Jumaat, 3 Januari 2014

Sekolah Sudah Bermula, Bumbung Masih Tergantung; SJKT Gopeng, Perak

Kenyataan Media V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 2 Januari 2014 di Gopeng

Saya bersama-sama dengan YB Chang Lih Kang ADUN Teja telah membuat satu lawatan ke SJKT Gopeng pada hari pertama sekolah bermula. Lawatan ini dibuat atas permintaan ibubapa dan beberapa insan yang prihatin terhadap kemajuan dan pembangunan sekolah tersebut.

Kami telah menerima aduan bahawa kerja- kerja baik pulih bangunan sekolah itu masih belum disiapkan pada tarikh  permulaan sekolah tahun ini.  Mengikut maklumat yang diperolehi kerja-kerja baik pulih bumbung sekolah sepatutnya disiapkan pada 28 Disember 2013. Tetapi, kerana sebab-sebab tertentu kerja memasang bumbung itu tidak dapat disempurnakan pada tarikh yang dijanjikan oleh pihak kontraktor. Tambahan pula, isu ini menjadi hangat apabila segelintir ibubapa bimbang untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah yang masih belum siap dibina.

Tiga tahun yang lalu, YB Chang Lih Kang dan saya telah membuat aduan kepada pihak Pejabat Pendidikan Negeri Perak dan Jabatan Kerjaraya Perak berkaitan dengan masalah anai-anai di SJKT Gopeng. Kami telah memberikan laporan lengkap mengenai keadaan sekolah yang telah dimakan anai-anak. Selain daripada itu, satu memorandum juga telah dihantar kepada Pengarah Pendidikan Perak pada tahun yang sama.

Sebagai penyelesaian sementara, pihak Jabatan Kerjaraya telah memasang kabin di sekolah itu untuk memindahkan murid-murid daripada bilik-bilik darjah yang berada dalam keadaaan bahaya. Kabin-kabin itu dijadikan bilik darjah sementara sebagai langkah keselamatan untuk murid-murid. Sementara menunggu peruntukan kerajaan persekutuan, murid-murid sekolah itu terpaksa belajar di dalam kabin yang disediakan oleh Jabatan Kerjaraya tersebut.

Walau bagaimanapun kerja-kerja membaik pulih bahagian-bahagian yang  rosak telah dimulakan pada hujung tahun lepas. Kerja-kerja memperbaiki bumbung itu dijangka siap sebelum permulaan sesi tahun 2014. Tetapi, akibat kelewatan pihak kontraktor bilik-bilik darjah ini masih tidak dapat digunakan lagi.

Pihak pentadbiran sekolah telah mengatur supaya semua pelajar-pelajar ditempatkan di bilik-bilik darjah tertentu sehingga kerja-kerja baik pulih bangunan disiapkan. Pegawai dari Pejabat Pendidikan Negeri Perak telah menjanjikan kepada kami bahawa semua kerja-kerja baik pulih bumbung itu akan disiapkan sebelum hari Isnin minggu hadapan. Oleh yang demikian, ibubapa tidak perlu khuathir tentang keselamatan dan keselesaan anak-anak mereka.

Dalam lawatan kerja itu, kami juga ditunjukkan beberapa tiang yang rosak dimakan anai-anai. Pihak Jabatan Kerjaraya masih tidak menukar tiang-tiang itu sehingga hari ini. Kami akan menghubungi pihak Jabatan Kerjaraya untuk memdapatkan maklum balas dan mendesak supaya tiang-tiang itu ditukar untuk keselamatan semua pihak.

Ada juga diantara ibubapa yang merungut bahawa 'hanging ceiling' yang sedang dipasang itu  tidak sesuai untuk bilik darjah. Mereka risau angin kencang boleh menanggalkan 'hanging ceiling' dengan mudah dan membahayakan keselamatan anak-anak mereka. Perkara ini juga perlu dikaji semula oleh pihak Jabatan Kerjaraya.

Pihak PIBG dan rakyat Gopeng yang prihatin mahu supaya kerajaan membina bangunan baru dua tingkat untuk SJKT Gopeng. Mereka berpendapat bahawa dengan adanya bangunan baru dan infra struktur yang lengkap dan kemas dapat menarik lebih ramai murid-murid ke sekolah ini pada masa akan datang. Permohonan telah dibuat tiga tahun yang lalu tetapi tidak ada apa-apa maklum balas yang positif daripada pihak kerajaan. Harap kerajaan akan memandang serius tentang keperluan bangunan baru untuk SJKT Gopeng.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan