Jumaat, 3 Julai 2015

Malangnya Kesatuan Pekerja MAS Turut Terjejas, Penstrukturan Semula Yang RM 6 Bilion Merugikan



Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 27/5/2015 di Dewan Rakyat

Penstrukturan semula organisasi MAS yang melibatkan RM 6 bilion bukan sahaja menjejaskan kebajikan kakitangan malah akan menyebabkan kesatuan sekerjanya terbubar. Organisasi besar ini akan diambil alih oleh MAS Berhad pada 1 September 2015 bertujuan untuk memulihkan kedudukan kewangannya.

 Seperti mana sedia maklum, MAS telah mengalami kerugian besar berturut-turut sejak beberapa tahun ini. Ini telah menyebabkan organisasi tersebut menjadi cacian seluruh rakyat kerana pegurusannya di bawah Khazanah Nasional Berhad yang amat lemah dan gagal memulihkan kedudukan kewangannya.

Untuk memulihkan dan menyelamatkan MAS, penstrukturan semula mungkin merupakan satu-satunya jalan keluar. Tetapi, penstrukturan semula ini pula menimbulkan masalah baru iaitu lebih kurang 8,000 pekerja MAS akan hilang pekerjaan. Kesemua 20,000 orang pekerja MAS akan dikeluarkan surat dibuang kerja dalam beberapa hari lagi.

Selepas itu, dikatakan 2/3 daripada tenaga kerja itu akan diambil semula untuk bekerja di bawah MAS Berhad. Tindakan ini adalah tidak adil kepada semua pekerja kerana ia menjejaskan kebajikan mereka. Mereka yang dibuang kerja akan kehilangan pendapatan dan tergugat pula sosio ekonomi rumahtangga. Mereka yang diambil semula pula akan hilang kekananan dalam jawatan kerana terpaksa menandatangani kontrak baru di bawah majikan baru, MAS Berhad.

Pada dasarnya tindakan ini merupakan satu bentuk penganiyaan yang dilakukan oleh sebuah organisasi besar dan terkenal terhadap kaum pekerja yang tidak dapat dibela di bawah undang-undang yang sedia ada. Penstrukturan semula ini dibuat secara licik dan ternyata terdapat motif jahat secara tersirat dalam tindakan yang bakal diambil.

Tambahan pula, penstrukturan semula ini juga akan mencabut nyawa kesatuan sekerjanya, Kesatuan Pekerja-Pekerja MAS Semenanjung Malaysia (Maseu) yang mewakili 13,500 pekerja. Pengwujudan pengurusan baru iaitu MAS Berhad menggantikan yang lama, secara automatik akan membubarkan kesatuan sekerja organisasi itu. Ini juga merupakan pandangan Setiausaha Eksekutifnya, Mohd Jabarullah yang mencadangkan supaya kesatuan sekerja itu digantikan dengan satu badan koperasi MAS.

Walau bagimanapun, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), N Gopala Krishnan berpendapat Maseu tidak seharusnya mengambil tindakan drastik membubarkan kesatuan sekerja tersebut. Beliau menyeru supaya Maseu harus kekal dan terus memperjuangkan nasib dan hak pekerja. Saya amat bersetuju dengan Setiausaha Agung MTUC kerana perjuangan hak pekerja harus diteruskan sehingga titik terakhir terutamannya dalam keadaan genting dan amat terdesak ketika ini.

Apabila Maseu dibubarkan ianya tidak boleh dihidupkan kembali kerana pengurusan baru MAS Berhad akan menjadi batu penghalang mengawal aktiviti kesatuan sekerja pada masa hadapan. Mungkin juga pengurusan baru itu akan menubuhkan kesatuan kerja yang lebih 'friendly' kepada majikan yang tidak boleh menjaga kebajikan pekerja secara keseluruhannya. Oleh yang demikian, Maseu harus memberi tumpuan kepada masalah pemecatan pekerja dan kebajikan ahli-ahlinya pada masa sekarang.

Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 27/5/2015 di Dewan Rakyat

Tiada ulasan:

Catat Ulasan