Sabtu, 7 Disember 2013

Apa Pendirian MCA & MIC Dengan Cadangan 1Melayu Menggantikan 1Malaysia?



Kenyataan Media V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah pada 5/12/2013 di Batu Gajah

Rasa sungguh kesal dan kecewa dengan kenyataan yang dibuat oleh perwakilan UMNO  yang begitu tebal semangat perkaumannya.  Ketua Bahagian UMNO Bukit Mertajam menyarankan supaya slogan 1Malaysia ditukar kepada 1Melayu. Bukankah ini satu kenyataan yang menghasut dan berbaur perkauman. Inilah taktik kotor UMNO dan Barisan Nasional yang bijak menukar warna kulit seperti cicak kubing mengikut selera dan keadaan. Sebelum PRU13 UMNO mewar-warkan 1Malaysia, Selepas PRU13 tidak lagi segan untuk mencadangkan 1Melayu.

UMNO adalah satu parti perkauman yang sentiasa menindas kaum-kaum yang lain. Semangat assabiyah UMNO semakin membengkak selepas PRU13 apabila mereka merasakan sebahagian besar golongan bukan bumiputera tidak lagi menyokong Barisan Nasional. Jika itu adalah benar, Barisan Nasional seharusnya  mencari sebab musabab kehilangan sokongan itu. Selepas mengenal pasti punca kegagalan, Barisan Nasional sepatutnya mencari jalan untuk memenangi semula hati orang-orang bukan bumiputera. Mencaci dan menghukum orang-orang yang tidak menyokong Barisan Nasional akan memudaratkan lagi penerimaan komponen itu yang sokongan kepadanya semakin hari semakin pudar.

Barisan Nasional harus sedar bahawa golongan bukan bumiputera telah dihimpit dan ditekan selama lebih 50 tahun. Penindasan dilakukan secara terbuka oleh Barisan Nasional dalam semua aspek yang merangkumi ekonomi, sosial dan politik. Nescaya itu,  Barisan Nasional telah kehilangan undi populariti di kalangan golongan bukan bumiputera. Ini adalah suatu tindakan atau reaksi yang normal daripada manusia-manusia yang berfikiran waras dan beremosi. Barisan Nasional tidak mempedulikan perasaan golongan bukan bumiputera selama ini. Tetapi secara tiba-tiba sebelum PRU,  Barisan Nasional cuba berjinak dengan golongan bukan bumiputera dengan slogan retorik 1Malaysia. Ini dilakukan dengan niat menipu semata-mata untuk memancing undi daripada semua lapisan masyarakat. Sebaik saja habis PRU, Barisan Nasional sudah mula menunjukkan belangnya sekarang.

Apa kata Perdana Menteri Dato Seri Najib Tun Razak tentang cadangan Ketua Bahagian UMNO Bukit Mertajam yang mahu menggantikan slogan 1Malaysia dengan 1Melayu dalam perbahasan Perhimpunan Agung UMNO? Beliau secara terbuka mengatakan bahawa 'bangsa-bangsa lain'  telah menikam dari belakang dalam pilihanraya.  Beranikah Presiden UMNO itu menegur Ketua Bahagian itu dan menegaskan pendiriannya secara terbuka?

Bagaimana pula dengan pemimpin-pemimpin MCA, MIC, Gerakan dan PPP? Beranikah mereka ini mengutuk secara terbuka ucapan perkauman Ketua Bahagian UMNO Bukit Mertajam? Atau seperti biasa menjadi 'Pak Angguk'' dan turut serta bertepuk tangan mengiktiraf ucapan sedemikian. Saya pasti tidak akan ada apa-apa reaksi daripada puak-puak ini kerana terpaksa menjaga kepentingan politik masing-masing.

V.Sivakumar
Ahli Parlimen Batu Gajah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan