Jumaat, 3 Julai 2015

Kurangkan Red Tape Dalam Proses Memberi Kewarganegaraan Di Bawah Perkara 15(2)



Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 28 Mei 2015 di Ipoh

Apabila salah seorang ibu atau bapa adalah warga asing, anak yang dilahirkan itu perlu memohon taraf kewarganegaraan Malaysia. Permohonan itu harus dibuat oleh ibu atau bapa yang merupakan warganegara Malaysia. Permohonan seperti ini dibuat di bawah perkara 15(2) Perlembagaan Persekutuan.

 Peruntukan ini memberi peluang kepada ibu atau bapa yang mempunyai taraf warganegara Malaysia untuk membuat permohonan kewarganegaraan bagi anak yang berumur kurang daripada 21 tahun. Permohonan juga boleh dibuat oleh penjaga anak tersebut.

Permohonan ini juga adalah tertakluk kepada Perkara 18, Perlembagaan Persekutuan. Kerajaan Persekutuan boleh mendaftarkan seseorang berumur kurang daripada 21 tahun itu jika sekurang-kurangnya salah seorang daripada ibubapanya adalah sekarang (atau pada kematiannya) merupakan seorang warganegara Malaysia.

Mengikut sumber daripada Jabatan Pendaftaran Malaysia sehingga Jun 2014, terdapat 525 permohonan seperti ini dari kaum Pakistani. Ini merupakan jumlah terbesar diikuti oleh kaum Bajau 372 dan kaum Cina 340. Jumlah permohonan taraf kewarganegaraan di bawah Perkara 15(2) ini paling didaftarkan di Sabah 1073 orang diikuti dengan Wilayah Persekutuan 442 dan Johor 162.

Pemberian taraf kewarganegaraan di bawah Perkara 15(2) adalah hak eksklusif Kerajaan Persekutuan. Oleh itu, ianya tidak boleh dikeluarkan secara sewenang-wenang. Walau bagaimanpun kerajaan harus juga prihatin terhadap anak-anak yang menghadapi masalah untuk mendaftarkan mereka yang lahir di Malaysia tetapi terpaksa melalui red tape ataupun birokrasi yang agak keterlaluan. Jika anak-anak ini tidak diberi taraf kewarganegaraan, mereka ini akan menjadi satu masalah atau beban kepada negara pada suatu masa nanti.

Ini adalah kerana mereka tidak boleh mendapat pelajaran seperti anak-anak yang lain. Mereka juga akan menghadapi masalah untuk memperolehi pekerjaan yang baik. Mereka mungkin akan menjadi buruh kasar ataupun pengganggur. Ini sudah pasti akan menjadi satu masalah sosial kepada negara kita. Oleh yang demikian, kerajaan harus memotong semua birokrasi dan memastikan Perkara 15(2) Perlembagaan Persekutuan dipatuhi sepenuhnya apabila memberi taraf kewarganegaraan kepada seseorang kanak-kanak.

Pemohon juga harus ingat bahawa beban untuk membuktikan kelayakan seseorang anak itu untuk dianugerahkan taraf kewarganegaraan adalah di bawah tanggungjawabnya
Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 28 Mei 2015 di Ipoh

Tiada ulasan:

Catat Ulasan