Rabu, 1 Januari 2014

Wahai UMNO Barisan Nasional, Malaysia ini milik rakyat Malaysia yang berbilang agama, berbilang etnik dan bangsa dan bukan dimiliki parti kamu. Dulu, kini dan selamanya

Salam Ubah,

Berikut adalah kenyataan media saya berhubung kenyataan yang dibuat oleh Datuk Zaiton Mat Ketua Wanita UMNO Bahagian Kuantan

Kenyataan Media Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto pada Sabtu 28 Disember 2013 di Klang, Selangor. 



Tinggal 3 hari lagi tahun 2013 akan berakhir dan negara dikejutkan sekali lagi dengan kenyataan menjijikkan dari seorang yang dinobatkan pangkat Ketua Wanita UMNO Kuantan apabila mengeluarkan kata-kata kurang cerdik meminta pihak yang tidak berpuas hati dengan kerajaan pimpinan Barisan Nasional meninggalkan negara ini dan tinggal di negara yang disukainya.

Kenyataan Datuk Zaiton Mat selaku Ketua Wanita UMNO Kuantan menunjukkan samada beliau tidak sedar akan sejarah kemerdekaan negara ini atau sudah menjadi buta hati dengan propaganda partinya sendiri yang bermatlamat untuk memfitnah dan melemparkan tohmahan terhadap sesiapapun yang tidak bersependapat dengan ideologi kolot partinya.

Sudah berkali-kali rakyat Malaysia terpaksa berdepan dengan pemimpin UMNO-BN serta para pendidik dari bangku sekolah sehinggalah ke peringkat universiti yang melaungkan kata-kata berbaur perkauman “Orang India balik India, orang Cina balik Cina”, dan kini yang terbaru, “kalau tidak suka kerajaan BN boleh tinggalkan negara ini”.

Mengapa perlu mana-mana pihak yang tidak sependapat dengan kerajaan diminta meninggalkan tanahairnya? Siapa yang berikan hak kepada pemimpin UMNO seperti ini untuk meminta yang tidak suka dengan polisi kerajaan supaya meninggalkan negara yang mereka telah berusaha bersusah payah membina, dengan titik peluh mereka?

Soalan-soalan ini sudah tentu mula membakar didalam dada setiap seorang rakyat Malaysia yang cintakan tanahairnya, tetapi tidak semestinya kepada kerajaannya. Kesetiaan saya dan rakyat Malaysia adalah kepada kedaulatan negara ini dan bukannya terhadap satu kerajaan yang menjanjikan bulan dan bintang sebelum pilihanraya dan kini membalas dendam terhadap rakyatnya termasuklah 51% yang telah memilih Pakatan Rakyat dalam PRU13 yang lepas tanpa menghiraukan kepayahan rakyat dengan kos sara hidup yang melambung.

Negara ini dibina oleh setiap rakyat Malaysia tanpa mengira agama, kaum etnik atau bahasa. Mengikut Datuk Zaiton Mat, sesetengah orang yang bertekad bersungguh-sungguh untuk memporakperandakan keamanan negara ini, tidak berterima kasih kepada semua kebaikan yang diterima selama ini.

Ini adalah kata-kata tipikal seorang yang dihambakan oleh UMNO-BN melalui idea-idea yang sudah lapuk dan regresif terhadap pembangunan negara ini

Bagaimana pula dengan sorakan manifesto PRU13 BN yang menjanjikan penambahbaikan kos sara hidup rakyat Malaysia bersama dengan stiker Perdana Menteri Najib yang senyum lebar diatas keretapi komuter dengan ayat-ayat “Kami mendengar masalah anda tentang kos sara hidup”? Dimanakah tempik sorak “1Malaysia” yang bersemangat oleh PM Najib sebelum PRU13?

Budaya UMNO-BN yang jijik ini bukan berputik dalam dekad ini sahaja. Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang juga telah menjadi mangsa tohmahan ini dalam tahun 70an apabila seorang Menteri Kabinet UMNO di Dewan Rakyat menggesa beliau untuk meninggalkan Malaysia kerana begitu kritikal terhadap polisi-polisi UMNO-BN.

Budaya yang didorong kerakusan ini akan membawa keparahan kepada UMNO-BN, akan terus membarah dan memusnahkan negara ini sekiranya tonggak pemerintahan tidak ditukar.

Berapa lama lagi negara Malaysia dan anak-anaknya perlu berdiam diri untuk menjadi pengesat kaki kepada kuasa dan polisi jahil UMNO-BN?

Sebuah negara demokrasi yang matang harus benar-benar “listen, listen, listen” kepada rintihan dan keluhan rakyatnya dan berhenti dengan amalan “buat tak tahu” terhadap kritikan dan cadangan oleh mana-mana pihak samada pihak kerajaan atau Pakatan Rakyat untuk menambah baik sistem pentadbiran negara ini dan mencegah penyelewengan wang serta penindasan hak asasi rakyat.

Selaku Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak harus menuntut dan mendesak mana-mana pihak yang mengeluarkan kata-kata yang rakyat Malaysia mesti tinggalkan negara mereka mesti diambil tindakan keras dan mohon maaf secara terbuka serta arahan untuk menghentikan dengan serta-merta mana-mana pihak yang memutarbelit dan memfitnah mana-mana pemimpin Pakatan Rakyat yang tidak bersependapat dengan UMNO-BN sebagai anti-nasionalis atau tidak patriotik.


Kasthuri Patto
Ahli Parlimen Batu Kawan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan