Kenyataan Media YB V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Kawasan Tronoh pada 19/12/2011 di Ipoh.
Novel Interlok telah menjadi bahan kontroversial sejak buku itu dijadikan teks wajib untuk pelajar-pelajar Sastera Melayu peringkat SPM. Pelbagai pihak menimbulkan rasa tidak puas hati terhadap novel itu kerana menyentuh isu-isu perkauman yang sensitif. Ada banyak perkara yang menghina dan mengguris hati pelbagai pihak di negara ini. Buku ini mengutuk semua kaum dengan perkataan-perkataan kasar dan menyinggung perasaan. Buku ini tidak sesuai dijadikan teks wajib untuk anak murid kita yang masih di bangku sekolah.
Pertama sekali buku ini tidak sepatutnya diperkenalkan sebagai buku teks wajib di peringkat SPM. Kementerian Pelajaran Malaysia seharusnya mempunyai satu jawatankuasa atau bahagian untuk mengkaji semua buku-buku teks supaya perkara seperti penghinaan terhadap mana-mana kaum dapat dielakkan. Tindakan ini harus dilakukan sebelum mana-mana buku teks dimasukkan dalam sukatan pelajaran di Malaysia. Kementerian Pelajaran telah gagal berbuat demikian. Akhirnya berpuluh ribu ringgit telah dibelanjakan untuk mencetak novel tersebut. Ini merupakan satu salah laku oleh Kementerian Pelajaran kerana cuai dalam menjaga sensitiviti kaum. Persolannya samada Kementerian Pelajaran tahu atau tidak tentang isi kandungan buku novel itu pada peringkat awal? Mungkin juga Kementerian Pelajaran tahu dan sedar perkara kontroversial buku itu. Tetapi, sengaja memasukkan novel itu ke dalam sukatan pelajaran SPM. Apakah niat sebenar kerajaan, masih tidak diketahui lagi.
Walau bagaimanapun, banyak tentangan dan desakan daripada ahli-ahli politik, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan orang ramai telah membawa isu ini ke kemuncak kontroversi. Kerajaan berdegil untuk meneruskan buku itu walaupun tentangan hebat oleh banyak pihak. Kerajaan tidak mahu tunduk kepada kehendak rakyat kerana sebab-sebab politik tertentu. MIC pula tidak pernah menentang buku Interlok ini secara keras-keras. Mereka hanya mengeluarkan beberapa kenyataan lembut dalam media dan beberapa perbincangan untuk menjaga hati masyarakat India. Mereka berpura-pura menentang novel Interlok itu. Mereka tidak dapat berbuat apa-apa kerana budaya ‘pak angguk’ kepada UMNO yang telah berakar umbi selama bertahun-tahun lamanya. MIC akan bersetuju dengan apa sahaja arahan pihak UMNO. Mereka tidak berani lawan atau menyuarakan pendapat kerana kepentingan politik mereka. MIC gagal memperjuangkan hak orang-orang India di negara ini. MIC sudah tidak relevan dalam politik negara kita.
Sungguh sedia apabila MIC pada mulanya bersetuju dengan UMNO hanya mengubah perkataan-perkataan sensitif dalam buku itu dan diteruskan sebagai teks wajib. Maruah orang-orang India sanggup digadai semata-mata untuk kepentingan dan kedudukan politik mereka. Rakyat Malaysia kini sedar tentang sandiwara MIC yang tidak boleh dipercayai lagi.
Baru-baru ini apabila diumumkan buku Interlok digugurkan daripada sukatan pelajaran SPM tahun 2012, pihak PERKASA telah menghina kaum India sebagai biadap dan besar kepala. Setiausaha Agung PERKASA juga menghina kaum India sekali lagi dengan mengatakan bahawa kandungan novel Interlok itu adalah satu fakta.
Setakat ini tidak ada pimpinan tertinggi MIC yang berani melawan PERKASA. Kalau benar MIC memperjuangkan hak orang-orang India, MIC seharusnya berani lawan PERKASA bermati-matian untuk menjaga maruah orang-orang India di negara ini. Tetapi, kita tahu MIC tidak akan berbuat demikian kerana takut hilang kepentingan dan pengaruh dalam permainan politik UMNO. Bagi UMNO, MIC adalah hanyalah seperti ‘gajah putih ditambat’, iaitu tidak mendatangkan keuntungan tetapi terpaksa menanggungnya juga. PERKASA harus memohon maaf kepada kaum India di negara ini kerana mengeluarkan kenyataan yang menghina dan mengaibkan. Adakah UMNO akan mengambil tindakan terhadap PERKASA adalah satu tanda tanya. Sebagai rumusan, pimpinan MIC takut kepada PERKASA dan gagal memperjuangkan kepentingan dan hak orang-orang India di negara ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan