Khamis, 15 Disember 2011

Perak Miskin atau Aman Jaya?


Kenyataan Media YB V.Sivakumar , Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Kawasan Tronoh pada 15 Disember 2011 di Ipoh.

Perak Miskin Atau Aman Jaya?

Negeri Perak pernah mempunyai satu wawasan untuk mencapai Perak Maju menjelang tahun 2015. Bolehkah matlamat ini dicapai oleh Perak? Menjawab soalan ini, Menteri Besar Perak Dato Seri Zambry  mengaku bahawa negeri Perak telah tersungkur daripada landasan itu. Beliau mengaku bahawa sasaran PeraK Maju tidak boleh dicapai dalam tahun 2015. 

Walau bagaimanapun, beliau yakin bahawa Perak akan mencapai status negeri maju dalam tahun 2018 iaitu 3 tahun kemudian daripada tahun sasaran awal. Beliau memberi 2 alasan kenapa Perak tidak akan mencapai tahap negeri maju dalam 2015.

Pertama,  beliau menuduh kerajaan Pakatan Rakyat yang memerintah negeri Perak selama 11 bulan pada tahun 2008.   Beliau cuba siratkan bahawa Pakatan Rakyat telah mengagalkan agenda Perak Maju. Ini merupakan alasan yang tidak munasabah. Kerajaan Pakatan Rakyat telah meletakkan negeri Perak dalam landasan yang betul. Kerajaan Pakatan Rakyat Perak telah menyelamatkan negeri Perak yang telah terpesong 90° di bawah kerajaan Barisan Nasional. 

Kerajaan Pakatan  Rakyat negeri Perak  pernah mendapat pujian Ketua Audit Negara dalam menguruskan dana negeri dengan cekap dan berkesan. Maka, tuduhan yang dibuat oleh Dato Seri Zambry adalah tidak berasas. 

Kedua, beliau mengatakan bahawa krisis ekonomi global juga merupakan satu sebab yang menjadi halangan untuk mencapai Perak Maju pada tahun 2015. Perkara ini tidak dapat dinafikan kerana keupayaan sesebuah negeri adalah terikat dengan ekonomi global dan tidak dapat dipisahkan  daripada kitaran dan pusarannya. Alasan ini boleh diterima kerana krisis ekonomi global akan meninggalkan impak yang ketara dalam ekonomi negeri yang berpaut  kepadanya.

Dalam persidangan Dewan Negeri Perak yang lepas, Dato Seri Zambry juga berhujah bahawa  usaha intervensi melalui  pendekatan baru yang bersifat transformasi akan dicapai dibawah program Perak Aman Jaya. Menurutnya lagi,  Perak Maju digantikan dengan Perak Aman Jaya  setelah dikaji semula oleh Malaysian Institute of Economic Research pada tahun 2009.  

Beliau juga ada menyebut bahawa matlamat Perak menjadi sebuah  negeri maju akan dicapai pada tahun 2018 dengan bantuan intervensi program-program  transformasi Perak Aman Jaya. Ini adalah satu kenyataan politik yang idealistik dan tidak menpunyai asas yang kukuh.  Satu daripada kriteria untuk menjadi sebuah  negeri maju ialah dengan memperlihatkan  nilai KDNK per kapita negeri tersebut. Bolehkah Perak mencapai status negeri maju dalam tempoh 6 atau 7 tahun lagi? 

KDNK per kapita negeri Perak adalah dalam lingkungan USD 5000 sahaja pada masa ini. Jumlah ini setanding dengan KDNK per kapita bagi negara-negara membangun ataupun masih dalam kegelapan ekonomi. Sebagai contoh KDNK per kapita Peru ialah USD 5205 dan Serbia pula mencatatkan KDNK per kapita sebanyak USD 5139. KDNK per kapita Afrika Selatan dan Dominica  ialah USD7274 dan USD6632 masing-masing. Daripada perbandingan ini dapat kita menilai di manakah letaknya status ekonomi negeri Perak ketika ini. 

Berikut adalah KDNK per kapita bagi beberapa negara maju, Norway (USD84144), Qatar (USD74901), Switzerland (USD 67779), Arab Saudi (USD57884), Amerika Syarikat (USD46860) Singapura (USD 43117) Jepun (USD42783) dan Jerman (USD40274). Bukankah angka-angka ini jauh lebih tinggi nilainya daripada KDNK  per kapita negeri Perak yang hanya dalam ruang lingkup USD5000? Dalam keadaan seperti ini bolehkan Perak mencapai taraf negeri maju pada tahun 2018 seperti yang dimimpikan oleh Dato Seri Zambry dibawah program Perak Aman Jaya?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan