Rabu, 14 Disember 2011

Memorandum Untuk Bangunan Baru SJKT Menglembu


Memorandum  Untuk Bangunan Baru SJKT Menglembu

SJKT Menglembu merupakan satu-satunya sekolah Tamil di kawasan DUN Menglembu. Di dalam zon ini 5% daripada jumlah pengundi yang seramai lebih kurang 26 000 adalah dari kalangan orang-orang India. Oleh yang demikian, permintaan untuk anak-anak memasuki sekolah Tamil adalah cukup tinggi. Ibubapa di kawasan ini tidak ada peluang lain kecuali menghantar anak-anak mereka ke sekolah ini. Permintaan ini tidak dapat ditangani oleh SJKT Menglembu yang sedia ada.

Sekolah ini diasaskan pada tahun 1954 di Lot 609, Kampung Baru Menglembu. Pada masa itu, sekolah tersebut hanya mempunyai 36 orang murid sahaja.  Sekolah itu beroperasi di Kampung Baru Menglembu untuk satu jangka masa yang pendek sahaja.  Oleh kerana keadaan tempat itu tidak sesuai maka sekolah itu telah dipindahkan ke tempat lain kemudian.

Sekolah Tamil Menglembu telah dipindahkan ke tempat  baru di mana sekolah itu berada pada masa sekarang. Batu asas untuk sekolah baru telah didirikan oleh bekas Menteri Kerjaraya iaitu Tun Sambanthan pada 6 Mei 1956.  Pada 29 September 1957 YAB Dato Ghazalie Jawi, bekas Menteri Besar Perak telah merasmikan bangunan baru untuk SJKT Menglembu.

Pada tahun 1983 dan 1984, pihak PIBG sekolah telah membina sebuah pejabat dan sebuah bilik darjah untuk menampung keperluan. Selain daripada itu, pihak PIBG juga telah memagari sekolah tersebut pada ketika itu. Oleh kerana kekurangan dana kepada pihak PIBG, maka badan itu tidak dapat membangunkan struktur sekolah tersebut.

Selepas itu, kerajaan telah membina tandas baru untuk sekolah itu pada tahun 1985. SJKT Menglembu merupakan satu sekolah lama yang sungguh mengharapkan bantuan kerajaan untuk pengendalian, penyeliaan, baik pulih  dan pembinaan struktur baru. SJKT Menglembu merupakan sebuah sekolah Tamil ‘Bantuan Penuh’ kerajaan. Tambahan pula, sekolah ini juga mempunyai Lembaga Pengurus Sekolah seperti mana yang dikehendaki dalam Akta Pelajaran.

Pada hari ini, SJKT Menglembu memiliki enam buah bilik darjah, sebuah bilik guru, sebuah pejabat, dua buah bilik darjah pra-sekolah, sebuah pusat sumber dan sebuah bilik komputer yang dilengkapi dengan penghawa dingin. Pada penghujung  tahun 2009 dua buah pondok bacaan juga telah dibina.

Pada tahun 2011, jumlah murid-murid sekolah ini telah meningkat kepada 304 orang. Ini merupakan satu pola pertambahan yang positif sejak sekolah ini ditubuhkan. Ditambah pula dengan 50 kanak-kanak di pra-sekolah.  Ketika ini, SJKT Menglembu mempunyai 24 orang guru yang berkhidmat.  Guru Besar yang ada sekarang merupakan yang ke sebelas menerajui sekolah tersebut.
SJKT Menglembu memerlukan perhatian serius daripada pihak kerajaan.  Sekolah ini menghadapi pelbagai masalah yang perlu diselesaikan dengan segera. Masalah-masalah sekolah ini telah dibawa kepada perhatian pihak-pihak yang bertanggungjawab tetapi tidak ada sebarang tindakan yang sewajarnya telah diambil setakat ini.  Setiap pemimpin yang melawat sekolah ini hanya memberi janji-janji kosong untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh sekolah ini.

Walaupun Sekolah ini merupakan sebuah sekolah bantuan penuh kerajaan tetapi kerajaan tidak memberi perhatian yang serius untuk menyelesaikan masalah bangungan yang dihadapi oleh  sekolah ini. SJKT Menglembu hanya memiliki  6 buah bilik darjah  utama untuk menampung 304 orang murid-murid. Jumlah ini akan bertambah pada tahun-tahun akan datang. Oleh yang demikian, pihak kerajaan harus mengambil tindakan awal untuk membina bangunan baru dalam tempoh terdekat.

Setiap bilik darjah di bahagikan 2 untuk digunakan sebagai 2 bilik darjah. Dua kelas yang berlainan akan  berjalan pada masa yang sama di dalam satu bilik darjah. Ini mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran  di sekolah itu. Pakar-pakar pelajaran pasti bersetuju dengan pendapat ini. Bunyi bising dalam bilik-bilik yang dikongsi itu menimbulkan suasana yang tidak menyenangkan kepada guru-guru dan murid-murid di sekolah ini.

Tambahan pula, bilik komputer dan bilik perpustakaan juga telah dijadikan sebagai bilik darjah untuk menampung keperluan. Oleh itu, perpustakaan dan bilik komputer tidak boleh berfungsi dalam keadaan biasa. Hakikatnya, murid-murid sekolah SJKT Menglembu akan ketinggalan dalam mempelajari komputer. Begitu juga murid-murid sekolah itu tidak dapat menggunakan perpustakaan sekolah dengan sewajarnya untuk membantu dalam proses pembelajaran mereka.

Apa gunanya ada bilik komputer dan perpustakaan tetapi tidak dapat digunakan sepenuhnya oleh murid-murid sekolah itu? Perkara ini tidak boleh dipandang rendah kerana dalam zaman serba moden ini pendidikan komputer dan kemudahan perpustakaan adalah satu keperluan yang tidak dapat dinafikan oleh mana-mana pihak.  Ini merupakan satu bukti bahawa sekolah-sekolah Tamil sentiasa dianak tirikan oleh kerajaan. Situasi seperti ini tidak timbul di sekolah-sekolah kebangsaan di negara kita.

Dua buah pondok bacaan yang baru dibina juga telah dijadikan bilik darjah untuk mengatasi masalah kekurangan bilik darjah. Pondok-pondok ini adalah kecil dan tidak sesuai untuk dijadikan sebagai bilik darjah. Walau bagaimanapun, pihak sekolah terpaksa menggunakannya sebagai bilik darjah untuk menampung keperluan yang semakin meningkat tahun demi tahun.

Selain daripada itu, SJKT Menglembu juga menghadapi masalah padang permainan yang sentiasa dibanjiri dan ditakung air. Selepas hujan turun padang itu akan menakung air untuk beberapa hari. Walaupun tempat-tempat lain dipersekitaran menjadi kering, padang ini masih lembap dan ditakung air untuk satu tempoh yang lama. Ini menyebabkan murid-murid sekolah ini juga tidak dapat menggunakan padang untuk aktiviti-aktiviti senaman dan sukan. Air dari padang itu mengalir ke dalam longkang-longkang di sekeliling sekolah itu pada setiap masa.  Padang ini juga perlu diperbaiki dan dinaik taraf dengan serta-merta.

SJKT Menglembu juga menghadapi masalah anai-anai. Ini mungkin kerana bangunan sekolah yang lama dan sentiasa lembap di kawasan persekitarannya. Perkara ini juga telah dibawa kepada perhatian pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.

Bangunan pra-sekolah pula tidak dipagari dengan dinding bata. Bangunan pra-sekolah terletak di hujung yang berhampiran dengan belukar. Sering kali ular dan biawak memasuki kawasan pra-sekolah. Ini membahayakan keselamatan anak-anak kecil yang berada di kawasan itu. Aduan mengenai perkara ini juga telah dibawa kepada perhatian pihak berkuasa.

Walaupun kerajaan telah menjanjikan untuk membina bangunan baru untuk sekolah ini, tetapi janji itu bagaikan janji di atas angin.  Kenapakah SJKT Menglembu masih tidak mendapat peruntukan untuk membina bangunan baru walaupun perkara ini telah dibangkitkan sekian lama? Pihak Jabatan Pelajaran Negeri Perak dan Kementerian Pelajaran Malaysia telah dimaklumkan berulang kali mengenai masalah bangunan SJKT Menglembu oleh pihak pentadbiran sekolah dan PIBG.

Kerajaan boleh meluluskan peruntukan wang berjuta-juta ringgit untuk sekolah-sekolah kebangsaan tetapi sekolah Tamil Menglembu tidak dipedulikan walaupun masalah ini lama telah dibawa kepada perhatian kerajaan . YB V.Sivakumar, Ahli Dewan Negeri kawasan Tronoh telah menulis surat kepada Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengarah Pelajaran Negeri Perak pada  16 Jun 2011 dan 1 November 2011. (Salinan surat disertakan). Tetapi setakat ini tidak ada sebarang maklum  balas mengenai hal yang dibangkitkan.

YB V.Sivakumar juga telah membangkitkan  isu sekolah ini dalam persidangan Dewan Negeri  Perak pada 24/11/2011. Berikut adalah teks ucapan beliau pada Persidangan Keempat, Mesyuarat Ketiga, Penggal Keempat, Dewan Negeri Yang Kedua Belas Perak Darul Ridzuan:

“Satu lagi sekolah Tamil yang memerlukan perhatian kerajaan ialah SJKT Menglembu, Ipoh. Sekolah ini mempunyai lebih kurang 304 orang murid-murid. Sekolah ini menghadapi pelbagai masalah yang perlu diselesaikan dengan segera. Masalah-masalah sekolah ini telah dibawa kepada perhatian pihak-pihak yang bertanggungjawab tetapi tidak ada sebarang tindakan setakat ini.  Setiap pemimpin yang melawat sekolah ini hanya memberi janji-janji kosong untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh sekolah ini. Sekolah ini merupakan sebuah sekolah bantuan penuh kerajaan. SJKT Menglembu hanya memiliki 6 buah bilik darjah utama untuk menampung 304 orang murid-murid. Tambahan pula, bilik komputer dan perpustakaan juga telah dijadikan sebagai bilik darjah untuk menampung keperluan. Ini merupakan satu bukti bahawa sekolah-sekolah Tamil sentiasa di anaktirikan oleh kerajaan. Walaupun kerajaan telah menjanjikan untuk membina bangunan baru untuk sekolah ini, tetapi janji itu bagaikan janji di atas angin.  Harap Dewan mengambil perhatian terhadap perkara yang dibangkitkan ini”.

Selepas Sidang DUN pada hari itu, ada pimpinan MIC negeri membuat kenyataan akhbar bahawa mereka telah menyelesaikan masalah sekolah ini. Jika benar kenyataan yang dibuat oleh mereka itu, beberapa persoalan perlu dijawab oleh kerajaan supaya tidak ada pihak yang cuba mengelirukan rakyat berhubung dengan perkara yang dibangkitkan.

Di sini beberapa persoalan yang perlu ditimbulkan kepada pihak Jabatan Pelajaran Negeri Perak dan Kementerian Pelajaran Malaysia. Antaranya adalah seperti berikut:

1)    Adakah pihak kerajaan benar-benar serius dalam menyelesaikan masalah SJKT Menglembu?
2)    Jika ya, adakah kerajaan bersedia untuk membina bangunan baru untuk SJKT Menglembu?
3)    Apakah tahap dan status permohonan bangunan baru yang dibuat oleh SJKT Menglembu?
4)    Berapakah jumlah peruntukan yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan untuk membina bangunan baru bagi SJKT Menglembu?
5)    Apakah rancangan atau pelan bangunan baru bagi SJKT Menglembu untuk menangani keperluan masa hadapan?
6)    Bilakah kerja-kerja pembinaan bangunan baru akan dimulakan ?
7)    Bilakah dijangka bangunan baru untuk SJKT Menglembu akan siap dibina?

Sedih melihat suasana Sekolah Tamil Menglembu ini.  Sekolah Tamil  ini  berada dalam keadaan yang usang dan serba kekurangan. Tetapi kerajaan dan Menteri Pelajaran tidak prihatin untuk menyelesaikan masalah sekolah ini. Kerajaan bertanggungjawab untuk menyediakan segala kemudahan kepada semua anak Malaysia yang bersekolah. Ini adalah hak perlembagaan anak-anak kita. Tetapi, kerajaan ini menganak tirikan sekolah-sekolah Tamil.

Adalah sukar sekali  untuk mendapat peruntukan kerajaan untuk membina semula sekolah-sekolah  Tamil  yang lama dan sudah menjadi usang. Jelas terdapat dasar diskriminasi yang ketara terhadap sekolah-sekolah Tamil di negara ini. Sudah hampir 4 tahun selepas PRU12, tetapi keadaan sekolah-sekolah Tamil masih sama. Tidak ada  usaha-usaha yang konkrit dan jitu untuk menyelesaikan masalah infra struktur yang serba kekurangan. 

Pada 7 Disember 2011, satu sesi dialog telah diadakan dengan ibubapa dan penduduk kawasan Menglembu berhubung dengan masalah yang dihadapi oleh SJKT Menglembu. Dalam pertemuan itu saya resolusi telah dipersetujui sebulat suara iaitu ‘Kerajaan Persekutuan harus meluluskan peruntukan kewangan dengan segera  dan kerja-kerja pembinaan sekolah harus dimulakan sebelum PRU13’

Harap kerajaan akan menggunakan wang peruntukan Kementerian Pelajaran dalam belanjawan 2012 untuk membina bangunan baru untuk SJKT Menglembu.

Terima Kasih

Tiada ulasan:

Catat Ulasan