Jumaat, 3 Ogos 2012

Skandal Bola Keranjang Pusing



Kenyataan Media YB V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Kawasan Tronoh pada 3/8/2012 di Pusing, Batu Gajah.

Skandal Bola Keranjang Pusing

Barisan Nasional cuba menipu rakyat dengan menutup skandal gelanggang bola keranjang di Pusing.  Hari ini Barisan Nasional mahu membina gelanggang bola keranjang di tapak lama. Saya yakin penduduk Pusing tidak lupa bagaimana Barisan Nasional telah menipu rakyat beberapa tahun yang lalu. Tapak gelanggang bola keranjang telah diambil secara paksa  untuk membuat projek membina kedai walaupun bantahan kuat daripada penduduk tempatan.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Tronoh Datuk Lee Kon Yin merupakan pengarah di dalam Syarikat Panglima Bangsa Sdn Bhd (tarikh penubuhan 17 Mac 1998). Syarikat itu telah memperoleh tanah kerajaan seluas 2.32 ekar di Pusing. Syarikat itu memperolehi tanah tersebut setelah memberi cadangan untuk memajukan tanah itu pada tahun 2001.

Syarikat Panglima Bangsa Sdn Bhd terdiri daripada 2 orang pengarah. Salah seorang daripadanya ialah Datuk Lee Kon Yin, bekas ADUN kawasan Tronoh. Datuk Lee Kon Yin telah menjadi Pengarah Syarikat Panglima Bangsa Sdn Bhd pada bulan Disember 2001. Kenapakah tiba-tiba beliau menjadi Pengarah di syarikat itu apabila cadangan dibuat untuk memajukan tanah tersebut pada tahun 2001? Semuanya telah dirancang dengan teliti untuk mendapatkan tanah kerajaan dengan menggunakan pengaruh politik. Pusing merupakan daerah mengundi yang terletak di kawasan DUN Tronoh.

Syarikat kepunyaan seorang ADUN diberi tanah seluas 2.3 ekar oleh kerajaan untuk mebuat projek membina 29 lot kedai. Bukankah ini satu bentuk salahguna kuasa oleh YAB Menteri Besar ketika itu dan kerajaan negeri? Tambahan pula, dalam kes ini ada konflik kepentingan  (confict of interest) yang amat jelas sekali. Seorang wakil rakyat tidak sepatutnya memohon tanah kerajaan untuk kepentingan peribadi atau syarikatnya, tambahan pula jika ia merugikan rakyat yang mengundinya.

Tanah kerajaan seluas 2.32 ekar yang diluluskan itu sebenarnya terdiri daripada 2 keping tanah iaitu: 

1)      Bekas kuarters JKR  (projek mendirikan 16 bangunan kedai yang dimajukan oleh Keris Properties)
2)      Gelanggang Bola Keranjang di sebelah pasar awam Pusing (projek mendirikan 13 unit bangunan kedai)

Kenapakah Kerajaan Negeri memilih Syarikat Panglima Bangsa Sdn Bhd untuk memajukan 2 keping tanah seluas 2.32 ekar, sedangkan syarikat ini hanya memperolehi keuntungan  selepas cukai sebanyak RM6252 pada tahun 2003?

Mengikut rekod Pejabat Tanah & Daerah Kinta, suratan hakmilik tanah telah dikeluarkan dan didaftarkan di atas nama Syarikat Panglima Bangsa Sdn Bhd pada bulan Ogos 2004. Selepas 2 bulan iaitu pada Oktober 2004 tanah tersebut telah dipindah milik kepada sebuah syarikat pemaju yang lain iaitu Tujoh Jaya Sdn Bhd.

Melalui pindah milik ini dipercayai Syarikat Panglima Bangsa  Sdn Bhd telah mendapat keuntungan lebih kurang RM416,000 setelah menolak semua pembayaran. Bolehkah Datuk Lee Kon Yin menafikan tentang  kesahihan  maklumat ini?

Kenapakah pula tanah itu  kemudiannya dimajukan oleh Keris Properties? 

Apakah sebab tanah itu bertukar tangan 3 kali?

Ini membuktikan Syarikat Panglima Bangsa Sdn Bhd tidak berniat untuk memajukan tanah tersebut apabila membuat permohonan tanah daripada kerajaan negeri. Syarikat ini hanya berniat untuk menggunakan Pengarahnya yang juga merupakan seorang ADUN untuk memperolehi tanah daripada kerajaan negeri dan kemudian menjual semula kepada pemaju yang lain untuk membuat keuntungan yang lumayan.

Kerajaan  Negeri tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap Syarikat Panglima Bangsa Sdn Bhd yang memperolehi tanah kerajaan secara tipu muslihat. Tanah diluluskan kepada syarikat itu untuk memajukannya dan bukan untuk dijual kepada pemaju yang lain.

Syarikat Panglima Bangsa Sdn Bhd telah memperolehi 2.32 ekar tanah komersial dengan bayaran yang terlalu rendah. Syarikat itu hanya membayar premium lebih kurang RM226,000 sahaja.  Jumlah ini adalah terlalu rendah dari segi harga pasaran untuk 29 lot tanah komersial itu. Dalam kata lain, tanah komersial telah dianugerahkan kepada Syarikat Panglima Bangsa pada harga RM2.26 sekaki persegi sahaja.

Datuk Lee Kon Yin pernah membuat laporan kenyataan bahawa tanah ini adalah tanah milik syarikat swasta dan beliau  sendiri telah mendapatkan tanah lapang untuk rekreasi di Taman Ria, Pekan Baru Pusing dan Taman Pelangi dan 3 gelanggang bola keranjang di Pusing. Oleh itu penduduk pusing tidak perlu risau mereka tidak mempunyai tempat untuk rekreasi.  (Beliau telah menutup identiti beliau sebagai salah seorang pengarah dalam Syarikat Panglima Bangsa Sdn Bhd apabila membuat kenyataan itu).

Beliau begitu ghairah untuk membina lot kedai di tapak gelanggan bola keranjang di Pusing.  Sekarang tiba-tiba menjadi ‘budak baik’ mahu bina semula gelanggang bola keranjang di tapak yang sama. Apa niatnya? Persoalannya ialah bagaimanakah tanah milik syarikat swasta itu menjadi milik kerajaan sekali lagi?

1)      Adakah kerajaan telah membeli semula tanah itu daripada syarikat swasta untuk membina gelanggang bola keranjang?

2)      Jika ya, berapakah jumlah wang yang telah dibayar oleh kerajaan untuk membeli semula tanah tersebut?

3)      Jika tidak, apakah bentuk pampasan yang diberikan oleh kerajaan kepada syarikat swasta yang membeli tanah itu daripada Syarikat Panglima Bangsa Sdn Bhd?





Tiada ulasan:

Catat Ulasan