Rabu, 1 Ogos 2012

'Janji Dimungkiri - 39 Penternak Ikan Kecewa'


Kenyataan Media YB V.Sivakumar,
Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Kawasan Tronoh pada 28/7/2012 di Kampung Baru Bali, Tronoh.


Janji Dimungkiri – 
39 Penternak Ikan Kecewa








Penternak-pentenak ikan kui di Kampung Bali, Tronoh sangat kecewa dengan kerajaan Negeri Perak yang tidak prihatin terhadap mereka. Seramai 39 orang pengusaha ikan kui rasa tertipu dengan janji kosong yang diberikan oleh Barisan Nasional selama ini. Datuk Seri Diraja Tajol Rosli, mantan Menteri Besar Perak pernah melawat tapak  pernternakan ikan kui  yang diusahakan secara giat di Kampung Bali, Tronoh. Beliau telah membuat lawatan itu pada tahun 2007 iaitu setahun sebelum PRU12. Beliau telah menjanjikan pemberian tapak tanah seluas 2 ekar  kepada setiap pengusaha. Kerajaan Barisan Nasional tidak menunaikan janji yang diberikan oleh Menteri Besar ketika itu.

Selepas Pakatan Rakyat mengambil alih tapuk pemerintahan Negeri Perak , Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bercadang untuk memberikan tapak tanah secara insitu mengikut keluasan yang diusahakan olen penternak-penternak itu. Perbincangan telah diadakan beberapa kali diantara penternak-penternak ikan dan pihak pentadbir tanah untuk menyelesaikan hal ini. Kata sepakat telah dicapai untuk pemberian tanah secara insitu dan mengikut keluasan yang diusahakan.

Walau bagaimanapun, sebelum kerajaan Pakatan Rakyat meluluskan pemberian tanah itu di Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Barisan Nasional telah merampas kuasa pemerintahan di Perak pada tahun 2009. Tindakan rampasan kuasa itu merugikan penternak-penternak ikan kui di kampung Bali, Tronoh. Mereka tidak diberi geran sehingga hari ini. Penternak-penternak ikan kui terpaksa mengusahakan tanah itu secara haram kerana Barisan Nasional gagal menyelesaikan masalah mereka. Nasib mereka juga tidak dibela oleh MCA yang terus membisu mengenai isu tanah ini.

Baru-baru ini terdapat anasir-anasir luar yang cuba mengganggu kerja-kerja mereka. Pihak ketiga ini mendakwa mereka adalah pemilik tanah yang sah. Bagaimana perkara ini boleh berlaku? Penternak-penternak tempatan tidak diberi tanah tetapi diberikan kepada orang-orang lain dari luar yang langsung tidak mempunyai kepentingan di atas tanah ini. Ini adalah satu lagi bukti bagaimana pihak-pihak tertentu menyalahgunakan kuasa mereka untuk membolot kekayaan negeri tanpa belas kasihan kepada pengusaha-pengusaha asal. Tindakan kerajaan memberi tanah kepada pihak ketiga ini adalah satu bentuk penganiyayaan terhadap penternak-penternak yang mengusahakan tanah ini selama 3 generasi.

Barisan Nasional telah menipu penternak-penternak ini.  Harapkan pagar, pagar makan padi. Pemimpin-pemimpin Barisan Nasional harus berasa malu dengan slogan hari kemerdekaan  ‘Janji Ditepati’.  Janji yang diberikan oleh kerajaan Barisan Nasional Perak kepada penternak-penternak ikan kui ini adalah  seperti janji  ‘di atas angin’.

Pakatan Rakyat menjanjikan pemberian tapak tanah  kepada 39 orang penternak ikan kui ini seperti yang dicadangkan pada tahun 2008 apabila berkuasa semula di Negeri Perak selepas PRU13.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan