Selasa, 3 Januari 2012

Menyerahkan Surat Bantahan Kepada Datuk Bandar Ipoh


Kenyataan Media YB V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Kawasan Tronoh  pada 3/1/2012 di Pejabat Datuk Bandar Ipoh 


Menyerahkan Surat Bantahan Kepada Datuk Bandar Ipoh

Pada 3/1/2012, V.Sivakumar bersama rombongannya telah menyerahkan surat bantahan kepada Datuk Bandar Ipoh berhubung dengan isu projek pelupusan sisa pepejal di kawasan Lahad-Papan. Turut hadir bersama beliau ialah YB Lim Pek Har (ADUN Menglembu), YB Sivasubramaniam (ADUN Buntong), YB Wong Kah Woh (ADUN Canning), Augustine Antony (Peguam) dan Bah Tony (Peguam). Perbincangan berlansung selama lebih kurang 30 minit di Pejabat Datuk Bandar Ipoh. Selepas itu V.Sivakumar telah menyerahkan surat bantahan dan senarai tandatangan sebanyak 1558 kepada Datuk Bandar Ipoh. Berikut adalah kandungan surat bantahan tersebut:



Datuk Bandar
Majlis Bandaraya Ipoh

Bantahan Terhadap Projek Pelupusan Sisa Pepejal Di Lahad-Papan

Kerajaan bercadang untuk membuka tanah seluas 560 ekar di Lahat-Papan bertujuan memproses sisa pepejal.  Kawasan yang dicadangkan itu tidak sesuai kerana ia terletak berhampiran dengan kediaman dalam ruang lingkup 3km. Antara tempat tempat yang bakal menghadapi masalah daripada logi pelupusan sisa pepejal ini ialah Papan, Lahad, Menglembu, Bukit Merah, Pusing, Batu Gajah Perdana  dan kawasan sekitarnya. 

Walaupun projek yang dicadangkan mempunyai unsur-unsur teknologi tinggi tetapi penduduk-penduduk kawasan ini kurang yakin terhadap jaminan kerajaan itu. Ini adalah kerana mereka risau  akan timbul beberapa masalah yang serius di kawasan ini jika projek ini diteruskan. Sebagai bukti yang kukuh kita boleh merujuk kepada dua projek memproses sampah yang telah gagal iaitu di Pulau Pangkor dan Cameron Highlands.

Tapak yang diluluskan untuk pelupusan sisa pepejal di Lahad-Papan ini adalah berhampiran dengan tapak bahan buangan radiokatif pada satu masa dahulu. Orang ramai masih tidak puas hati dengan kehadiran bahan radioaktif di kawasan itu. Sekarang, kerajaan bercadang untuk menjadikan tempat ini untuk memproses sampah pula. Kenapa kerajaan sentiasa memilih kawasan Lahad-Papan ini untuk dijadikan tempat pembuangan sisa-sisa yang bahaya dan tidak menyenangkan?

Penduduk di kawasan yang berhampiran dengan tapak ini membantah kehadiran logi pelupusan sisa pepejal kerana beberapa sebab tertentu. Antaranya ialah bau busuk yang akan mencemarkan udara dan alam sekitar kawasan ini. Tambahan pula, mereka risau masalah lalat yang berlebihan akan menggangu suasana yang sedia ada. Selain daripada itu, pembinaan logi ini juga pasti mencemarkan dua batang sungai yang bersih di kawasan ini. 

Kerajaan mencadangkan untuk membuka kawasan Lahad-Papan ini untuk memproses sampah dari Ipoh, Jelapang, Menglembu, Batu Gajah, Seri Iskandar, dan Kampar. Dalam kata lain, tempat ini dipilih untuk membuang sampah dari keseluruhan daerah Kinta. Jika projek ini diteruskan banyak lori-lori membawa sampah akan sentiasa masuk keluar kawasan ini melalui Jalan Besar Ipoh-Lumut.  Bilangan kenderaan terutamanya lori-lori sampah juga akan bertambah  mengganggu ketenteram kawasan ini. 

Oleh yang demikian, DAP DUN Tronoh dan DAP DUN Menglembu telah memulakan kempen tandatangan membantah projek pelupusan sisa pepejal di kawasan  Papan-Lumut.  Kempen ini telah berlangsung selama seminggu.  Orang ramai telah menurunkan tandatangan mereka sebagai tanda bantahan terhadap projek ini. 

Pentadbir Tanah & Daerah Kinta, Batu Gajah juga telah mengeluarkan notis untuk mengosongkan tanah kerajaan kepada penternak dan petani yang megusahakan tapak tanah ini. Lebih kurang 30 orang sedang mengerjakan tanah ini dengan pertanian  dan penternakan. Mereka juga tidak mahu meninggalkan kawasan ini. 

Bersama-sama surat ini saya sertakan keratan-keratan akhbar yang relevan berhubung dengan isu yang dibangkitkan .  Dokumen yang ditandatangani oleh penduduk-penduduk kawasan ini juga turut disertakan.

Penduduk-penduduk kawasan ini, penternak-penternak dan petani-petani membantah sekeras-kerasnya terhadap projek pelupusan sisa pepejal di kawasan Lahad-Papan. Oleh yang demikian, jasa baik Datuk sungguh diharapkan untuk memberhentikan projek ini dengan serta-merta dan memilih kawasan lain yang lebih sesuai untuk projek yang dicadangkan.

YB V.Sivakumar
ADUN Tronoh
bp Penduduk, petani dan penternak  kawasan sekitar Lahad-Papan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan