Jumaat, 3 Julai 2015

Mana Bangunan Baru SJKT Gunung Rapat Yang Dijanjikan?



Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 18/6/2015 di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia.

Kami masih menunggu untuk melihat kerja-kerja pembinaan SJKT Gunung Rapat, Ipoh. Isu bangunan baru untuk SJKT Gunung Rapat berlanjutan selama beberapa tahun. Pelbagai pihak yang mempunyai kepentingan telah menyuarakan masalah bangunan sekolah ini untuk sekian lama.

Saya sendiri pernah membangkitkan isu sekolah berkenaan beberapa kali di Dewan Undangan Negeri Perak dari tahun 2009 hingga 2013. Pelbagai janji kosong telah diberikan oleh kerajaan mengenai pembinaan bangunan baru.

Satu tapak baru telah diberikan di kawasan Ampang, Ipoh untuk membina sekolah tersebut. Selain daripada itu, Perdana Menteri selaku Menteri Pendidikan juga pernah menjanjikan peruntukan RM2.5 juta pada tahun 2010.

Setakat ini masih belum ada apa-apa usaha pembinaan yang dapat dilihat oleh warga Gunung Rapat. Kenapa kerajaan mengambil masa yang begitu lama untuk memulakan projek ini? Kerajaan tidak serius dalam apa jua isu yang melibatkan sekolah-sekolah vernukular terutamanya sekolah-sekolah Tamil.

Saya juga telah membangkitkan ini di dalam ucapan penangguhan di Dewan Rakyat pada bulan Jun 2014. Timbalan Menteri Pendidikan, YB Kamalanathan telah menjanjikan bahawa kerja-kerja pembinaan akan dimulakan pada tahun 2015 jika tidak ada sebarang masalah.

Sekarang genap setahun saya membangkitkan isu ini di Parlimen, tetapi masih tidak nampak apa-apa kerja pembinaan di tapak baru itu. Saya difahamkan bahawa permohonan peruntukan tambahan masih dalam pertimbangan Unit Perancangan Ekonomi (EPU).

Saya berharap sungguh bahawa kerajaan tidak akan menipu lagi dalam isu bangunan sekolah ini. Saya mahu penjelasan daripada YB Kamalanathan mengenai janji yang diberikan olehnya di Dewan Rakyat. Harap kerja-kerja pembinaan akan bermula pada tahun ini tanpa memberi sebarang alasan lain

Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 18/6/2015 di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan