Kenyataan Media YB V.Sivakumar ,
ADUN Tronoh ,Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 2 November 2011 di Gopeng.
Bangunan SJKT Gopeng Dimakan Anai-anai, Keselamatan Murid Terancam
SJKT Gopeng merupakan sebuah
sekolah yang dibina pada tahun 1965. Kebanyakan dana untuk membina sekolah ini dikutip daripada
orang ramai sebagai sumbangan ikhlas pada masa itu. Sekolah ini merupakan
sebuah sekolah bantuan penuh kerajaan.
Adakah sekolah ini menerima bantuan penuh seperti yang disyaratkan? Ini
menjadi satu tanda tanya kerana kerajaan tidak prihatin dalam menyelesaikan
satu masalah yang memerlukan perhatian yang segera.
Saya telah menerima aduan
daripada beberapa orang ibubapa bahawa bangunan sekolah ini telah dimakan anai-anai. Oleh yang demikian,
bangunan sekolah itu semakin hari semakin reput. Saya difahamkan pihak sekolah
telah melaporkan perkara ini kepada pihak Pejabat Pelajaran Negeri Perak. Hasil
daripada aduan tersebut, pihak Jabatan Kerja Raya telah menyiasat keadaan
bangunan sekolah itu beberapa bulan yang lepas. Sebagai tindakan awal, pihak
Jabatan Kerja Raya telah meterai salah satu daripada bilik darjah di sekolah
itu. SJKT Gopeng hanya memiliki 6 bilik
darjah dan 1 daripada tidak digunakan sekarang kerana reput dimakan anai-anai.
Bagaimanakah keadaan bilik-bilik darjah yang lain? Saya mendapat maklumat
bahawa kesemua bilik darjah menghadapi masalah yang sama. Dalam kata lain,
keseluruhan bangunan itu menghadapi masalah anai-anai yang sangat serius.
Untuk memastikan keadaan yang
sebenar, saya bersama-sama dengan beberapa orang wakil Pakatan Rakyat dan NGO
telah turun padang pada 2 November 2011 untuk melihat sendiri keadaan bangunan sekolah
tersebut. Akan tetapi, rombongan kami telah dihalang oleh pihak sekolah
daripada memasuki kawasan sekolah. Pihak sekolah memberi alasan bahawa mereka
telah menerima arahan daripada Pejabat Pelajaran Negeri supaya tidak membenarkan kami memasuki kawasan
premis sekolah.
Saya rasa sedih dan kecewa kerana
pihak kerajaan cuba menghalang seorang wakil
rakyat daripada menjalankan kewajiban. Adakah menjadi satu kesalahan untuk seorang
wakil rakyat menyiasat sendiri aduan awam mengenai keadaan sekolah yang membahayakan anak murid dan guru-guru?
Bukankah ini merupakan tanggungjawab dan kewajipan seorang wakil rakyat?
SJKT Gopeng mempunyai jumlah
murid seramai 200 orang. Keselamatan anak-anak ini adalah penting dan harus
diberi keutamaan. Tindakan menghalang
kami untuk melihat keadaan bangunan sekolah itu sendiri menambahkan keraguan
dan kekhuatiran kami mengenai keselamatan murid-murid SJKT Gopeng.
Adakah kerajaan cuba mengelak dan
menutup kecuaian pihaknya yang tidak mengambil tindakan
segera mengatasi keadaan fizikal bangunan
sekolah itu yang membahayakan keselamatan penghuni-penghuninya. Saya telah menulis surat kepada Pengarah
Pelajaran Negeri Perak dan Pengarah Jabatan Kerja Raya untuk memberi
maklumbalas berhubung dengan perkara ini. Ibubapa murid-murid sekolah ini
sungguh mengharapkan pihak kerajaan mengambil tindakan segera sebelum apa-apa
kejadian yang tidak diingini berlaku di sekolah ini.
tolong hubungi saya kalau ada masalah anai-anai.0176334544
BalasPadam