Selasa, 20 Januari 2015

Padang Bola Pun Pilih Kasih, Kaum India Ditindas Di Desa Changkat



Kenyataan Media V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 9/1/2015 di Batu Gajah



Desa Changkat yang lebih dikenali sebagai Indian Settlement, Batu Gajah masih tidak mempunyai satu padang permainan bola sepak walaupun perkara ini telah dibangkitkan puluhan kali. Saya rasa kesal dan amat kecewa dengan sikap Majlis Daerah Batu Gajah yang langsung tidak mempedulikan permintaan penduduk tempatan.

 Belia-belia Desa Changkat memerlukan sebuah padang permainan bolasepak. Sebuah tapak tanah telah digazetkan oleh kerajaan sebagai padang bolehsepak yang terletak di dalam kawasan perkampungan tersebut. Tetapi, tapak itu perlu dibersihkan dan disediakan infra sebelum boleh digunakan sebagai padang bolasepak. Saya menjangka kos keseluruhan menyediakan padang bolasepak itu tidak melebihi RM100,000.

Walaupun perkara ini dibangkitkan berulang kali tetapi pihak kerajaan tempatan tidak mahu mempertimbangkan permintaan penduduk tempatan. Saya pernah membawa isu ini di Dewan Undangan Negeri Perak beberapa kali. Perkara ini juga pernah mendapat liputan akhbar yang meluas. Tetapi, isu itu akan sentiasa berakhir dengan janji-janji kosong Barisan Nasional. Rakyat tempatan ditipu bertubi-tubi oleh Ahli-ahli Majlis Batu Gajah Barisan Nasional.

Sering kali kita melihat Majlis Daerah Batu Gajah membelanjakan wang ratusan ribu untuk projek-projek yang tidak membawa manfaat kepada rakyat. Kita tahu projek-projek berkenaa diluluskan semata-mata untuk membantu kontraktor-kontraktor kroni Barisan Nasional. Masalah dan permintaan rakyat tidak dihiraukan oleh pihak Majlis Daerah Batu Gajah. Ahli-ahli Majlis Daerah Batu Gajah hampir semuanya makan elaun buta dan tidak berani membuka mulut untuk memenuhi kemahuan rakyat.

Sejak saya menjadi ADUN kawasan Tronoh pada tahun 2008, saya telah melihat 2 orang Yang Dipertua Majlis Daerah Batu Gajah yang boros dan tidak cekap menangani masalah rakyat. Mereka bersikap angkuh dalam melaksanakan projek-projek gajah putih yang amat merugikan.

Sekarang semasa saya menjadi Ahli Parlimen Batu Gajah, saya berpeluang untuk melihat seorang lagi Yang Dipertua Majlis Daerah Batu Gajah yang dilantik pada hujung tahun 2014. Saya sungguh berharap bahawa Yang Dipertua baru ini tidak menunjukakan dan mencontohi sikap yang sama seperti kedua-dua ketua kerajaan tempatan sebelumnya.

Saya juga berani menyebut di sini bahawa kedua-dua Yang Dipertua Majlis Daerah Batu Gajah telah menunjukkan sikap rasis yang melampau dalam melaksanakan projek-projek di kawasan Batu Gajah. Satu daripada contoh yang nyata ialah mengenai padang bolasepak di Desa Changkat. Penduduk Desa Changkat juga sedar bahawa permintaan mereka tidak ditunaikan kerana keputusan berasaskan perkauman.

Oleh kerana majoriti penduduk Desa Changkat adalah kaum India, maka pihak Majlis Daerah Batu Gajah tidak mahu menaruh minat untuk membantu mereka. Saya juga berharap Yang Dipertua Baru Majlis Daerah Batu Gajah tidak mengamalkan sikap rasis malah sanggup bekerjasama tanpa mengambil kira batasan politik demi kepentingan rakyat.

 Saya mohon supaya Majlis Daerah Batu Gajah akan menggunakan peruntukkan tahun ini untuk menyediakan padang permainan bola sepak untuk desa changkat yang lama dinanti-nantikan oleh belia dan penduduk kawasan itu

Tiada ulasan:

Catat Ulasan