Jumaat, 3 Julai 2015

Wawasan 2020, Omong-omong Kosong



Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah pada 23 Mei 2015 di Ipoh



Wawasan 2020 yang dilancarkan pada tahun 1991 akan berakhir dalam tempoh 5 tahun lagi. Matlamat Wawasan 2020 adalah untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju. Memang setiap rakyat negara kita akan berbangga jika kita dapat mencapai status negara maju itu.
Tetapi, persoalannya bolehkah kita mencapai status negara maju dalam tempoh singkat 5 tahun akan datang. Saya tidak yakin kita boleh mencapai aspirasi itu di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional yang memerintah sekarang. Terdapat banyak kelemahan dalam soal pentadbiran negara terutamaya dalam penguruskan ekonomi negara.

Negara kita sedang dilanda kemelut ekonomi yang serius. Kerajaan Barisan Nasional di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sentiasa menafikan keadaan yang sebenar. Pada realitinya, kita menghadapi masalah kewangan yang semakin meruncing. Itulah sebabnya, kerajaan melaksanakan GST walaupun ianya amat membebankan rakyat kita. Tindakan yang tidak popular ini terpaksa dilaksanakan oleh kerajaan untuk menyelesaikan beban kewangannya.

Tambahan pula, penurunan harga minyak petroleum di pasaran antarabangsa akan mengurangkan pendapatan negara secara mendadak. Selain daripada itu, penurunan nilai matawang ringgit juga akan melemahkan lagi perdagangan negara kita. Pasaran saham yang tidak menentu juga merupakan satu lagi indikator yang membuktikan ekonomi negara kita semakin lemah.

Dalam keadaan ini, Rancangan Malaysia Ke Sebelas yang dibentangkan oleh Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada 21 Mei 2015 juga tidak menampilkan harapan kepada rakyat negara kita. Rancangan ini merupakan 'final lap' ataupun pusingan terakhir untuk merealisasikan matlamat wasasan 2020.

Tetapi, kita dapat lihat bahawa ekonomi negara kita sudah bercunggap-cunggap dalam pusingan akhir ini. Oleh itu, saya berpendapat bahawa kerajaan akan gagal mencapai Wawasan 2020 walaupun setiap warga negara mahu melihat negara kita mencapai status tersebut. Matlamat untuk menjadi sebuah negara maju dari segi ekonomi, politik , sosial , kerohanian, psikologi dan budaya adalah amat jauh dipandang mata.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan