Ahad, 31 Ogos 2014

Nasib 745 Pelajar Cemerlang Tidak Patut Dipertaruhkan Oleh Kerajaan Jika Benar-benar Prihatin Tentang Masa Hadapan Mereka.


Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak di Majlis Jamuan Makan Malam DAP Cawangan Lahat sempena Sambutan Hari Merdeka pada 30 Ogos 2014 di Dewan Orang Ramai Lahat



Apakah nasib 745 orang pelajar yang mendapat CGPA 4.00 tetapi gagal mendapat tempat dalam jurusan perubatan di Institut-institit Pengajian Tinggi Awam? Anak-anak kita yang telah bertungkus lumus membakar pelita untuk mencapai cita-cita mereka untuk menjadi doktor. Tetapi, usaha dan harapan mereka terkecai apabila mereka mendapat tawaran membuat jurusan lain di Unviesiti-universiti awam. Mereka diminta untuk membuat rayuan jika tidak puas hati oleh Kementerian Pendidikan. Tetapi, berapakah di antara mereka ini akan dipertimbangkan rayuannya?

Saya rasa simpati dan terharu dengan nasib pelajar-pelajar yang gagal mendapat tempat di jurusan perubatan pada tahun ini. Mereka tidak mampu berbuat apa-apa kecuali mengikuti kursus lain yang ditawarkan kepada mereka. Bagi mereka yang datang daripada keluarga yang berada, masalah ini boleh diselesaikan dengan menghantar anak-anak ke institusi-institusi pengajian tinggi swasta. Tetapi, bagi keluarga yang miskin, pilihan untuk menghantar anak mereka memasuki universiti-universti swata adalah anggan-anggan sahaja. Ini adalah kerana kos pembelajaran yang sangat tinggi melampaui batas kemampuan mereka.

Alasan bahawa Malaysia menghadapi lambakan doktor adalah tidak munasabah. Jika benar kita sedang menghadapi lambakan doktor, kenapa pula banyak institusi-institusi pengajian tinggi swasta diberi lesen untuk menawarkan kursus perubatan? Adalah tidak logik apabila kita membuka banyak universiti-universti swasta yang menawarkan kursus perubatan padahal negara kita dikatakan menghadapi lambakan doktor.

Pada pandangan saya, alasan lambakan doktor ini dibuat semata-mata untuk menjustifikasi pengurangan pengambilan pelajar-pelajar baru di universiti-universiti awam pada tahun 2014. Pada tahun ini hanya 418 pelajar yang mendapat keputusan cemerlang diberi tawaran untuk memasuki jurusan perubatan berbanding dengan tahun 2011 seramai 983 pelajar diberi peluang tersebut. Ini bermakna telah berlaku pengurangan sebanyak 565 tempat perubatan di universiti-universiti awam dalam tempoh 3 tahun.

Saya ingin mengetahui berapakah jumlah pengambilan pelajar-pelajar di universiti-universti swasta di seluruh negara bagi tahun 2011, 2012, 2013 dan 2014. Soalan ini akan saya bangkitkan melalui soalan lisan Dewan Rakyat yang akan mula bersidang pada 7 Oktober 2014. Saya juga mahu mendapatkan penjelasan yang sebenar daripada Menteri Pendidikan supaya perkara ini tidak diputar belitkan oleh mana-mana pihak dengan fakta-fakta yang salah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan