Isnin, 30 Disember 2013

KERAJAAN NEGERI SEDIA AMBIL ALIH TANAH UNTUK ATASI BANJIR



KENYATAAN AKHBAR
18 DIS 2013

Kerajaan Negeri telah mengenal pasti antara sebab utama kejadian banjir kilat di beberapa kawasan di negeri ini adalah disebabkan sistem pengairan tidak betul dan kekurangan kelebaran sungai.

Bagaimanapun, usaha melebarkan sungai sukar dijalankan kerana terdapat penempatan dan tanah-tanah yang telah diberi hakmilik bersebelahan rezab sungai.

Justeru, Kerajaan Negeri telah mengarahkan Pejabat Tanah dan Galian bekerjasama dengan pejabat tanah berkaitan untuk mengambil tanah-tanah tersebut untuk pelebaran sungai.

Kerajaan Negeri juga mengarahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) supaya  mengenal pasti kawasan-kawasan sesuai di seluruh Selangor untuk dijadikan kolam tadahan air bagi menangani masalah banjir di negeri ini.

Tanah-tanah ini akan diambil alih oleh Kerajaan Negeri jika perlu kerana usaha ini untuk  kepentingan serta keselamatan rakyat.

Kita telah meminta JPS memasukkan arahan ini sebagai antara agenda penting dalam Pelan Pencegahan Banjir seluruh Selangor yang telah dirangka dan sedang dilaksanakan JPS di bawah Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10).

Dalam RMK-10 yang bermula tahun 2011-2015, JPS telah memohon sebanyak RM774.6 juta di bawah Program Pengurusan Banjir dan Menaiktaraf Saliran yang mana RM93 juta telah diluluskan oleh kerajaan Persekutuan manakala RM567 juta dari Kerajaan Negeri.

Menerusi pertemuan dengan JPS pada minggu lalu, JPS telah memaklumkan dalam RMK-10, sebanyak 246 projek tebatan banjir dirancang-79 dalam perancangan, 88 ikut jadual dan 31 siap dibina.

Bagi Projek Tebatan Banjir di Sri Serdang, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 2 Januari 2013 telah meluluskan RM8.470 juta kepada Majlis Perbandaran Subang Jaya untuk projek menaik taraf sistem perparitan manakala RM7.7 juta diluluskan untuk membina rumah pam, menaik taraf kolam takungan, menaik taraf sistem saliran dalaman dan kerja-kerja mendalamkan Sungai Kuyoh.

Kerajaan Negeri akan memantau semua projek-projek tebatan banjir untuk memastikan dana yang diperuntukkan itu dibelanjakan dengan betul dan memberi manfaat kepada rakyat.

Kerajaan Negeri komited untuk mengatasi kejadian banjir di beberapa kawasan di negeri ini yang menyusahkan rakyat akibat kehilangan harta benda dan mengancam keselamatan orang ramai.

Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) telah diminta membuat persiapan awal bagi menghadapi kemungkinan berlaku banjir seperti menyelia pusat-pusat pemulihan dan bekalan makanan.

Pasukan  Tindakan Segera Negeri Selangor (Skuad Pantas) juga telah diarahkan bersiap sedia untuk membantu agensi keselamatan lain dalam mengendalikan mangsa-mangsa banjir dan kes kecemasan yang lain.

YAB TAN SRI DATO’ SERI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

Tiada ulasan:

Catat Ulasan