Khamis, 16 Januari 2014

5% Ubat-ubatan di Pasaran Malaysia Adalah Palsu



Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 3 Januari 2014 di Ipoh


 Ubat palsu adalah ubat yang dihasilkan dan dijual dengan niat menipu supaya rupa dan bentuknya sama dengan ubat tulen. Pada asasnya,  ubat palsu itu tidak mempunyai kuantiti kandungan yang sewajarnya atau mengandungi bahan- bahan kimia berlainan yang langsung tidak ada kaitan dengan ubat yang tulen.

Ubat palsu juga mungkin tidak sesuai dimakan kerana boleh memberi kesan sampingan atau tidak  diterima oleh sistem tubuh badan. Selain daripada itu, ubat palsu juga mungkin mengandungi bahan-bahan kimia tertentu yang tidak tercatat pada label bungkusannya. Ada kalanya, terdapat penipuan dalam pebungkusan dan melabelkan ubat-ubat palsu ini.

Tujuan ubat palsu ini dalam pasaran adalah untuk menipu pengguna dan mengaut keuntungan besar oleh pihak pengeluar dan penjual ubat-ubat itu. Perkara Ini menjadi satu masalah yang besar kepada pengeluar-pengeluar dan pengedar-pengedar ubat yang tulen kerana terpaksa bersaing dengan ubat-ubat tiruan yang dijual dengan harga yang murah.

 Pada tahun 2003, World Health Organisation (WHO) telah menganggarkan bahawa pendapatan tahunan yang diperolehi daripada penjualan ubat-ubat palsu ini adalah melebihi US$32 billion di seluruh dunia.

Kewujudan ubat-ubat palsu adalah satu fenomena antarabangsa yang dialami oleh semua negara. Malaysia juga tidak terkeluar daripada gejala negatif ini. Mengikut kajian yang dijalankan oleh Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 1997 mendapati 5.28% daripada produk-produk framaseutikal di pasaran Malaysia adalah produk palsu.

Pada tahun 2008, satu kajian telah dijalankan oleh Espicom iaitu satu badan farmaseutikal Asia yang mendapati bahawa 5% daripada produk
farmaseutikal di Pasaran Malaysia adalah Palsu. Kajian terbaru yang dibuat oleh Emerging Markets Health Networks pada tahun 2013 juga melaporkan bahawa 5% daripada produk farmaseutikal di Pasaran Malaysia adalah palsu.

Adakah 5% ubat tiruan itu merupakan satu jumlah yang besar? Jika soalan ini ditanya kepada Menteri Kesihantan, jawapannya tentu sekali 'tidak'. Bagi kerajaan Malaysia, 5% ubat palsu di pasaran adalah kecil dan terkawal.

Pada hakikatnya jumlah ini adalah cukup besar dan membimbangkan. Dalam erti kata lain, 1 daripada setiap 20 jenis ubat yang dibeli adalah palsu. Perkara ini tidak boleh dipandang remeh oleh kerajaan. Kerajaan harus mengambil langkah-langkah pencegahan dan penguatkuasan secara lebih berkesan.

Di India, sebuah negara yang begitu luas dengan jumlah populasi melebehi 1 billion orang, didapati bahawa hanya 3.1% daripada ubat-ubatannya di pasaran adalah palsu. Perkara ini disahkan melalui satu kajian survey yang dibual oleh International Pharmaceutical Federation iaitu satu pertubuhan global yang mewakili 3 juta ahli farmasi dan saintis farmasi. Peratusan ubat-ubat tiruan di India adalah lebih rendah daripada Malaysia.

Ubat yang kerap ditiru atau dipalsukan oleh pengeluar yang tidak bertanggungjawab ini biasanya merupakan ubat penahan sakit, ubat perangsang seks, ubat untuk mengawal alahan, ubat titis mata dan lain-lain lagi. Pada kebiasaannya ubat tiruan ini adalah ubat-ubat yang boleh dibeli secara terus dari kedai-kedai ubat tanpa memerlukan preskripsi doktor. Hanya ubat yang popular dan mendapat permintaam tinggi dari orang ramai sahaja yang ditiru kerana motif keuntungan.

Bagaimanakah ubat-ubat palsu ini boleh masuk ke dalam pasaran? Kenapakah penguatkuasan di negara kita begitu longgar sekali? Ubat-ubat tiruan tidak boleh menyembuhkan penyakit malah boleh mengakibatkan komplikasi yang lebih mudarat kepada pesakit. Oleh yang demikian, kerajaan seharusnya mempunyai dasar untuk memerangi ubat-ubatan tiruan ini supaya negara kita boleh mencapai tahap ' Ubat Tiruan Sifar'

 Kerajaan harus mencari jalan teknologi baru untuk mengesan produk2 tiruan ini supaya dapat menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia. Sebagai contoh, 'radio frequency identification, spectrocsopy dan energy - dispersive x-ray diffraction' merupakan antara kaedah-kaedah yang boleh diguna pakai untuk memerangi gejala ini seperti di negara-negara yang maju. Kaedah tradisional iaitu serbuan dan pemeriksaan produk-produk tertentu di kedai-kedai ubat atau tempat-tempat penjualan ubat juga perlu diteruskan dengan lebih kerap lagi untuk menjamin kepentingan orang ramai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan