Isnin, 2 Januari 2012

Kempen Tandatangan Di Bandar Baru Menglembu


Kenyataan Media YB V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Kawasan Tronoh pada 2/1/2012 di Menglembu.
Kempen Tandatangan Di Bandar Baru Menglembu

Kerajaan bercadang untuk membuka tanah seluas 560 ekar di Lahat-Papan bertujuan memproses sisa pepejal.  Kawasan yang dicadangkan itu tidak sesuai kerana ia terletak berhampiran dengan kediaman dalam ruang lingkup 3km. Antara tempat tempat yang bakal menghadapi masalah daripada logi pelupusan sisa pepejal ini ialah Papan, Lahad, Menglembu, Bukit Merah, Pusing, Batu Gajah Perdana  dan kawasan sekitarnya. 

Walaupun projek yang dicadangkan mempunyai unsur-unsur teknologi tinggi tetapi penduduk-penduduk kawasan ini kurang yakin terhadap jaminan kerajaan itu. Ini adalah kerana mereka risau  akan timbul beberapa masalah yang serius di kawasan ini jika projek ini diteruskan. Sebagai bukti yang kukuh kita boleh merujuk kepada dua projek memproses sampah yang telah gagal iaitu di Pulau Pangkor dan Cameron Highlands.

Tapak yang diluluskan untuk pelupusan sisa pepejal di Lahad-Papan ini adalah berhampiran dengan tapak bahan buangan radiokatif pada satu masa dahulu. Orang ramai masih tidak puas hati dengan kehadiran bahan radioaktif di kawasan itu. Sekarang, kerajaan bercadang untuk menjadikan tempat ini untuk memproses sampah pula. Kenapa kerajaan sentiasa memilih kawasan Lahad-Papan ini untuk dijadikan tempat pembuangan sisa-sisa yang bahaya dan tidak menyenangkan?

Penduduk di kawasan yang berhampiran dengan tapak ini membantah kehadiran logi pelupusan sisa pepejal kerana beberapa sebab tertentu. Antaranya ialah bau busuk yang akan mencemarkan udara dan alam sekitar kawasan ini. Tambahan pula, mereka risau masalah lalat yang berlebihan akan menggangu suasana yang sedia ada. Selain daripada itu, pembinaan logi ini juga pasti mencemarkan dua batang sungai yang bersih di kawasan ini. 

Kerajaan mencadangkan untuk membuka kawasan Lahad-Papani untuk memproses sampah dari Ipoh, Jelapang, Menglembu, Batu Gajah, Seri Iskandar, dan Kampar. Dalam kata lain, tempat ini dipilih untuk membuang sampah dari keseluruhan daerah Kinta. Jika projek ini diteruskan banyak lori-lori membawa sampah akan sentiasa masuk keluar kawasan ini melalui Jalan Besar Ipoh-Lumut.  Bilangan kenderaan terutamanya lori-lori sampah juga akan bertambah  mengganggu ketenteram kawasan ini. 

Oleh yang demikian, DAP DUN Tronoh dan DAP DUN Menglembu telah memulakan kempen tandatangan membantah projek pelupusan sisa pepejal di kawasan  Papan-Lumut.  Kempen ini telah berlangsung selama seminggu.  Orang ramai telah menurunkan tandatangan mereka sebagai tanda bantahan terhadap projek ini. Pada pagi ini V.Sivakumar (ADUN Tronoh) dan Lim Pek Har (ADUN Menglembu) bersama-sama dengan ahli-ahli DAP kawasan ini telah membuat kempen tandatangan ini di Bandar Baru Menglembu.  Kerajaan harus memberhentikan projek ini dengan serta merta untuk kesejahteraan semua pihak. Adakah kerajaan akan ‘mendahulukan rakyat’ atau mendahulukan pihak-pihak lain yang mempunyai kepentingan dalam projek ini?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan