Jumaat, 11 Mac 2011

BANTUAN PAGAR TIDAK SAMPAI LAGI UNTUK SAR SIPUTEH

Gambar bersama Uztaz Abu Bakar dan Vijakumar (Bekas Ahli Majlis Batu Gajah)

Sekolah Agama Rakyat Al-Hikmah Siputeh pernah memohon bantuan daripada kerajaan Negeri Perak untuk membina dinding bata sebagai pagar di sekeliling bangunan sekolah tersebut. YB Hamidah yang juga merupakan EXCO Kerajaan Negeri Perak pernah menjanjikan RM10,000 untuk membantu sekolah tersebut membina pagar yang amat diperlukan. Beliau telah meluluskan peruntukan sebanyak RM10 000 pada bulan November 2010. Walau bagaimanapun, projek pembinaan pagar dinding bata itu telah diserahkan kepada pihak Pejabat Pembangunan Luar Bandar.
Pejabat Pembangunan Luar Bandar pula telah melantik kontraktor untuk kerja-kerja pembinaan. Kontraktor telah menjanjikan supaya projek akan dimulakan pada awal bulan Disember tahun 2010. Tetapi, kontraktor tersebut tidak memulakan kerja seperti yang telah dijanjikan. Kemudian projek ini diserahkan kepada kontraktor lain pada bulan Disember 2010.
Kontraktor baru itu pula tidak memulakan kerja-kerja pembinaan dengan alasan RM10,000 tidak mencukupi untuk membina pagar dinding bata yang telah dijanjikan. Oleh yang demikian, projek ini masih tidak dimulakan sehinga ke hari ini.
Pada pandangan saya, prosedur untuk meluluskan peruntukan tidak dilaksanakan dengan betul. Inilah punca kepada masalah yang timbul dalam membiayai projek yang kecil ini. Peruntukan seharusnya diluluskan selepas permohonan dibuat melalui UPEN dan pihak Pembangunan Luar Bandar mendapatkan sebut harga daripada kontraktor-kontraktor yang mampu membina pagar tersebut. Tetapi, dalam kes ini satu prosedur songsang telah digunakan iaitu peruntukan diluluskan sebelum mengetahui kos pembinaan. Sudah tentu ini akan menimbulkan masalah kerana jika kos pembinaan itu adalah lebih tinggi daripada jumlah yang diluluskan, siapa pula akan menanggung beban tambahan itu. Ini akan menjadi satu alasan untuk tidak melaksanakan janji yang diberikan.
Kerajaan Negeri Perak seharusnya menanggung sepenuhnya jumlah pembinaan pagar bata tersebut. Ini merupakan tanggungjawab kerajaan yang harus dilaksanakan demi kepentingan rakyat. Jangan mencari pelbagai helah untuk lari daripada tanggungjawab. Jika kerajaan tidak sanggup membina pagar dinding bata yang melebihi kos yang dijangka, maka kerajaan juga boleh menghadiahkan RM10,000 yang dijanjikan itu kepada Pihak Sekolah Agama Rakyat Al-Hikmah sebagai satu bentuk sumbangan. Dengan cara ini pihak sekolah agama boleh memilih kontraktornya sendiri untuk membina pagar bata yang dipohon itu.
Saya meminta supaya YB Hamidah untuk menyalurkan bantuan yang dijanjikan itu dalam kadar yang segera kepada Sekolah Agama Rakyat di Siputeh. Ini adalah kerana dengan bangunan sekolah terbuka luas tanpa pagar buat masa ini, anjing dan binatang lain juga boleh memasuki kawasan itu secara bebas selepas waktu sekolah. Dalam pada itu, keselamatan murid-murid juga tidak terjamin. Kanak-kanak ini dengan mudahnya boleh lari keluar dari kawasan sekolah dan boleh mengakibatkan kemalangan atau apa jua perkara yang tidak diingini. Selain daripada itu, pihak luar juga boleh menceroboh masuk ke kawasan sekolah pada waktu malam dan boleh menimbulkan masalah sosial yang lain. Oleh yang demikian, tindakan segera diperlukan daripada pihak kerajaan untuk mengatasi masalah ini.

Tiada ulasan:

Catat Komen