Ahad, 31 Ogos 2014

Selagi Undanag-undang Tidak Dipinda, Wakil Rakyat Terpaksa Tengok Longkang


Kenyataan Media YB V.Sivakaumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 28 Ogos 2014 di Pekan Batu Gajah.


 Isu longkang bukanlah tanggungjawab Ahli Dewan Undangan Negeri atau Ahli Parlimen. Tetapi, pada hari ini ramai yang mengadu masalah longkang di kawasan perumahan , pekan dan bandar kepada wakil rakyat yang turun padang. Ini menjadi satu masalah besar kepada wakil rakyat yang mendengar rintihan mereka dan terpaksa melihat keadaan longkang tersumbat yang tidak dibersihkan. Bukankah ini merugikan masa dan tenaga wakil rakyat yang sepatutnya menggunakan sumber mereka untuk perkara-perkara yang lebih besar dan penting?

Saya bukan berkata isu longkang ini tidak penting. Masalah ini adalah mustahak kepada orang ramai yang menghadapi ketidak selesaan akibatnya. Masalah longkang-longkang yang tersumbat ini boleh menimbulkan pelbagai masalah kepada penduduk seperti bau busuk, air bertakung, nyamuk membiak, mengganggu kesihatan dan banjir kilat.

Sebagai wakil rakyat yang prihatin kita terpaksa juga melihat keadaan longkang-longkang yang bermasalah dan membawa perkara itu kepada pihak berkuasa tempatan. Tetapi, kerja-kerja ini sebenarnya adalah tanggungjawab Ahli Majlis. Adalah tidak wajar untuk mengharapkan wakil rakyat untuk menyelesaikan masalah seperti ini. Di manakah hilang Ahli-ahli Majlis yang sepatutnya menjadi agen serampang dua mata untuk kerajaan yang memerintah?

Penduduk sering kali tidak berpeluang untuk berjumpa dengan Ahli Majlis kawasan mereka. Malah, nama Ahli Majlis kawasan masing-masing juga tidak diketahui ramai. Selepas mereka dilantik menjadi Ahli Majlis jarang sekali mereka lawat kawasan untuk mendengar masalah ataupun aduan rakyat. Mereka tidak mahu menonjolkan diri di kawasan yang ditugaskan. Adakah mereka ini takut untuk bersemuka dengan rakyat?

Mereka risau masalah rakyat tidak boleh diselesaikan oleh Kerajaan Tempatan. Itulah sebabnya mereka tidak mahu berjumpa dengan rakyat. Masalah ini timbul kerana Ahli-ahli Majlis ini tidak dipilih melalui pilihanraya. Meraka dilantik oleh kerajaan yang memerintah, maka tanggungjawab dan akauntabiliti kepada rakyat adalah pada tahap yang paling minima.

Kalau masalah longkang tidak mahu diselesaikan oleh Kerajaan Tempatan, siapakah lagi akan menyelesaikannya? Saya ingin memberi satu contoh yang nyata berhubung dengan masalah longkang di kawasan saya sendiri., Di Jalan Pandak Akhat, Pekan Batu Gajah, hampir semua longkang yang ada di kawasan itu tersumbat dan terganggu aliran air. Perkara ini bukanlah satu masalah baru di kawasan ini.

Saya pernah membangkitkan masalah ini kepada Majlis Daerah Batu Gajah sejak tahun 2008. Sehingga hari ini masalah ini tidak diselesaikan oleh Majlis Daerah Batu Gajah. Saya rasa sungguh pelik dengan Majlis Daerah Batu Gajah yang tidak mahu menghulurkan peruntukan bagi membersihkan dan membaiki longkang-longkang di kawasan ini.

Ramai juga yang pernah mengadu tentang masalah ini kepada pihak berkuasa tempatan tetapi ianya tidak pernah dipedulikan. Ahli-ahli Majlis Daerah Batu Gajah hanya makan 'elaun buta' kerana mereka buat-buat tidak nampak masalah ini. Saya yakin Ahli-ahli Majlis dan Yang Dipertua Majlis Daerah Batu Gajah mengetahui masalah ini.

Pada minggu lepas, telah berlaku banjir kilat di kawasan berkenaan. Ini adalah kerana aliran air terkandas disebabkan oleh longkang-longkang yang tersumbat itu. Saya telah menerima aduan daripada beberapa peniaga di kawasan ini kerana kedai mereka dinaiki air bah ketika hujan lebat.

Bukankah tanggungjawab kerajaan tempatan untuk menyelesaikan masalah ini? Bukankah aduan-aduan seperti ini dibuat kepada Ahli-ahli Majlis? Tetapi, saya tidak boleh menyalahkan pengadu kerana Ahli-ahli Majlis yang dilantik oleh kerajaan tidak melaksanakan kewajibannya.

Selagi Ahli-ahli Majlis tidak dipilih melalui proses demokrasi oleh rakyat, masalah-masalah remeh seperti ini tidak dapat diselesaikan oleh kerajaan tempatan. Kerajaan Persekutuan harus mempertimbangkan untuk meminda undang-undang yang sedia ada supaya pilihanraya kerajaan tempatan diwujudkan di negara ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan