Jumaat, 3 Julai 2015

GST Meningkatkan Inflasi, Kadar Di Bawah 3% Pasti Tidak Boleh Dicapai Tahun Ini.



Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 24/6/2015 di Ipoh


GST telah menjadi buah mulut atau perbualan rakyat di mana-mana sahaja. Kerajaan Barisan Nasional telah melakukan satu kesilapan yang maha besar dengan memperkenalkan sistem GST ini. Walaupun parti-parti pembangkang telah membantah dan memberi amaran kepada kerajaan, tetapi semua itu tidak dipedulikan langsung.


Parti-parti komponen Barisan Nasional seperti UMNO, MCA, MIC, Gerakan termasuk parti-parti dari Sabah dan Sarawak telah memberi sokongan penuh dan telah sebulat suara ketika undang-undang GST ini diluluskan di Dewan Rakyat.

GST diperkenalkan untuk mencari sumber pendapatan tambahan untuk kerajaan. Kerajaan sekarang adalah terlalu boros dan tidak pandai menutup kebocoran dalam ekonomi. Ini menyebabkan hutang negara meningkat dan ekonomi semakin merundum.

Kerajaan menghadapi krisis kewangan yang tenat. Tetapi, pemimpin-pemimpin Barisan Nasional terutamanya menteri-menteri kabinet sentiasa menafikan kedudukan ekonomi negara yang sebenar. Pada realitinya, rakyat sendiri sedar tentang masalah yang dihadapi oleh negara kita di bawah pentadbiran Barisan Nasional yang semakin lemah ini.

Untuk melepaskan diri daripada kekangan ekonomi ini, kerajaan terpaksa mencari jalan lain untuk meningkatkan pendapatannya. GST merupakan alat yang boleh membantu kerajaan meningkatkan hasil. Tetapi, kaedah ini pasti akan mendera rakyat akibat beban cukai yang ditanggung menjadi semakin tinggi.

Rakyat dipaksa membayar GST sebanyak 6% untuk barangan dan perkhidmatan yang dibelinya. Cukai 6% ini adalah sangat tinggi dan menimbulkan kesengsaraan ekonomi rumah tangga terutamanya bagi golongan berpendapatan sederhana dan rendah.


Tambahan pula, pelaksanaan GST mulai 1 April 2015 juga telah meningkatkan kadar inflasi di dalam negara. Kadar inflasi yang dicerminkan oleh Indeks Harga Pengguna bagi bulan April 2015 mencatatkan peningkatan sebanyak 1.8% berbanding dengan bulan April 2014. Kenaikan indeks pada bulan April 2015 antaranya, bagi Kumpulan Makanan dan Minuman Bukan Beralkohol kepada 3.1%, Kumpulan Komunikasi kepada 2.3% dan Restoran dan Hotel kepada 4.3%. Inilah perangkaan yang diberikan oleh kerajaan dalam jawapan yang diberi di Dewan Rakyat.


Kerajaan sendiri mengakui bahawa kewujudan inflasi ini adalah disebabkan pelaksanaan GST tersebut. Pada hemat saya, statistik yang diberikan oleh kerajaan adalah jauh lebih rendah daripada keadaan yang sebenar. Rakyat sudahpun merasakan cubitan inflasi yang agak menyakitkan. GST ditambah inflasi akan menjadi beban yang cukup merumitkan pengurusan kewangan rakyat negara kita.

Saya juga tidak bersetuju dengan jawapan yang diberikan iaitu bagi tahun 2015 kerajaan menjangka kadar inflasi dalam negara akan kekal di bawah paras 3%.

Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 24/6/2015 di Ipoh

Tiada ulasan:

Catat Ulasan