Kenyataan Media YB V.Sivakumar di
Batu Gajah pada 1 November 2011
Majlis Daerah Batu Gajah
Masih Boros Lagi
Pakatan Rakyat Batu Gajah berasa
kesal dengan tindakan Majlis Daerah Batu Gajah kerana mengubahsuai tapak
buah-buahan berhampiran dengan Taman Orkid. Tempat ini merupakan satu tapak
kosong yang luas berhadapan dengan pasar awam Batu Gajah. Tapak ini telah dibina lebih kurang 3 tahun yang lalu dan
berada dalam keadaan yang cukup baik. Sudah tentu Majlis Daerah telah
membelanjakan beratus ribu ringgit menyiapkan tapak ini. Pada hari Ahad dan pada musim perayaan, tapak
ini digunakan oleh orang ramai sebagai tempat letak kereta. Ini adalah
kerana pasar awam Batu Gajah tidak
mempunyai tapak tempat letak kereta yang
mencukupi. Selain daripada itu, tapak ini juga digunakan untuk mendirikan gerai-gerai pada bulan
Ramadan.
Tiba-tiba Majlis Daerah Batu
Gajah mula membuat satu projek yang tidak diketahui umum di tapak ini. Ada
jentera-jentera yang sedang memecahkan
tapak tar yang sedia ada. Kerja-kerja ubahsuai tapak itu telah dimulakan. Walau
bagaimanapun, tidak ada sebarang papan tanda di tapak itu untuk menerangkan
atau memberi maklumat mengenai projek yang dijalankan. Oleh yang demikian, orang ramai tidak
mengetahui apakah sedang dilakukan oleh Majlis Daerah Batu Gajah di tapak
buah-buahan itu. Sungguh menyedihkan kerana pihak Majlis juga tidak pernah
memberitahu projek-projek yang dijalankan oleh mereka kepada Ahli Dewan Negeri
kawasan itu. Apa guna mewar-warkan
‘Local Agenda 21’ jika Majlis Daerah tidak telus dalam memberitahu wakil rakyat
dan penduduk tempatan tentang projek yang dijalankan di sesuatu kawasan di
bawah bidang kuasanya. Ini bererti pihak Majlis Daerah sendiri tidak faham
tentang maksud ‘Local Agenda 21’ dan menyebutnya secara mebuta tuli.
Projek pengubahsuaian tapak ini
adalah satu projek yang boros. Melihatkan kerja-kerja yang sedang dijalankan,
projek ini sudah tentu menelan belanja beratus ribu ringgit. Tidak ada sebarang
keperluan untuk mengubah suai tapak ini. Ini adalah satu projek semata-mata
untuk menghabiskan wang rakyat dan tidak
membawa sebarang keuntungan ekonomik kepada orang ramai. Ini merupakan satu
bukti bahawa pihak Majlis Daerah tidak mempunyai satu perancangan yang baik.
Itulah sebabnya senantiasa mengamalkan budaya ‘buat kemudian pecah, kemudian
buat yang baru’. Banyak projek-projek
gajah putih telah dilaksanakan oleh Majlis Daerah Batu Gajah. Semua ini telah
membelanjakan wang rakyat sewenang-wenangnya. Banyak lagi projek-projek yang
lebih penting perlu dibuat tetapi tidak
dibuat oleh pihak Majlis Daerah Batu Gajah.
Aduan rakyat mengenai longkang tersumbat, jalan rosak, masalah banjir
kilat, keperluan lampu jalan, kerosakan alat-alat mainan di padang permainan dan macam-macam
lagi tidak dipedulikan oleh pihak Majlis Daerah.
Majlis Daerah Batu Gajah hanya
memberi tumpuan kepada projek-projek
mewah yang tidak membawa faedah kepada rakyat jelata. Natijahnya, ini
menimbulkan perasaan marah dikalangan orang ramai yang membuat aduan mengenai
masalah harian yang dihadapi oleh mereka. Pembayar cukai taksiran diabaikan
dengan alasan tidak cukup dana. Akan tetapi, Majlis Daerah sanggup membuat
projek-projek mewah seperti ini. Ada juga gejala-gejala kronisme yang menjadi
buah mulut yang sangat ketara dikalangan warga Batu Gajah. Yang Dipertua Majlis Daerah Batu Gajah yang
baru harus memandang serius
masalah-masalah ini. Budaya lama sebelum
ini perlu dikikis dan amalan berjimat cermat perlu diutamakan. Jangan
membuat projek-projek kalut yang tidak
membawa manfaat kepada rakyat malah merugikan wang pembayar cukai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan