Selasa, 26 Ogos 2014

Ikut Perlembagaan Untuk Melantik MB, Selesaikan Krisis, Kembalikan Pentadbiran Harmoni Di Negeri Selangor



Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 18 Ogos 2014 di Ipoh

 Majlis Pakatan Rakyat telah memberi sokongan majoriti kepada Datin Seri Dr Wan Azizah semalam. Ini juga merupakan kemahuan majoriti di kalangan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Selangor. Keputusan ini adalah satu mandat yang diperolehi oleh Datin Seri Wan Azizah untuk dilantik sebagai Menteri Besar Selangor menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim.

Negara kita mengamalkan sistem demokrasi Raja Berperlembagaan. Bermaksud perlembagaan mengatasi setiap orang termasuk Raja yang memerintah. Perlembagaan telah mengariskkan bahawa seseorang Ahli Dewan Undangan Negeri yang mendapat sokongan majoriti daripada ahli-ahli yang lain dilantik menjadi Menteri Besar untuk mengetuai kerajaan negeri tersebut.

Dalam kes Selangor, Datin Seri Wan Azizah telah memperolehi sokongan sebilangan besar daripada Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Selangor dan direstui oleh Majlis Pakatan Rakyat. Kita harus menghormati keputusan majoriti tersebut. Ini adalah penting untuk memastikan keluhuran Perlembagaan di negara kita sentiasa terjamin.

Datin Seri Wan Azizah layak menjadi Menteri Besar Selangor kerana beliau mencukupkan semua syarat yang diwajibkan oleh Perlembagaan Negeri tersebut iaitu:-

1) Beliau adalah seorang Ahli DUN Selangor
2) Beliau berjaya memperolehi sokongan majoriti Ahli-ahli DUN Selangor
3) Beliau adalah seorang berbangsa Melayu
4) Beliau adalah seorang beragama Islam

Oleh yang demikian, Datin Seri Wan Azizah harus dilantik sebagai Menteri Besar Selangor untuk menghormati mandat yang diberikan oleh rakyat. Prinsip demokrasi 'Kerajaan Rakyat, Oleh Rakyat, Untuk Rakyat' harus ditegakkan jika mahu melihat demokrasi hidup subur di negara ini. Suara rakyat adalah suara keramat.

Pelbagai alasan dan faktor telah diutarakan oleh pihak-pihak tertentu untuk menolak Datin Seri Wan Azizah menjawat jawatan Menteri Besar. Tetapi, semua alasan-alasan itu tidak boleh dijadikan asas. Ini adalah kerana penolakan seperti itu tidak sejajar dengan kemahuan dan syarat-syarat yang ditetapkan dalam undang-undang tertinggi negeri berkenaan. Semua alasan itu bukanlah syarat yang termaktub dalam perlembagaan.

Setiap individu yang mengelar dirinya sebagai warganegara Malaysia harus memberi keutamaan kepada Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri yang menjadi asas kepada sistem pemerintahan dan pentadbiran negara kita. Ini merupakan kewajiban utama setiap rakyat Malaysia yang mencintakan negara ini. Setiap tindakan yang bertentangan dengan Perlembagaan adalah dianggap sebagai satu kesalahan besar dan terhina serta boleh menjejaskan imej dan kredibiliti negara.

Justeru itu, Datin Seri Wan Azizah harus dilantik sebagai Menteri Besar Selangor sebagai tanda menghormati Undang-undang tertinggi. Tambahan pula ini akan menamatkan krisis politik di Selangor dengan serta merta. Rakyat Selangor sedang menanti untuk melihat pentadbiran negeri itu kembali harmoni di bawah kerajaan Pakatan Rakyat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan