Isnin, 2 Januari 2012

Pesakit dan Pelawat Hospital Merungut Kerana Tiada Tempat ‘Parking’


Kenyataan Media YB V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Kawasan Tronoh pada 1/1/2012 di Ipoh

Pesakit dan Pelawat Hospital Merungut  Kerana Tiada Tempat ‘Parking’

Masalah tempat letak kereta merupakan  satu masalah besar yang dihadapi oleh pelawat dan pesakit  di Hospital Tuanku Bainun Ipoh. Hospital ini dikunjungi oleh beribu-ribu pelawat dan pesakit setiap hari. Oleh kerana hospital ini tidak mempunyai tempat letak kereta yang mencukupi, maka pengunjung menghadapi masalah yang berterusan setiap hari. Walaupun pihak hospital dan kerajaan sedar tentang masalah ini, tetapi tidak ada satu penyelesaian yang baik dilaksanakan sehingga hari ini. Perkara ini pernah dibangkitkan dalam persidangan Dewan Negeri Perak dan melalui media masa berulang kali, namun masalah ini masih wujud sehingga kini. 

Akibat daripada kekurangan tempat letak kereta ialah :

1)      Kenderaan yang memasuski kawasan hospital terpaksa berpusing-pusing mencari tempat letak kereta terutamanya pada waktu lawatan.
2)      Kesesakan kenderaan berlaku di  perkarangan  hospital.
3)      Kelewatan untuk mengunjungi pesakit kerana terpaksa menunggu lama atau mencari  tempat letak kereta yang kosong. 

4)      Pesakit dan pelawat terpaksa berjalan jauh setelah meletak kenderaan mereka di luar kawasan hospital.
5)      Menimbulkan perasaan marah dan tekanan emosi kepada pelawat dan pesakit yang mengunjungi hospital itu.
Kerajaan memberi pelbagai alasan yang tidak munasabah. Satu daripada penyelesaian untuk masalah ini adalah dengan membina tempat letak kereta bertingkat di dalam perkarangan Hospital Tuanku Bainun.  Mengikut kerajaan Negeri Perak, perancangan untuk naik taraf tempat letak kereta bertingkat di hospital itu telah pun dimasukkan di bawah Rolling Plan I dan II Rancangan Malaysia Ke 10, projek Kementerian Kesihatan Malaysia.  Dikatakan juga bahawa projek ini telah disenaraikan sebagai salah satu projek yang diberi keutamaan. Tetapi, setakat ini tidak ada sebarang tanda untuk menunjukkan bahawa projek pembinaan tempat letak kereta akan dimulakan dalam tempoh terdekat.

Kerajaan membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk projek-projek gajah putih yang tidak membawa sebarang keuntungan kepada rakyat. Tetapi, projek yang penting untuk menyelesaikan masalah harian orang ramai diabaikan. Kerajaan tidak menunjukkan tahap serius yang sewajarnya dalam mempertimbangkan masalah yang dihadapi oleh pesakit dan pelawat Hospital Tuanku Bainun. Projek ini adalah lebih mustahak daripada banyak projek lain yang membuang wang rakyat secara sewenang-wenangnya.

Jika benar pihak Kementerian Kesihatan akan membina tempat letak kereta bertingkat di Hospital Tuanku Bainun Ipoh, maka perlulah kerajaan memberi penjelasan untuk beberapa persoalan seperti di bawah:

1)      Bilakah kerja-kerja pembinaan tempat letak kereta bertingkat akan dimulakan di Hospital Tuanku Bainun?
2)      Berapakah tingkat akan dibina sebagai tempat letak kereta?
3)      Berapakah jumlah ruang tempat letak kereta akan diwujudkan di dalam bangunan itu?
4)      Berapakah jumlah kos yang terlibat dalam pembinaan tempat letak kereta bertingkat ini?
5)      Adalah tender telah dikeluarkan oleh pihak kerajaan untuk membina bangunan itu?
6)      Bilakah dijangka projek ini  akan siap dibina dan boleh digunakan oleh orang ramai?
7)      Di manakah lokasi atau tapak untuk membina tempat letak kerete bertingkat di  hospital itu?

Mengikut statistik yang sedia ada, Hospital Tuanku Bainun Ipoh mempunyai 1391 lot tempat letak kereta pada masa ini. Jumlah ini tidak memadai untuk menampung keperluan sekarang dan pada masa hadapan. Oleh itu, kerajaan seharusnya membuat satu perancangan jangka panjang untuk mengatasi masalah ini. Jangan sekadar membina tempat letak kereta bertingkat untuk memenuhi keperluan masa sekarang sahaja. Pertimbangan sewajarnya harus dibuat untuk mengatasi masalah ini sekurang-kurangnya untuk tempoh 50 tahun akan datang.  

V.Sivakumar

2 ulasan:

  1. salam tahun baru YB...

    lokasi parking tak semestinya dalam kawasan hospital kerana ruang walau seinci. Sepatutnya kerajaan negeri menyediakan perkhidmatan transit bas(bas perak amanjaya berlebih di Manjung)ulang alik ke tempat parking(strategik dan berdekatan dgn hospital)tanpa mengenakan apa-apa bayaran kerana peruntukan 80ribu untuk maintenen sebulan dapat diagihkan untuk kos kesihatan rakyat...

    tak gitu YB dan Dato' Zambry?

    BalasPadam