Selasa, 10 Januari 2012

MBI Masih Berdegil Mahu Buang Sampah Di Papan




Kenyataan Media YB V.Sivakumar , Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Kawasan Tronoh pada 10/1/2012 di Papan.
MBI  Masih Berdegil Mahu Buang Sampah Di Papan
Saya telah dipanggil oleh penternak-penternak  dan petani-petani kawasan Lahad-Papan kerana MBI sudah memulakan kerja-kerja membina tempat pembuangan sisa pepejal di kawasan itu. Saya sendiri bersama-sama dengan Chan Chin Fah, Pengerusi DAP cawangan Pusing dan Vijakumar,  Pengerusi DAP cawangan  Batu Gajah Utara telah turun ke kawasan yang dimaksudkan untuk melihat keadaan sebenar pada pagi ini.
Didapati pihak kerajaan masih tidak melepaskan hasrat untuk  membina logi memproses sisa pepejal di kawasan itu. Walaupun penternak-penternak, petani-petani dan penduduk persekitaran membantah projek ini, tetapi pihak MBI masih berdegil untuk meneruskan projek tersebut.  Mereka telah meletakkan sebuah kabin dan membawa  masuk  dua buah  jentolak ke kawasan itu. Ini bermaksud, pihak MBI tidak menghormati kehendak rakyat. Ini adalah bertentangan dengan peraturan ‘Local Agenda 21’. MBI tidak menepati peruntukkan Local Agenda 21 yang diwar-warkan oleh mereka sendiri. MBI dan kerajaan Barisan Nasional tidak prihatin terhadap kehendak rakyat. Terbukti slogan ‘rakyat didahulukan’ adalah cakap kosong semata-mata.
Saya bersama YB Lim Pek Har, ADUN kawasan Menglembu telah mengadakan perjumpaan dengan Datuk Bandar Ipoh pada 3 Januari 2012. Kami telah menyerahkan surat bantahan bersama-sama dengan tandatangan bantahan daripada 1558 orang yang dikutip dalam tempoh satu minggu. Setakat ini tidak ada apa-apa maklum balas daripada Datuk Bandar berhubung dengan perkara ini. Tetapi, tindakan MBI meletakkan kabin dan membawa masuk jentolak menunjukkan bahawa pihak MBI masih mahu meneruskan projek ini di kawasan Lahad-Papan.
Tindakan MBI ini menimbulkan rasa kemarahan kepada penternak-penternak, petani-petani dan penduduk persekitaran iaitu Lahad, Bukit Merah, Batu Gajah Perdana, Pusing dan Menglembu. Kerajaan tidak memberi penjelasan sepenuhnya  mengenai projek membuang sampah ini kepada penduduk yang terlibat. Tambahan pula, persetujuan mereka tidak diperolehi sebelum memulakan projek  di kawasan itu. Kerajaan cuba menggunakan kuasa untuk melaksanakan projek ini tanpa persetujuan rakyat tempatan.
Projek ini dimulakan di Lahad-Papan kerana kawasan pembuangan sampah di kawasan Bercham sudah penuh dan tidak boleh digunakan lagi. Banyak masalah sedang dihadapi oleh penduduk kawasan Bercham. Kini, kerajaan telah merancang untuk membuka kawasan pembuangan sampah di Lahad-Papan mengantikan kawasan Bercham. Projek ini sudah pasti akan membawa banyak masalah di kawasan ini seperti bau yang busuk, pencemaran udara, sungai dan macam-macam lagi. Oleh yang demikian, projek ini harus diberhentikan dengan serta-merta tanpa memberi apa-apa alasan kepada rakyat kawasan ini. Kerajaan harus mencari tapak baru yang jauh daripada kawasan perumahan.
.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan