Jumaat, 3 Ogos 2012

Masyarakat India Mundur Kerana MIC

Kenyataan Media YB V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Kawasan DUN Tronoh pada 3 Ogos 2012 di Ipoh


Masyarakat India Mundur Kerana MIC

Masyarakat India merupakan antara kaum yang paling tertindas di negara kita. Walau pun negara kita telah merdeka 54 tahun tetapi status sosio-ekonomi kaum India masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan kaum-kaum yang lain. Sebahagian besar daripada kaum India hidup dalam keadaan serba kekurangan. Mereka tidak dapat menaiki tangga kejayaan kerana tidak ada hala tuju yang konkrit dibentuk oleh pemimpin-pemimpin MIC iaitu parti yang mewakili kaum di dalam komponen kerajaan Barisan Nasional. MIC telah gagal menghulurkan tangan kepada kaum India yang amat memerlukan bantuan kerajaan dari dahulu lagi. Tambahan pula, Kerajaan Barisan Nasional dengan bantuan MIC telah menindas kaum India di negara kita selama ini.

Kini, keadaan telah menjadi genting dan orang-orang India dianggap faktor penentu  kemenangan banyak di antara kerusi DUN dan Parlimen. Ini telah menjadi rangsangan kepada MIC dan Barisan Nasional untuk  membantu kaum India  dengan pelbagai cara. Tetapi, nasi sudah menjadi bubur. Segala salah laku,  pengabaian  dan penindasan terhadap kaum India tidak boleh diperbaiki lagi oleh MIC lagi. Sudah sampai masa untuk MIC dan Barisan Nasional mengundur diri dan memberi ruang kepada Pakatan Rakyat untuk mencorakkan semula masa hadapan kaum India di negara ini.

Masyarakat India harus sedar bahawa peluang telah diberikan kepada MIC selama 54 tahun untuk meningkatkan tahap sosio-ekonomi mereka. MIC bukan sahaja gagal berbuat demikian malah telah menipu masyarakat India dalam beberapa skandal kewanagan yang melibatkan berjuta-juta ringgit. MIC hanya membantu kaum kerabat dan kroni-kroninya untuk menikmati kekayaan negara. Kesejahteraan rakyat biasa tidak dipedulikan langsung. MIC telah memperdayakan kaum India dengan idea-idea kolot supaya menyokong Barisan Nasional dalam setiap pilihanraya. Pemimpin-pemimpin MIC juga sentiasa menakutkan kaum India dengan propaganda politik yang tidak munasabah. Kaum India telah dipermainkan oleh MIC untuk kepentingan politik Barisan Nasional secara keseluruhannya.

Jika MIC satu parti yang benar-benar telah memperjuangkan hak orang-orang India, kenapakah sebahagian besar daripada kalangan mereka itu hidup dengan penuh penderitaan? Jika MIC masih mahu dipandang relevan, perlu mendedahkan atau membuktikan semua usaha-usaha yang diambil olehnya untuk memajukan kaum India dari segi sosio-ekonomi selama ini.

Ini tidak bermaksud MIC tidak berbuat apa-apa kebaikan kepada kaum India. Baru-baru ini MIC memberi RM20 kepada pengundi-pengundi India untuk mendapatkan sokongan mereka. Ini merupakan satu pencapaian  yang perlu dibanggakan oleh pemimpin-pemimpin MIC yang memperjuangkan hak bangsa India. RM20 akan mengubah status sosio-ekonomi kaum India untuk 3 generasi akan datang?

Secara kesimpulan, MIC harus mengaku kelemahan mereka dan turun daripada pentas politik yang telah memundurkan kaum India selama ini. Mereka tidak sepatutnya tamak dan gila kuasa sehingga nasib kaum India digadai untuk selama-lamanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan