Ahad, 6 Oktober 2013

Kekosongan di Agensi Penguatkuasan Maritim Malaysia, Berapa Untuk Kaum India?

Kenyataan Media V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah, Timbalan Pengerusi DAP Perak & Setiausaha Antarabangsa DAP Malaysia pada 5/10/2013 di Ipoh


Isu perjawatan perkhidmatan awam untuk kaum India bukanlah perkara yang baru. Ini adalah isu yang lapuk tetapi tidak terselesai hingga ke hari ini. Barisan Nasional sentiasa memberi janji kosong mengenai hal tersebut. Pemimpin- pemimpin MIC juga tidak mengambil berat tentang perkara ini. Apabila perkara ini dibangkitkan, mereka lantas memberi janji kosong yang diajar oleh UMNO. MIC tidak mempunyai tulang belakang untuk menuntut hak kaum India di negara ini.

Perjuangan MIC adalah untuk kepentingan politik pemimpin- pemimpinnya sahaja. Nasib kaum India yang tertindas dan malang itu tidak dibela oleh mereka. Itulah sebabnya sokongan kaum India kepada MIC semakin berkurangan. Ini dapat dilihat dalam keputusan PRU12 dan PRU13. Pola pengundian kaum India telah berubah. Sokongan kaum India kepada Pakatan Rakyat semakin meningkat hasil daripada kelemahan- kelemahan MIC yang tidak dapat dipulihkan.

Keadaan menjadi semakin buruk apabila MIC tidak dapat menjanjikan apa-apa yang konkrit untuk kaum India di negara ini. Apa sahaja yang dijanjikan sebelum ini juga tidak dapat dikotakan kerana kedaifannya untuk mendesak UMNO. Salah satu tuntutan utama kaum India ialah pengambilan kerja dalam sektor awam.

Sebelum merdeka dan sejurus selepas merdeka jumlah orang India yang bekerja dalam sektor awam adalah agak signifikan. Tetapi, keadaan berubah ikut peredaran masa. Pada masa ini, statistik membuktikan bahawa pengambilan kaum India ke dalam sektor awam  menurun secara mendadak. Bilangan kaum India dalam sektor awam juga sudah tidak signifikan lagi.

 Ada diantara jabatan- jabatan dan agensi-agensi  kerajaan yang tidak mempunyai kaum India langsung. Kenapa perkara seperti ini boleh berlaku? Sudah pasti kerana kelemahan MIC yang  tidak memperjuangan hak kaum India selama ini. Bukankah keadaan ini tidak sejajar dengan konsep 1 Malaysia yang diwar- warkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak?

 Masyarakat India telah hilang kepercayaan terhadap MIC dan pemimpin- pemimpinnya. Bagaimana pula dengan seorang Timbalan Menteri baru dalam Jabatan Perdana Menteri, P.Waythamoorty? Bolehkah beliau menyelesaikan masalah ini? Pada pendapat saya, beliau juga telah  dijadikan 'Patung Goyang Kepala' UMNO.

Pada masa ini adalah banyak jawatan kosong dalam Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) .  Mengikut sumber kerajaan, terdapat 5170 jawatan di APMM sementara pengisiannya hanyalah 4237. Ini bermakna baki kekosongan jawatan adalah berjumlah 933  yang perlu diisi. Mengikut rancangan kerajaan sebanyak 362 jawatan akan diisi pada tahun ini. Manakala baki 571 jawatan di APMM akan diisi pada tahun hadapan. Selain daripada itu APMM juga merancang untuk meningkatkan tenaga kerja kepada 11, 794 menjelang tahun 2020. Ini bermakna akan wujud 6624 jawatan lagi dalam APMM dalam tempoh masa 7 tahun akan datang.

 Persoalannya ialah berapakah jawatan yang akan ditawarkan kepada kaum India? Saya tidak tahu sama ada pemimpin- pemimpin MIC dan P.Waythamoorthy mengetahui tentang perkara ini. Beranikah golongan ini membuka mulut sekarang? Jika tidak,  kaum India akan kehilangan peluang ini juga. Saya mencabar kepada pemimpin- pemimpin India dari kalangan komponen Barisan Nasional untuk memberi maklum balas kepada persoalan yang saya bangkitkan ini.

V.Sivakumar
Ahli Parlimen Batu Gajah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan