembelajaran seperti yuran dan sebagainya pada masa hadapan.

Saya rasa amat simpati terhadap ratusan pelajar yang memiliki keputusan yang cemerlang tetapi tertipu dengan tindakan kerajaan mengurangkan pengambilan masuk pada tahun ini secara mendadak. Kerajaan telah mengecewakan anak-anak kita yang mempunyai harapan besar. Cita-cita mereka hancur kerana kerajaan yang bersikap tidak adil.

Persoalannya sekarang ialah kenapakah kerajaan tidak mengumumkan awal-awal lagi keputusan mereka untuk mengurangkan pengambilan pelajar-pelajar di fakulti perubatan pada tahun ini? Bukankah ini bermakna kerajaan telah menganiyaya anak-anak kita yang bertungkus lumus mambakar pelita?


Menurut Timbalan Menteri Pendidikan YB Datuk P Kamalanathan hanya 418 pelajar yang layak diberi peluang untuk mengikuti jurusan perubatan di Institut-institut Pengajian Tinggi Awam pada tahun ini. Beliau juga berkata tawaran tempat yang terhad itu adalah bagi mengawal jumlah siswazah perubatan baharu dan mengelakkan berlakunya kebanjiran doktor baharu di pasaran kerja.

Seramai 1163 pelajar yang mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 telah memohon jurusan perubatan tetapi hanya 418 tempat sahaja ditawarkan kepada pelajar-pelajar cemerlang ini. Apakah nasib 745 orang pelajar cemerlang yang gagal mendapat jurusan perubatan itu terpaksa mengikuti kursus yang tidak diminati?

Jumlah pengambilan mahasiswa perubatan di Institutut-institut Pengajian Tinggi Awam semakin berkurangan pada tiap-tiap tahun sejak 2012. Pada tahun 2011 pengambilan pelajar untuk jurusan perubatan adalah 983 orang, manakala pada tahun 2012 pula dikurangkan kepada 875 orang. Jumlah itu menjadi lebih kecil lagi pada tahun 2013 iaitu hanya 699 orang pelajar diambil untuk jurusan perubatan. Pada tahun ini hanya 418 pelajar sahaja.

Ternyata pengambilan pelajar-pelajar jurusan perubatan semakin berkurangan di Pusat-pusat Pengajian Tinggi Awam. Bagaimana pula di Pusat-pusat Pengajian Tinggi Swasta? Adakah jumlah pengambilan jurusan perubatan meningkat atau merosot tiap-tiap tahun? Perkara ini akan saya bangkitkan dalam Persidangan Dewan Rakyat akan datang.

Kebelakangan ini banyak Institut Pengajian Tinggi Swasta menawarkan program perubatan. Ini adalah berpunca daripada permintaan yang tinggi untuk jurusan tersebut. Pada masa ini wujud lebih daripada 30 buah sekolah perubatan swasta di negara kita. Persatuan Perubatan Malaysia mendakwa 4000 hingga 5000 graduan perubatan dihasilkan setiap tahun.
Menurut mantan Presidennya, Dr David Quek Kwang Leng, masalah lambakan doktor yang wujud di negara kita berpunca daripada kewujudan banyak Institut Pengajian Tinggi yang menawarkan pelbagai kursus perubatan.

Justeru itu, bilangan Institusi Pengajian Tinggi Swasta adalah merupakan punca masalah ini. Tetapi kerajaan pula mengurangkan pengambilan pelajar-pelajar perubatan di Institusi Pengajian Tinggi Awam. Perkara ini perlu dikaji semula dengan serta merta dan memberi peluang kepada anak-anak kita yang memiliki keputusan cemerlang untuk mengikuti kursus pilihan mereka. Inilah keadilan terbaik yang patut diberikan kepada mereka yang layak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan