Selasa, 5 Julai 2011

Hak Rakyat Dinafikan Dengan Kekerasan



Teks Ucapan YB V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP Perak, Timbalan Pengerusi DAPSY Perak dan ADUN kawasan Tronoh di Ceramah PAS Pekan Karai, Anjuran PAS Sungai Siput pada 3 Julai 2011.



Hak Rakyat Dinafikan Dengan Kekerasan


Malaysia mengamalkan demokrasi tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara. Tidak ada undang-undang lain yang lebih tinggi di negara kita melainkan Perlembagaan Persekutuan. Tidak ada orang yang lebih tinggi kedudukannya daripada Perlembagaan Persekutuan. Kuasa Perlembagaan Persekutuan itu tidak boleh dicabar oleh mana-mana pihak. Perkara 1(1) Perlembagaan inilah yang memberi nama bagi negara kita yang dikenali sebagai ‘Malaysia’. Undang-undang ini mengwujudkan satu persekutuan yang terdiri daripada semua negeri-negeri dan wilayah-wilayah persekutuan di negara ini.

Mengikut Perkara 4(1), Perlembagaan ini adalah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka dan yang berlawanan dengan Perlembagaan ini hendaklah terbatal setakat yang berlawanan itu. Perkara ini mengesahkan bahawa Undang-undang inilah yang paling tinggi dalam menentukan corak pentadbiran negara dan hak asasi rakyat.

Jika kita meneliti Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan iaitu hal berhubung dengan hak asasi manusia, semua warganegara adalah berhak berhimpun secara aman dan dengan tidak bersenjata. Dalam erti kata yang lain, hak untuk berhimpun merupakan hak asasi rakyat yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan. Tidak ada pihak yang patut mencabar atau menafikan hak rakyat ini.

Tetapi, Kerajaan BN telah melampaui batas dengan menafikan hak rakyat untuk berhimpun secara aman semata-mata untuk menjamin keselesaaan dan kepentingan politik mereka. Arahan yang tidak munasabah dan tidak berperlembagaan telah dikeluarkan oleh Datuk Seri Hishammudin selaku Menteri Dalam Negeri untuk menangkap mereka yang membuat persediaan untuk berhimpun secara aman. Tindakan mematahkan persediaan untuk berhimpun secara aman adalah sesuatu yang tidak menepati Perlembagaan Persekutuan. Segala usaha untuk menggunakan kekerasan hanya dilakukan oleh pihak kerajaan dengan menggunakan PDRM dan bukannya oleh pihak-pihak yang mahu berhimpun secara damai. Segala tindak-tanduk polis yang dilakukan atas arahan pihak-pihak tertentu telah menjengkelkan hati rakyat. Pihak polis juga harus menegakkan undang-undang negara terutamanya Perlembagaan Persekutuan dan bukannya secara membuta tuli mendewakan dan mengikut arahan menteri yang mempunyai kepentingan politik.

Jika polis juga terpengaruh dengan diayah politik kotor dan bersubahat dengan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional dan menafikan hak rakyat, maka ini akan membawa kepada ketirisan terhadap nama baik PDRM itu sendiri. Tambahan pula, PDRM harus mengutamakan dan mengangkat panji-panji rukun negara yang ketiga dan keempat iaitu ‘Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang’

Tiada ulasan:

Catat Ulasan