Selasa, 20 Januari 2015

56.4% Malaysia Masih Hutan, Kekalkan Alam Semulajadi Untuk Kesejateran Sejagat, Pemusnahan Melampau Merugikan Negara







Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 10 Januari 2015 di Jelapang


Kebanyakkan daripada bencana alam yang berlaku pada masa ini adalah lanjutan daripada angkara manusia itu sendiri. Atas nama pembangunan, manusia telah melupakan tanggungjawab sosial bagi mengekalkan alam semulajadi untuk kebaikan dan kesejahteraan sejagat. Ketamakan manusia untuk mencari kekayaan dengan menghapuskan alam semulajadi telah membawa pelbagai masalah kepada seluruh umat manusia. Ini adalah fenomena global, Malaysia juga tidak terlepas daripada pembangunan yang turut mengadai kesejahteraan sosial.

Hutan adalah pemberian tuhan untuk mengekalkan ekosistem dunia supaya manusia dan haiwan dapat hidup dalam habitatnya tersendiri. Kita harus menjaga kewujudan hutan untuk memastikan supaya tidak berlaku penggondolan melampau yang boleh membinasakan ekosistem yang sedia ada. Perkara-perkara melampau yang dilakukan terhadap alam semulajadi pasti akan membawa kemudaratan kepada semua. Kekayaan yang dipungut melalui pembinasaan alam akan pasti membawa kerugian yang lebih besar pada masa hadapan malah tidak dapat ditampung oleh kita lagi.

Malapetaka yang melanda dunia pada masa ini adalah berpunca daripada perbuatan tamak haloba manusia yang mahu membolot kekayaan dari permukaan dan perut bumi dengan cara yang tidak betul. Inilah merupakan salah satu punca utama kepada perubahan cuaca yang dialami oleh seluruh dunia pada masa ini. Orang-orang yang tidak berdosa juga turut menjadi mangsa akibat perbuatan pihak-pihak tertentu yang hanya mementingkan keuntungannya.

Malaysia juga mengalami pelbagai cabaran dan dugaan kerana perubahan cuaca yang agak ketara baru-baru ini. Banjir besar yang melanda beberapa negeri seperti Kelantan, Trengganu, Pahang, Perak, Negeri Sembilan dan Johor juga adalah berpunca daripada masalah penebangan hutan yang keterlaluan. Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan harus mengawal tindakan-tindakan penggondolan hutan yang keterlaluan. Ini adalah penting untuk memastikan supaya bencana banjir yang teruk tidak berlalu lagi pada masa hadapan.

Pada ketika ini, Malaysia masih mengekalkan keluasan hutan sebanyak 18.48 juta hektar iaitu 56.4% daripada keluasan tanah yang sepenuhnya. Daripada jumlah kawasan hutan itu lebih kurang 13.42 juta hektar iaitu 72.6% merupakan kawasan Hutan Pengeluaran. Manakala hanya 5.06 juta hektar iaitu 27.4% adalah Hutan Perlindungan yang tidak boleh ditebang.

Kerajaan harus menilai semula status keluasan kawasan hutan yang dikategorikan sebagai Hutan Pengeluaran. 13.42 juta hektar di bawah kategori ini adalah terlalu besar dan boleh membahayakan negara jika aktiviti-aktiviti penebangan yang berleluasa berlaku di situ. Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri harus bekerjasama dan mengambil segala langkah untuk menambahkan jumlah keluasan Hutan Perlindungan.

Selain daripada itu, usaha-usaha pembendungan aktiviti-aktiviti pembalakan haram juga patut diberi perhatian yang serius. Kerajaan harus melaksanakan amalan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (sustainable forest management) dengan lebih cekap dan berkesan. Selain daripada itu, usaha-usaha penghutanan semula harus ditingkatkan disamping mewartakan lebih banyak kawasan hutan tadahan air. Jika uasaha-usaha pengawalan dan penguatkuasan tidak diambil perhatian segera, Malaysia mungkin akan terdedah kepada bencana alam yang lebih kritikal pada masa hadapan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan