Jumaat, 3 Julai 2015

Perak Pengeluar Utama Ikan, Kerajaan Negeri Harus Berhenti Menganggu Penternak-penternak Ikan Air Tawar Dan Nelayan-nelayan Laut.



Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timabalan Pengerusi DAP Perak pada 17 Jun 2015 di di Dewqn Rakyat, Parlimen Malaysia.



Negeri Perak yang suatu masa dahulu terkenal dengan perlombongan bijih timah dan hasil getah, kini boleh dianggap sebagai sebuah negeri pengeluar utama ikan. Industri perikanan adalah penting untuk membekalkan sumber protein kepada seluruh negara.

Perikanan mempunyai potensi yang tinggi di pasaran dalam dan di luar negeri. Oleh yang demikian, Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani serta kerajaan-kerajaan negeri harus memberi tumpuan untuk mengembangkan dan memajukan industri perikanan.

Bagi pertanyaan lisan saya di Dewan Rakyat pada 17 Jun 2015 mengenai jumlah tangkapan ikan laut dan ikan air tawar mengikut negeri pada tahun 2014, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Dato Sri Tajuddin Bin Abdul Rahman menjawab bahawa jumlah pengeluaran ikan pada tahun berkenaan adalah 1.5 juta metrik tan. Beliau menjelaskan bahawa jumlah pengeluaran ikan laut ialah 1.4 juta metrik tan dan pengeluaran ikan air tawar pula ialah 106,371 metrik tan.

Negeri yang paling banyak mengeluarkan ikan pada tahun 2014 ialah Negeri Perak dengan jumlah 353 ribu metrik tan diikuti dengan Negeri Sabah dengan jumlah 218 ribu metrik dan Negeri Sarawak dengan jumlah 167 ribu metrik tan.

Dengan maklumat ini, Perak boleh disifatkan sebagai negeri yang paling produktif dalam sektor perikanan.Oleh yang demikian, negeri itu mempunyai potensi dan kewibawaan yang tinggi dalam sektor perikanan. Kerajaan Negeri Perak harus mengambil segala langkah untuk memajukan industri perikanan supaya dapat terus kekal di tangga teratas sebagai pembekal hasil laut dan air tawar yang utama di negara kita.

Kerajaan Negeri Perak harus menghentikan semua tindakan yang boleh menjejaskan kegiatan penternak-penternak ikan air tawar. Projek-projek pembangunan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk membelakangkan sektor perikanan terutamanya penternakan ikan air tawar.

Pada masa ini, ramai diantara penternak-penternak ikan kolam menghadapi masalah apabila kerajaan negeri bertindak menghalau mereka. Kerajaan mengambil alih tanah kolam untuk tujuan-tujuan pembangunan yang lain.

Dalam kes-kes tertentu, kerajaan negeri juga tidak serius dalam memberi bantuan terutamanya dalam hal pemberian geran tanah atau pendudukan sementara kepada penternak-penternak ikan ini. Tindakan seperti ini boleh menyebabkan industri tersebut terbantut. Walaupun penternak-penternak bersedia untuk melabur dan membawa masuk teknologi baru, ini tidak akan berjaya sekiranya kerajaan negeri enggan memberi tanah kepada mereka.

Kerajaan sepatutnya membantu golongan penternak ini supaya industri perikanan di Negeri Perak dapat berkembang maju lagi. Dalam pada itu, kerajaan juga harus mengambil inisiatif untuk membawa masuk teknologi dan kaedah-kaedah perikanan yang canggih dan moden.

Ini akan meningkatkan lagi hasil tangkapan ikan sejajar dengan sasaran kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke 11. Undang-undang dan peraturan-peraturan yang sedia ada berkenaan dengan industri perikanan juga harus disemak semula oleh kerajaan-kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan. Ini adalah penting untuk menjaga kebajikan penternak-penternak ikan air tawar dan nelayan-nelayan kita yang amat bergantung kepada bantuan dan sokongan daripada pihak berkuasa.
Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timabalan Pengerusi DAP Perak pada 17 Jun 2015 di di Dewqn Rakyat, Parlimen Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan