Selasa, 6 Disember 2011

Kenyataan Media YB V.Sivakumar pada 6 Disember 2011 di Menglembu




SJKT Menglembu Memerlukan Bangunan Baru Dengan Segera

Adakah benar kerajaan sudah menyediakan peruntukan untuk membina bangunan baru untuk SJKT Menglembu. Jika benar, berapakah wang peruntukan yang telah diluluskan ? Bilakah kerajaan akan mula kerja-kerja membina bangunan baru untuk sekolah ini? SJKT Menglembu merupakan satu lagi sekolah Tamil yang memerlukan perhatian kerajaan dengan segera. Sekolah ini mempunyai lebih kurang 304 orang murid pada tahun 2011. Tambahan pula ia merupakan satu satunya sekolah Tamil di DUN Menglembu. Oleh itu, ibubapa di kawasan ini tidak ada peluang lain kecuali menghantar anak-anak mereka ke sekolah ini. Saya telah membangkitkan isu sekolah ini dalam persidangan Dewan Negeri Perak pada 24/11/2011.

Sekolah ini menghadapi pelbagai masalah yang perlu diselesaikan dengan segera. Masalah-masalah sekolah ini telah dibawa kepada perhatian pihak-pihak yang bertanggungjawab tetapi tidak ada sebarang tindakan yang sewajarnya telah diambil setakat ini. Setiap pemimpin yang melawat sekolah ini hanya member i janji janji kosong untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh sekolah ini.

Selepas Sidang DUN ada pemimpin-pemimpin MIC negeri membuat kenyataan akhbar bahawa mereka telah menyelesaikan masalah sekolah ini. Ini tidak benar kerana tidak ada apa-apa bukti bahawa masalah yang dibangkitkan itu telah diselesaikan. Saya member amaran keras supaya jangan memberi janji kosong semata-mata untuk menipu masyarakat India dan menang pilihanraya.

Sekolah ini merupakan sebuah sekolah bantuan penuh kerajaan. Tetapi, kerajaan tidak memberi perhatian yang serius untuk menyelesaikan masalah bangungan sekolah ini. SJKT Menglembu hanya memiliki 6 buah bilik darjah utama untuk menampung 304 orang murid. Setiap bilik darjah dikongsi untuk digunakan sebagai 2 bilik darjah. Masalah seperti ini tidak wujud di sekolah-sekolah kebangsaan. Ini menganggu proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah itu. Bunyi bising dalam bilik-bilik yang dikongsi itu menimbulkan suasana yang tidak menyenangkan guru-guru dan murid-murid di sekolah ini.

Tambahan pula, bilik komputer dan perpustakaan juga telah dijadikan sebagai bilik darjah untuk menampung keperluan yang tersedak. Oleh yang demikian , perpustakaan dan bilik komputer tidak boleh berfungsi dalam keadaan biasa. Ini merupakan satu bukti bahawa sekolah-sekolah Tamil sentiasa dianak tirikan oleh kerajaan persekutuan mahupun kerajaan negeri.

Walaupun kerajaan telah menjanjikan untuk membina bangunan baru untuk sekolah ini, tetapi janji itu bagaikan janji di atas angin. Pemimpin-pemimpin MIC, seperti biasa berkata, perkara ini ‘masih dalam perhatian dan tindakan kerajaan’. Inilah frasa yang paling digemari oleh pemimpin-pemimpin MIC untuk melarikan diri daripada tanggungjawab.

Kerajaan boleh meluluskan peruntukan wang berjuta-juta ringgit untuk sekolah-sekolah kebangsaan tetapi sekolah Tamil Menglembu tidak dipedulikan walaupun masalah ini lama telah dibawa kepada perhatian kerajaan . Saya telah menulis surat kepada Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengarah Pelajaran Negeri Perak pada 16 Jun 2011. Tetapi setakat ini tidak ada sebarang maklum balas mengenai hal yang dibangkitkan . Harap kerajaan akan menggunakan wang peruntukan Kementerian Pelajaran dalam belanjawan 2012 untuk membina bangunan baru untuk SJKT Menglembu.

Pada masa ini, pihak Tamil Pallithirvukullu sedang mengambil inisiatif untuk berjumpa dengan ibubapa untuk membincangkan masalah yang dihadapi oleh sekolah ini. Jika masalah ini tidak diselesaikan segera, maka satu tindakan yang lebih drastik perlu diambil untuk mencubit telinga pemimpin-pemimpin yang pura-pura tidur.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan